mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Akur Arahan Menjamin Kesejahteraan

Petikan Khutbah Jumaat:  16 Oktober 2020M/ 28 Safar 1442H JAWI

Akur Arahan Menjamin Kesejahteraan

Negara kita sedang melalui gelombang ketiga penularan wabak pandemik COVID-19. Peningkatan mendadak kes jangkitan sejak kebelakangan ini dengan kemunculan kluster-kluster baru mengundang kebimbangan dan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

Ingatlah, kita masih belum menang dan mesti terus berjuang bersama-sama memerangi pandemik ini.

jawi_logo.jpg

Ketahuilah bahawa, mematuhi arahan kerajaan dalam pencegahan wabak ini adalah termasuk dalam perkara amar makruf nahi munkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara yang membawa keburukan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-‘Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita semua berperanan dalam mengekang penularan wabak ini. Berilah sepenuh kerjasama dengan mematuhi setiap SOP yang telah dikuatkuasakan.

Janganlah kita alpa dan leka terhadap pematuhan SOP yang telah kita amalkan sejak dari awal kebiasaan baharu bermula.

Keprihatinan dan kebertanggungjawaban kita adalah penentu kejayaan dalam memerangi pandemik ini.



Sebagai langkah berkesan bagi memastikan keselamatan semua anggota masyarakat, mimbar mengingatkan kepada mereka yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19, patuhilah arahan kuarantin kendiri yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, kita juga hendaklah mengawasi golongan yang berisiko dalam ahli keluarga seperti warga emas dan kanak-kanak serta ahli keluarga yang ada penyakit kronik kerana mereka berisiko untuk dijangkiti.

Janganlah kita menjadi punca kepada penyebaran wabak ini dalam ahli keluarga kita.

Mimbar juga mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat, janganlah mencetuskan persepsi negatif terutama di media sosial terhadap mereka yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri mahupun mereka yang telah disahkan positif jangkitan ini.

Sebaliknya berikan mereka dorongan untuk akur menjalani rawatan dan berdoa agar tabah menghadapi ujian.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW bersabda: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Sebagai langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif bagi mengekang wabak pandemik COVID-19, marilah kita sentiasa mengamalkan panduan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan menjadikannya sebagai norma baharu kehidupan iaitu menjauhi kawasan sesak, sempit dan sembang dekat.

Amalkan mencuci tangan dengan air dan sabun secara kerap dan pakailah alat pelitup muka dengan betul ketika berada di tempat awam sama ada bergejala atau tidak.


Kita juga dinasihatkan supaya mengelakkan bersalaman atau bersentuhan termasuklah perbuatan melaga-lagakan mana-mana bahagian tubuh badan.

Sentiasalah mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul dan lakukan nyahkuman terutama di tempat atau kawasan yang kerap digunakan.

Patuhi saranan untuk duduk di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar dan segeralah mendapatkan rawatan jika bergejala.

Mimbar juga menasihatkan kepada pengguna media sosial, agar berhati-hati dalam membuat sebarang komentar atau menyebar sesuatu berita yang boleh mencetuskan perbalahan, pergolakan, kegusaran dalam kalangan orang awam.

Gunakan media sosial sebagai medium nasihat dan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang tanggungjawab masing-masing dalam memutuskan rantaian wabak ini.

Mengakhiri khutbah, renungilah firman Allah SWT dalam Surah al-Syura, ayat 30: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”


Tags: akur, arahan, kesejahteraan, khutbah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments