mt961013

Khutbah Jumaat: Menangkis Ananiah, Menyubur Insaniah

Petikan Khutbah Jumaat: 9 Oktober 2020M / 21 Safar 1442H JAWI

Menangkis Ananiah, Menyubur Insaniah

Sebagai manusia biasa, ada ketikanya muncul dalam diri kita sifat ingin menang dan berasa kitalah yang paling baik berbanding orang lain. 

Ada antara kita suka mencari jalan untuk keselesaan diri sendiri, tanpa menghiraukan apa yang berlaku pada orang lain.

Ananiah berasal dari perkataan arab yang membawa maksud ‘keakuan’ iaitu sifat seseorang yang sangat mementingkan dirinya sendiri berbanding diri orang lain.

Manakala insaniah yang juga berasal dari perkataan arab ialah sifat kemanusiaan yang boleh dibentuk melalui didikan akhlak Islam.

Islam sangat menitik beratkan soal akhlak dalam kehidupan sesama manusia. 

Sikap pentingkan diri sendiri akan menimbulkan rasa ego dan sombong yang hanya menjauhkan manusia daripada fitrah asalnya, iaitu sebagai makhluk yang tidak mampu hidup sendirian serta memerlukan bantuan dan pertolongan orang lain untuk memenuhi keperluan hayatnya. 

Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa mengambil peduli antara satu sama lain, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Lihatlah, dalam situasi kita yang masih berjuang mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, tentunya semua pihak sama ada pemimpin, pihak berkuasa dan anggota masyarakat sangat memerlukan antara satu sama lain. 

Buanglah sifat ego, sombong dan pentingkan diri sendiri dengan menyumbangkan tenaga dan usaha membantu pihak berwajib menamatkan penularan wabak ini. 

Peningkatan mendadak jumlah kes positif COVID-19 di negara ini amat membimbangkan jika kita terus pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Jadilah insan yang bertanggungjawab dengan mengamalkan norma baharu kehidupan dan patuhilah setiap peraturan dan garis panduan.

Mohonlah petunjuk daripada Allah SWT dan berusahalah menjadi seorang insan yang mengambil peduli terhadap insan lain. 

Tidak perlu menuding jari atau saling menyalahkan sesama sendiri, sebaliknya bersama-samalah kita bermuhasabah dan bekerjasama dalam membebaskan tanah air ini daripada cengkaman wabak yang tidak mengenal usia, bangsa, taraf hidup mahu pun agama. 

Renungkanlah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada an-Nu’man bin Basyir Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : “Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan demam.”

Bersempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan pada tahun ini, marilah kita menjadi warga yang berbudi perkerti tinggi, menghormati, menyayangi dan melindungi setiap warga emas di negara ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Ingatlah bahawa mereka adalah generasi yang sangat berjasa kepada pembangunan masyarakat, ekonomi dan negara. 

Tanpa mereka, siapalah kita. Dalam pada itu, kita juga bertanggungjawab memastikan keselamatan diri mereka terpelihara daripada terdedah kepada jangkitan pandemik COVID-19, apalagi golongan warga emas merupakan antara yang sangat berisiko untuk dijangkiti dengan wabak ini.

Mengakhiri khutbah, jadilah insan yang bertanggungjawab dengan menyuburkan sifat-sifat insaniah di dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara. 

Sesungguhnya kita saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain.

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 18: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri.”

Error

Anonymous comments are disabled in this journal

default userpic

Your IP address will be recorded