mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Nikmat Yang Sering Diabaikan

Petikan Khutbah Jumaat 14 SAFAR 1442H / 2 OKTOBER 2020 JAKIM

Nikmat Yang Sering Diabaikan

Sejak kebelakangan ini, kita mendapati bilangan kes Covid-19 kembali meningkat hingga kadangkala mencecah jumlah tiga angka.

Ia menunjukkan bahawa usaha memerangi pandemik ini masih panjang dan belum berakhir. Allah SWT telah mengurniakan nikmat jakim.jpgyang begitu banyak kepada kita.

Kita pastinya tidak mampu menghitung segala nikmat tersebut apatah lagi untuk membalas atau menggantikannya semula.

Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 18 sepertimana yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud; “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan oleh-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Hakikatnya, kita manusia sering terlupa dan lalai dengan dua nikmat besar yang kita terima. Sabda Rasulullah SAW: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Usaha memerangi pandemik Covid-19 ini bukanlah tanggungjawab pihak pemerintah dan pihak berkuasa semata-mata. Seluruh rakyat perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak penyakit ini.

Kini kita semualah bertindak sebagai petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan jangkitan wabak ini terhenti. Islam sendiri juga sangat menitikberatkan soal kesihatan dan pencegahan penyakit lebih-lebih lagi penyakit yang mengancam nyawa.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang beberapa peluang besar yang dikurniakan kepada kita yang tidak patut dipersiakan.

Sabda Rasulullah SAW: “Ambillah kesempatan lima (keadaan) sebelum datang lima (keadaan). (Iaitu) masa mudamu sebelum (datang masa) tuamu, kesihatanmu sebelum (datang) sakitmu, kecukupanmu sebelum (datang) fakirmu, kelapanganmu sebelum (datang masa) sibukmu, kehidupanmu sebelum (datang) kematianmu.” (Hadis riwayat alHakim)

Justeru, teruslah mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan seperti;

i. Sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam,

ii. Kerap mencuci tangan,

iii. Elakkan kawasan yang sempit dan sesak,

iv. Mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, dan;

v. Mematuhi perintah kuarantin sekiranya diarahkan.

Tingkatkan disiplin dan kawalan kendiri bagi memastikan diri kita, ahli keluarga kita, jiran, masyarakat sekeliling kita terhindar dari wabak penyakit yang berbahaya ini. Jangan kita leka dan lalai kerana perjuangan belum selesai.

Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT kerana ia juga merupakan salah satu cara bagi memohon Allah SWT mengangkat segala ujian dan musibah yang melanda kita pada hari ini.

Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang telah diberikan oleh Allah SWT dengan memanfaatkannya kepada perkara yang baik dan melakukan ketaatan kepadaNya. Sesungguhnya, amatlah sedikit orang-orang yang mensyukuri nikmat Allah SWT.

Firman Allah SWT “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Saff ayat 10-11)
Tags: khutbah, nikmat
Subscribe

Posts from This Journal “nikmat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments