mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Indahnya Akhlakmu Ya Rasulullah

Petikan Khutbah Jumaat 30 Oktober 2020M /13 Rabi’ul Awwal 1442H:JAIS

Indahnya Akhlakmu Ya Rasulullah

Keindahan akhlak Rasulullah SAW menggambarkan kecantikan Islam. Ini terbukti apabila keindahan akhlak ini berjaya menarik minat bukan Islam untuk mendekati dan menganut ajaran Islam.

Antara keindahan dan ketinggian akhlak Rasulullah SAW yang dapat kita contohi ialah ketika Nabi SAW menghalang para sahabat yang ingin mengambil tindakan terhadap seorang Arab Badwi yang membuang air kecil dalam Masjid Nabawi. jais.jpg

Lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RadiAllahu Anhu:“Biarkanlah dia dan kamu curahkanlah sebekas air pada tempat kencingnya. Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan dan bukan untuk menyusahkan.” (Riwayat al-Bukhari).

Contohilah keindahan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RadiAllahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Sesungguhnya ketika aku mendirikan solat aku ingin memanjangkannya, tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi lalu aku ringkaskan solat kerana aku bimbang menyusahkan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW tidak pernah berlaku kasar kepada sesiapapun, walaupun terhadap ahli keluarganya sendiri. Baginda SAW memperlakukan dengan penuh kebaikan dan penghormatan terhadap para isterinya dan juga anak-cucunya. Baginda SAW membantu para isterinya dengan meringankan tugasan rumahtangga. Rasulullah SAW juga bersikap lembut dan menzahirkan rasa cinta kepada anak-cucunya.

Pernah pada suatu ketika, seorang laki-laki yang bernama Al-Akra’ bin Habis melihat Baginda SAW sedang memeluk dan mencium cucu-cucunya yang masih kecil, kemudian Al-Akra’ pun berkata, “Walaupun aku mempunyai sepuluh orang anak namun tidak seorang pun dari mereka aku pernah cium”. Baginda pun bersabda melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RadiAllahu Anhu:“Sesiapa yang tidak mengasihani, tidak akan dikasihani.” (Riwayat al-Bukhari).

Selain itu, Rasulullah SAW adalah suami yang amat baik sebagaimana Saidatina Aisyah RadiAllahu Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi).

Rasulullah SAW juga adalah seorang yang tawaduk ataupun merendah diri apabila bergaul dan bercampur dengan masyarakat sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RadiAllahu Anhu bahawa beliau berkata:“Sesungguhnya seorang hamba memegang tangan Nabi SAW dan membawa Baginda berjalan-jalan mengikut kehendaknya”. )Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin agung umat Islam yang tiada tolok bandingnya. Baginda memiliki ciri-ciri kepimpinan dalam semua aspek yang diperlukan, ditambah lagi dengan keperibadiannya yang dihiasi akhlak mulia dan terpuji.

Sejarah kepimpinan Rasulullah SAW jelas menjadi bukti bahawa baginda bukanlah seorang yang bersifat agresif atau bertindak secara melulu apabila dihina atau berdepan kesukaran.

Sebaliknya, baginda sentiasa mengambil pendekatan sabar dan tenang, malah tidak pernah berdendam kepada musuh-musuhnya. Hal ini dijelaskan sebagaimana dalam kitab-kitab sirah ketika mana berlakunya pembukaan Kota Makkah. Ibnu Kathir menjelaskan dalam tafsirnya dengan menyebut “Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah antara mereka. Nabi Muhammad SAW juga melarang sama sekali bertindak zalim terhadap golongan kafir mu’ahad dalam kalangan ahli zimmah dan lainnya.”

Hal ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Sulaim bahawa Nabi SAW bersabda: “Ingatlah! Sesiapa yang menzalimi terhadap kafir Mu’ahad, mengurangi haknya, membebani mereka di luar kemampuan mereka atau mengambil harta mereka tanpa kerelaan, maka akulah yang akan menjadi hujah membelanya pada hari Kiamat nanti.” (Riwayat Abu Daud).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa intipati khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Rasulullah SAW diutus oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak terpuji.

2. Umat Islam hendaklah mempamerkan akhlak mulia sebagai gambaran keindahan Islam.

3. Umat Islam hendaklah mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Al-Ahzab : 21).

Tags: akhlak, khutbah, rasulullah
Subscribe

Posts from This Journal “akhlak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments