mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ku Pimpin Dikau

Petikan Khutbah Jumaat 02 Oktober 2020M /14 Safar 1442H: JAIS

Ku Pimpin Dikau

Islam meletakkan tanggungjawab besar seorang bapa kepada anak-anak dan seluruh ahli keluarganya bagi memastikan kebahagiaan hidup mereka di dunia dan jaminan kebahagiaan di akhirat.
jais.jpg
Bapa juga ibarat seorang nakhoda kapal yang mengharungi lautan luas dan penuh bergelora untuk sampai ke pelabuhan yang dituju.

Bagi mencapai matlamat kebahagiaan yang diharapkan itu, seorang bapa sebagai ketua keluarga hendaklah memastikan tanggungjawab besar itu dilaksanakan sebagaimana berikut:

Pertama : Menanamkan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pegangan akidah yang benar adalah asas bagi seorang Islam kerana tanpa akidah kehidupan sesaorang tidak bermakna disisi Allah Taala.

Seorang bapa hendaklah memastikan dirinya terlebih dahulu dilengkapkan dengan pegangan akidah yang benar. Belajarlah tanpa segan silu daripada guru yang bertauliah dengan memahami asas-asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Firman Allah dalam Surah Al-Thur ayat 21: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Kedua: Memberikan Pendidikan Fardu Ain Yang Sempurna.

Memberikan pendidikan bukan setakat menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah sahaja bahkan memastikan ilmu fardu ain yang dipelajari terus diamalkan dalam kehidupan.

Perintah ini jelas diperingatkan oleh Nabi SAW melalui hadisnya daripada Amru bin Syu'aib daripada ayahnya daripada datuknya, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka." (Riwayat Abu Daud).

Ketiga: Tanggungjawab bagi seorang bapa terhadap keluarganya adalah menerapkan akhlak yang mulia.

Antara akhlak mulia yang perlu ditekankan ialah menghormati dan mengasihi kedua ibubapa, guru-guru dan jiran tetangga.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad)

Ibu bapa juga bertanggungjawab untuk memberi kasih sayang, berlaku adil terhadap anak-anak, serta membawa kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga.

Maka, dianjurkan kepada ibu bapa untuk sentiasa mendoakan ahli keluarganya agar hidup dalam kesejahteraan dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada para jemaah agar dapat mengambil pengajaran daripada khutbah yang disampaikan untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian.

Antaranya adalah:

1. Umat Islam wajib membina keluarga bahagia berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Ibu bapa hendaklah menjadi pemimpin dan menunjukkan contoh teladan yang baik serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa membimbing dan mendoakan kebaikan bagi seluruh ahli keluarganya supaya mendapat keredaan Allah Taala.

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteriisteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (al-Furqan : 74)
Tags: bapa, khutbah, pimpin
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments