mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Malaysia Tanah Airku

Ptikan Khutbah Jumaat 18 Sept 2020M / 30 Muharram 1442H: JAIS

Malaysia Tanah Airku

Kita sayangkan Malaysia. Kita mahu Malaysia aman. Malaysia stabil. Malaysia maju. Hari Malaysia menginsafkan kita untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga negara kita.
jais.jpg
Kita jaga Malaysia. Begitulah tingginya nilai nikmat keamanan, nikmat kestabilan politik dan nikmat kemajuan. Nikmat-nikmat ini adalah anugerah Allah SWT.

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT dan menjaganya dengan baik. Kita jaga nikmat ini dengan iman dan takwa kepada Allah, patuh pada undang-undang negara dan berakhlak mulia sesama kita.

Sebaliknya jika kita kufur dan ingkar kepada Allah, melanggar dan mengkhianati undang-undang negara, maka kesannya amatlah buruk apabila nikmat keamanan dan kemakmuran itu ditarik balik oleh Allah SWT. Akhirnya negara akan ditimpa kemusnahan dan rakyatnya dilanda kesengsaraan.

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat- Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Sesungguhnya keselamatan negara, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi adalah tiga asas penting kepada keutuhan sesebuah negara.

Dalam sejarah negara, berlandaskan tiga asas inilah yang menyebabkan pemimpin-pemimpin terdahulu telah memperjuangkan untuk menggabungkan negeri-negeri tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak sebagai satu persekutuan yang diberi nama Malaysia pada 16 September 1963.

Namun, atas kebijaksanaan pemimpin dan semangat toleransi antara pelbagai pihak, Malaysia pada hari ini berjaya menjadi sebuah negara yang maju, makmur, aman dan sentosa.

Apa yang penting keamanan dan kemajuan negara sekarang ini hendaklah dipertahankan dan memerlukan kepada pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni dan rakyat yang berdisiplin serta berbudi pekerti mulia. Dengan demikian setiap rakyat akan menerima kebaikannya, merasa selamat, terpeliharalah agama, nyawa, zuriat, akal, dan harta.

Ingatlah akan firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 112:“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Marilah sama-sama kita suburkan perasaan cintakan negara kita, cintakan tanah air. Cintakan negara bererti menjaga, memaju dan mempertahankan serta memupuk semangat perpaduan, kesetiaan yang tidak berbelah bagi untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara kita terus kekal.

Rasulullah SAW sendiri pernah melahirkan kecintaannya kepada Mekah sebagai tempat kelahirannya dan Madinah sebagai tempat menetap dan memajukannya dengan petunjuk Allah SWT.

Malah Rasulullah SAW pernah berdoa sebagaimana dalam Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aishah Radiallahu Anha: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah sepertimana Kau cintai Makkah atau lebih”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara penting untuk menjadi panduan dan pegangan kita bersama adalah:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah berkuasa mengurniakan dan mengekalkan atau menarik balik keamanan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.

2. Umat Islam semuanya berkewajipan berganding bahu bersama-sama membangunkan negara, menjaga perpaduan dan mengelakkan perpecahan.

3. Umat Islam hendaklah terus istiqamah melaksanakan perintah Allah untuk kebaikan hidup di dunia dan akhrat.

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Nahl : 97).
Tags: khutbah, tanah air
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments