mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Memaknakan Kesyukuran

Petikan Khutbah Jumaat 2 Oktober 2020M/ 14 Safar 1442H JAWI

Memaknakan Kesyukuran

Mensyukuri nikmat Allah SWT tidak terhad hanya kepada nikmat harta kekayaan semata-mata, bahkan ia lebih besar daripada itu. Semua yang ada pada diri kita merupakan nikmat Allah SWT seperti memiliki tubuh badan yang sihat dan sempurna.


Melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya merupakan pernyataan syukur yang paling utama.

jawi_logo.jpgIa diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan kebaikan bagi melengkapkan nilai kesyukuran itu seperti menyantuni golongan yang kelainan upaya, lemah dan mereka yang mempunyai keperluan-keperluan yang khusus.


Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah SWT akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang mendapat kesusahan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.”


Membantu serta menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) juga termasuk di dalam perkara kebaikan yang perlu disegerakan oleh kita yang sempurna tubuh badan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan ini bahkan terdapat banyak gesaan di dalam al-Quran yang sangat memberikan perhatian kepada mereka.


Buktinya dapat kita lihat berdasarkan teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW ketika melayani sahabat baginda yang bernama Abdullah bin Ummi Maktum Radhiyallahu ‘anhu, seorang yang cacat penglihatan.


Beliau ingin bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW namun Baginda SAW telah memalingkan mukanya. Maka Allah SWT telah menegur Baginda SAW rentetan dari sikap tersebut.


Firman Allah SWT di dalam surah ‘Abasa ayat 8 hingga 12: “Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlahdia mengambil peringatan daripadanya.”

Teguran Allah SWT ini merupakan satu isyarat bahawa golongan ini perlu dilayani dengan baik dan tidak boleh dinafikan hak mereka dalam urusan agama, pengajian, ekonomi, perkerjaan dan sebagainya.


Kehadiran mereka bukanlah untuk dihina atau ditertawakan namun untuk difahami dan dibantu. Apa gunanya nikmat kesempurnaan tubuh badan andai kita gagal menyantuni keperluan hidup mereka.



Marilah kita menjadi masyarakat prihatin terhadap golongan kelainan upaya. Bantulah mereka semampu mungkin sejajar dengan ajaran Islam yang menyeru agar kita saling bantu membantu dengan penuh kasih sayang antara satu sama lain.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi Firman Allah SWT di dalam surah al-Fath, ayat 17: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa-Nya dengan azab yang
tidak terperi sakitnya.”
Tags: khutbah, syukur
Subscribe

Posts from This Journal “syukur” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments