mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Rasulullah SAW Dicintai, Ajarannya Ditaati

Petikan Khutbah Jumaat 30 Oktober 2020M/ 13 Rabiulawal 1442H JAWI

Rasulullah SAW Dicintai, Ajarannya Ditaati

Peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW serta pengutusannya ke seluruh alam adalah suatu khabar gembira dan menjadi bukti rahmat Allah SWT terutama kepada manusia.

Kehidupan mereka yang dahulunya berada dalam kegelapan jahiliah berubah kepada cahaya hidayah sehingga dapat dirasai oleh kita pada hari ini.

jawi_logo.jpgSesungguhnya mengikuti dan menuruti ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan lambang kecintaan seseorang hamba kepada Allah SWT dan Baginda SAW.


Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31 dan 32 yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”


Perteguhkanlah akidah Islam yang benar dengan meninggalkan segala perkara syirik, fahaman yang sesat dan pemikiran yang salah seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya.



Laksanakanlah tuntutan syariat dengan mematuhi setiap hukum hakam agama supaya kita dapat melakukan ibadah wajib mahu pun sunat dengan sempurna.


Jadilah seorang muslim yang berakhlak mulia dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW di samping memelihara perhubungan baik sesama manusia.

Peliharalah ekonomi keluarga dengan mengamalkan muamalah Islam dan pastikan nafkah keluarga kita bebas daripada perkara haram seperti riba, rasuah, judi dan sebagainya.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya, dan orang-orang lain keseluruhannya.”

Bersempena dengan bulan kelahiran Rasulullah SAW ini, marilah kita menghayati dan mengambil pengajaran daripada sirah perjuangan Baginda SAW.

Melaluinya, kita dapat merasai jerih perih perjuangan Baginda SAW dan para sahabat sehingga cahaya Islam tersebar ke seluruh dunia sehingga hari ini.

Dalam pada itu, marilah kita menonjolkan jati diri muslim sebenar. Biarpun kita dihina dan dicaci saban hari oleh mereka yang iri hati dengan Islam, malah ada yang sanggup menghina Nabi SAW, namun janganlah kita turut sama melakukan cacian dan makian lebih-lebih lagi di media sosial.

Contohilah Baginda SAW yang tidak membalas kejahatan dengan keburukan tetapi memberikan kebaikan.

Justeru, berdoalah kepada Allah SWT supaya memberikan kekuatan iman, rohani dan jasmani kepada kita dalam memartabatkan Islam di mata dunia.

Marilah kita perbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW dan semoga kita memperoleh syafaatnya di akhirat nanti.


Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 128-129: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad):cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."
Tags: khutbah, rasulullah
Subscribe

Posts from This Journal “rasulullah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments