mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Munajat Hamba Menggapai Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat  23 Oktober 2020M/ 6 Rabiulawal 1442H JAWI

Munajat Hamba Menggapai Sejahtera

Sebagai manusia kita pasti akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian kehidupan.

Ujian yang datang sama ada berat atau ringan menjadi penentu seteguh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.
jawi_logo.jpg
Firman-Nya di dalam surah Al Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Persoalannya bagaimana kita dapat mengharungi setiap ujian dengan  baik?  Ketahuilah bahawa sebagai manusia kita tidak mampu menghadapi ujian ini sendirian kerana manusia itu dijadikan memiliki sifat lemah.

Kita tidak memiliki daya upaya selain mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT apalagi kita tidak mampu untuk menolak sesuatu musibah yang datang.

Maka cara yang terbaik dalam menghadapi musibah dan ujian hidup ialah dengan meningkatkan kesabaran, memperbanyakkan doa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 153: Bermaksud : “Wahai sekalian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”



Justeru, dalam mengharungi pelbagai ujian dan musibah seperti wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat akhir-akhir ini, selain kita mengikuti langkah pencegahan yang telah digariskan oleh pihak berkuasa, maka sewajarnya kita tidak lupa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, inilah senjata ampuh bagi orang yang beriman. Ini kerana doa dan munajat merupakan tanda pergantungan hamba kepada Tuhannya dan permohonan kepada-Nya.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiyallahu‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud : “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu, berikanlah aku rezeki sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.”

Antara doa yang boleh dijadikan amalan ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud : “Berlindunglah kamu dengan Allah SWT daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan kegembiraan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Sesungguhnya Allah SWT sangat suka kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa meminta daripada-Nya dengan sepenuh pengharapan.

Berdoalah kepada-Nya walau di mana sahaja kita berada. Ketahuilah bahawa antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa ialah pada hari Jumaat iaitu ketika khatib duduk antara dua khutbah dan selepas asar.

Mimbar mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan usia, marilah kita memperbanyakkan doa dan munajat memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.

Dalam masa yang sama, teruskan ikhtiar dan usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.

Di samping itu, marilah kita bertawakal kepada Allah SWT yang menguasai segala-galanya. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita keselamatan serta perlindungan daripada musibah, bala bencana dan wabak penyakit yang berbahaya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 55: Bermaksud : “Dan wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.”


Tags: khutbah, munajat, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments