mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Emosi Dan Akal Sihat

Petikan Khutbah Jumaat 11 Sept 2020M / 23Muharram 1442H: JAIS

Emosi Dan Akal Sihat

Ketika ramai manusia yang berfikir dahulu sebelum bertindak, terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak dahulu baru terfikir akan akibatnya. Mereka hanya mengikut hati dan nafsu semata-mata.
jais.jpg
Apabila berbicara, diikut perasaannya sahaja, dan apabila bertindak, amarahnya yang menjadi raja. Sesungguhnya, mengikut hawa nafsu semata-mata adalah bencana dan kecelakaan di dunia dan di akhirat.

Nabi SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu: “Tiga perkara yang membinasakan: sifat kedekut yang dituruti, hawa nafsu yang diikuti dan perasaan ujub terhadap diri sendiri.” (Riwayat al-Baihaqi).

Akibat mengikut hawa nafsu dan membelakangkan akal yang waras, betapa ramai yang telah menyesal akibat kata-kata dan perbuatannya.

Ada suami yang menyesal selepas kalimah cerai dilafazkan tanpa berfikir panjang hingga menjadi gila talak. Ada anak yang menyesal kerana tidak sempat berbuat baik kepada ibu bapanya sebelum meninggal dunia.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Apatah lagi jika penyesalan itu berlaku pada hari akhirat nanti, semuanya sudah tidak boleh diundur lagi.

Pada waktu itu, manusia lebih sanggup menjadi tanah berbanding dihisab dan disiksa oleh Allah Azza wa Jalla. Firman Allah SWT dalam surah al-Naba’ ayat 40:“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), kami memberi amaran kepada kamu akan azab yang dekat (masa datangnya), iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya, dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”

Sebenarnya, hanya akal yang dipandu oleh wahyu dan syarak sahaja yang akan menghasilkan perkataan dan tindakan yang baik. Sebaliknya, akal yang jauh daripada petunjuk dan terbelenggu dengan hawa nafsu akan menuju kesesatan.

Firman Allah SWT dalam surah Sod ayat 26: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu). Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”

Berbicaralah dengan penuh kewarasan. Bertindaklah dengan penuh hikmah. Jangan sesekali diikut emosi dan kehendak hawa nafsu yang dihiasi keindahan dunia belitan syaitan. Emosi boleh mematikan fungsi akal yang waras atau ‘salim’.

Ketika akal seseorang itu tidak waras atau tidak ‘salim’, selagi itulah hujah-hujah bersifat ‘aqli’ pun akan ditolak apalagi hujah dari nas yang awal ditolak kerana pastinya perbuatan diluar batas syarak itu ditegah secara keras oleh syarak.

Akibat ikut akal pendeknya dan akur dengan kehendak hati marah dan tidak puas hati kepada seseorang atau kumpulan, ada yang sanggup mensabotaj pihak seterunya atau sahabatnya dengan pelbagai cara yang membakar dirinya sendiri bersama kehancuran orang lain.

Wujudnya sikap mementingkan keperluan jangka pendek inilah, melahirkan tingkah laku yang menyebabkan kemusnahan sesebuah organisasi dan seterusnya sebuah kehidupan bermasyarakat.

Dengan demikian akan hilanglah sebuah legasi integriti dan kehebatan sebuah organisasi sehinggalah sedikit demi sedikit menyebabkan lenyapnya kehormatan sesuatu bangsa, dan ummah.

Melihat kepada bahayanya emosi yang menguasai akal dan logik, maka Nabi SAW melarang seseorang hakim menjatuhkan sebarang hukuman sekiranya dalam keadaan marah.

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah Radiallahu Anhu, bahawa nabi SAW bersabda:“Janganlah seseorang hakim menjatuhkan hukuman terhadap dua orang yang sedang bertelingkah, sedangkan hakim itu dalam keadaan marah”. (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya mukmin yang sebenar adalah yang taat kepada Allah dan Rasulnya. Akal fikirannya patuh kepada wahyu bukannya mengikut hawa nafsu.

Bicaranya adalah mutiara hikmah dan kebaikan. Manakala tindakannya pula adalah dakwah dan tauladan. Yang dikejar bukannya dunia dan kemewahan, tetapi yang didamba adalah barakah dan kebahagiaan.

Nah! Lihatlah ketelitian dan kehalusan budi imam mazhab kita alImam al-Shafie Rahimahullah, yang cukup berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan pendapat.

Al-Imam al-Syafie menyatakan sebab diamnya, katanya: “Sehingga aku dapat mengetahui sama ada diam atau menjawab (soalan tersebut) itu yang lebih afdhal”. (al-Nawawi: al-Majmuk).

Menjadi seorang muslim yang bekerja setiap hari mencari nafkah buat anak dan isteri, wajib untuk memastikan rezekinya halal dan dibelanjakan untuk tujuan yang baik. Tiada jalan pintas untuk mengumpul harta jika ia bertentangan dengan syariat.

Individu yang baik akan kekal baik walau ditempatkan di mana sahaja. Dia tidak akan berubah mengikut sekelilingnya, sebaliknya dialah yang mengubah suasana sekelilingnya menjadi lebih baik.

Nabi SAW melarang kita menjadi orang yang hidupnya seperti lalang, tidak punyai pendirian yang tetap. Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda “Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian, mengatakan: sekiranya manusia baik maka kami akan jadi baik, sekiranya mereka melakukan kezaliman maka kami akan lakukan kezaliman juga. Akan tetapi tetaplah pendirian kamu, sekiranya manusia baik, maka lakukanlah kebaikan, dan sekiranya mereka lakukan kejahatan maka jangan lah kamu lakukan kezaliman”. (Riwayat al-Tirmizi).

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada hadirin sekalian agar mengambil pedoman-pedoman berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa semua perkataan dan perbuatan di dunia ini bakal dihisab pada hari akhirat kelak.

2. Umat Islam mestilah berfikir dahulu sebelum bertindak, agar tidak menyesal di kemudian hari.

3. Umat Islam mestilah mengekang hawa nafsunya dan hendaklah meninggalkan legasi atau warisan yang baik untuk generasi akan datang.

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihisab), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurga lah tempat kediamannya”. (Al-Nazi’at : 40-41)

Tags: akal, emosi, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “emosi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments