mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Hak Asasi Manusia Dalam Islam

Petikan Khutbah Jumaat 25 September 2020M /07 Safar 1442H: JAIS

“Hak Asasi Manusia Dalam Islam”

Perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan ini telah menjadi isu hangat kerana salah faham tentang konsep hak asasi menurut Islam.
jais.jpg
Kita sering mendengar slogan-slogan perjuangan kebebasan diperbesarkan di serata dunia termasuk dinegara kita ini, apatah lagi bila ia digerakkan oleh pertubuhan yang keliru identiti agamanya dan jati diri.

Menurut sejarah, gerakan perjuangan hak asasi manusia ini merupakan suatu gerakan yang dibina berdasarkan fahaman liberalisme dan humanisme.

Padahal dalam Islam, hak asasi manusia telah wujud lebih lama daripada gerakan ini namun tidak menjadi isu dalam masyarakat. Hak Asasi yang diperjuangkan dalam Islam adalah berpandukan nilai dan panduan AlQuran.

Menurut Islam, hak asasi dan kebebasan ialah suatu manifestasi tentang pembebasan manusia dari pelbagai bentuk ikatan dan pengabdian selain daripada Allah SWT.

Allah telah mencipta manusia serta meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi berbanding dengan makhluk yang lain berlandaskan prinsip kemuliaan kemanusiaan (al-karamah al-insaniyyah).

Ini sejajar apa yang dijelaskan oleh Allah Taala dalam Al-Quran dalam surah al-Israa‟ ayat 70 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari bendabenda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebihlebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Rasulullah SAW diutuskan untuk membebaskan perhambaan manusia kepada mengabdikan Tuhan yang menciptakannya.

Konsep kebebasan yang dijelaskan dalam Quran tidak lain mengangkat nilai kemanusiaan sejati. Ini berbeza sekali dengan ukuran hak asasi manusia dari barat yang mana semuanya berpandukan kepada nilai manusia bukan berdasarkan ukuran agama.

Kita masih ingat dialog Rub‟i ibn Amir al-Tamimi kepada Rustum ketika diutuskan oleh Saad bin Abi Waqas ke Parsi katanya” Rustum bertanya: ”Apa maksud kedatangan kamu?”. Dengan lantang Rub‟i menjawab: “Allah mengutus kami untuk membebaskan manusia dari penghambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah semata-mata”.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, al-karamah al-insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber kepada hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap al-karamah alinsaniah itu, bermakna adanya tanda keinsanan manusia yang membezakannya dengan haiwan.

Apa maknanya, jika sifat dan sikap manusia yang mulia itu tidak dijaga bahkan dirosakkan semata-mata hak asasi manusia. Apalah maknanya jika kehidupan di dunia ini tidak bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang akhirnya mengundang kemudaratan hidup di dunia dan akhirat. Bila hidup dipisahkan dengan agama maka terimalah kehancurannya.

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar merujuk kepada Islam sebagai panduan. Ini sebagaimana ditegaskan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RadiAllahu Anhu bahawa beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah Taala mengangkat darjat manusia sebagai makhluk yang mulia dan diberikan tugas untuk mengabdikan diri kepada Allah dan berperanan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Islam menekankan soal tugas dan tanggungjawab berbanding soal hak.

Islam melihat manusia dari sudut fitrahnya untuk beribadat dan berbakti, sedangkan pemikiran Barat cenderung untuk memfokuskan kepada hak dan kepentingan diri sendiri.

Tujuan hidup untuk pengabdian ini jelas sebagaimana firman Allah dalam surah al-Dzariyat ayat 56:“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.”

Dalam konteks kebebasan yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak adalah sama sekali tidak diterima, sekiranya ia bertentangan dengan Maqasid Syariah. Apa gunanya bebas melakukan zina, bebas melakukan kemaksiatan semata-mata atas hak asasi individu yang bertentangan dengan agama.

Perjuangan Hak Asasi Manusia ini haruslah difahami dengan jelas dan tidak sekali-kali mengundang kepada permasalahan. Umat Islam dalam negara ini tidak harus ditanamkan dengan elemen dan doktrin yang mengelirukan yang akhirnya membawa kepada masalah berpanjangan.

Institusi berkepentingan dalam negara seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) seharusnya mengambil lebih inisiatif untuk menjelaskan dengan tepat kefahaman ini kepada masyarakat disamping institusi Islam seperti agensi-agensi agama yang berkepentingan.

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran penting untuk dijadikan pedoman dalam hidup ini. antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Islam telah meletakkan hak asasi manusia yang tinggi berpaksikan kepada tauhid dan keyakinan kepada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa erti kebebasan tidak mutlak dan ia terikat dengan peraturan-peraturan Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menghayati konsep kebebasan dan hak asasi manusia mengikut perspektif Islam, dan jangan terpesong daripada nilai kemanusiaan sebenar.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Ali Imran : 105 ).
Tags: hak asasi manusia, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hak asasi manusia” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments