mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Sayang: Anak Muda, Didik Dengan Bijaksana

Petikan Khutbah Jumaat 11 September 2020M/ 23 Muharam 1442H JAWI

Sayangi Anak Muda, Didik Dengan Bijaksana

Islam sangat menekankan kasih sayang sesama manusia. Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling mengambil berat, nilai kasih sayang terhadap anak-anak muda mestilah diterapkan pada setiap masa.

jawi_logo.jpg
Menyayangi anak-anak muda bukanlah bermaksud memanjakan dan membelai mereka sehingga mereka menjadi leka dengan keseronokan dunia, sebaliknya memberikan didikan yang terbaik dan penuh hikmah.

Allah SWT telah merakam kisah didikan Luqman al-Hakim kepada anaknya menerusi surah Luqman, ayat 13 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar.”


Ingatlah, anak-anak muda tidak hanya sekadar penerus zuriat keturunan kita semata-mata, malah mereka adalah penerus legasi ummah, agama dan bangsa.


Beberapa perkara mesti kita usahakan dalam menjadikan mereka insan yang berguna, antaranya :

Pertama : Terapkan akidah dan iman yang benar kepada Allah SWT sebagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Justeru, tanamkan dalam jiwa mereka pegangan akidah yang mantap.


Akidah yang mantap dapat menjauhkan diri daripada perbuatan mensyirikkan Allah SWT,menangkis pengaruh pemikiran-pemikiran yang sesat seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme yang dewasa ini semakin berkembang di negara kita.

Kedua : Asuhlah mereka supaya istiqamah melakukan ibadah kepada Allah SWT dan amalan kebajikan supaya mereka menjadi hamba Allah SWT yang bertanggungjawab. Luqman al-Hakim turut tegas dalam memastikan anaknya tidak mengabaikan kewajipan solat di samping menjadi individu yang mengajak kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Mengerjakan ibadah seperti solat, puasa, zakat, mengajak kepada perkara ma’ruf dan mencegah perkara mungkar adalah membuktikan kita sebagai hamba yang taat selain menyatakan syukur kepada Allah SWT.

Ketiga : Bentuk diri anak-anak muda dengan akhlak yang mulia. Akhlak yang mulia adalah mencakupi tutur kata yang elok, perbuatan yang baik dan pergaulan yang menyenangkan.


Imam al-Bukhari Rahimahullah telah meriwayatkan hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Amru RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik perilakunya.”

Sesungguhnya akhlak adalah cerminan kepada keperibadian individu. Contohilah akhlak dan perilaku baginda Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan dengan mencontohi baginda SAW, akan lahir kembali generasi umat Islam yang rabbani dan unggul pada masa akan datang.


Keempat : Berikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak muda melalui penerapan ilmu-ilmu Islam. Dengannya, mereka akan mengenal syariat Islam yang sebenar. Ajaklah mereka untuk turut serta dalam kelas-kelas pengajian ilmu yang diadakan di masjid-masjid dan surau-surau.

Mimbar amat yakin dan percaya, dengan kesungguhan mereka dalam mengenal syariat Islam, kehidupan mereka akan sentiasa terjaga dan terpelihara daripada sebarang gejala tidak berfaedah yang membawa banyak kerosakan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama menyayangi anak-anak muda melalui tarbiah Islam yang dapat membentuk peribadi muslim yang sebenar.


Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi, ayat 14: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Tags: anak, bijaksana, didik, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “anak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments