mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Galakan Dan Kelebihan Berselawat Kepada Nabi SAW

Petikan Khutbah Jumaat 09 Oktober 2020M /21 Safar 1442H: JAIS

Galakan Dan Kelebihan Berselawat Kepada Nabi SAW

Sesungguhnya terdapat banyak kelebihan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, antaranya:

PERTAMA: IA ADALAH PERINTAH ALLAH SWT.

jais.jpgFirman Allah SWT sebagaimana dibaca di awal khutbah ini daripada surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebajikan) kepada Nabi Muhammad SAW. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.

KEDUA: MENDAPAT BALASAN SELAWAT DARIPADA ALLAH SWT.

Walaupun berselawat nampak mudah, namun fadhilatnya amat besar bagi mukmin yang melaziminya. Allah mengasihi hamba-Nya yang sentiasa meletakkan Rasulullah SAW di dalam hatinya.

Daripada Abu Hurairah RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa berselawat kepadaku dengan sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Riwayat Muslim).

Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad SAW, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.

KETIGA; MENGHINDAR MUSIBAH DAN DIAMPUNKAN DOSA.

Memperbanyakkan berselawat dapat menjamin dan menyelamatkan kita daripada segala perkara yang mendukacitakan dan membimbangkan samada di dunia mahu pun akhirat.

Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ubai bin Ka’ab RadiAllahu Anhu yang bertanya kepada Nabi SAW jika dia memperuntukkan semua masa doanya untuk berselawat, maka Nabi SAW menjawab dengan sabdanya: “Jika demikian, terhindarlah dukacitamu dan diampunkan dosa-dosamu.” (Riwayat Al-Tirmizi).

KEEMPAT : DIANGKATKAN DARJAT KITA OLEH ALLAH SWT.

Hadis daripada Anas bin Malik RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat (di syurga kelak).” (Riwayat Al-Nasa’i).

KELIMA; UCAPAN SELAWAT KITA AKAN DIBENTANGKAN DIAKHIRAT KEPADA NABI SAW.

Berselawat kepada Baginda juga dituntut terutamanya pada hari Jumaat. Hadis daripada Aus bin Abu Aus RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku.” (Riwayat Abu Daud).

Marilah kita berusaha untuk beramal dengan perkara tersebut, kerana dengan banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta kasih seorang muslim kepada Baginda SAW.

Sebaliknya, bagi mereka yang bakhil untuk berselawat, Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib: “Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku mereka tidak berselawat ke atasku”. (Riwayat Al-Tirmizi.) Justeru, buktikanlah perasaan kasih dan cinta kita kepada Nabi SAW dengan sentiasa berselawat kepada Baginda SAW terutamanya ketika nama Nabi SAW disebutkan maka bersegeralah menjawab َصلى الله عليه وسلم

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran penting daripada khutbah pada hari ini sebagai panduan kita bersama iaitu:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa berselawat ke atas Nabi SAW adalah perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa ganjaran yang besar disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berselawat ke atas Nabi SAW.

3. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW sebagai tanda cinta kepada Nabi SAW sekaligus membalas cinta dan kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Taubah : 128)

Tags: khutbah, nabi, selawat
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments