mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Pelihara Harta, Hindari Tipu Daya

Petikan Khutbah Jumaat 6 November 2020M/ 20 Rabiulawal 1442H JAWI


Pelihara Harta, Hindari Tipu Daya


Islam telah menetapkan dasar-dasar utama dalam mengatur kehidupan manusia antaranya ialah aspek pemeliharaan harta.

jawi_logo.jpgTujuannya supaya setiap manusia memperolehi hak yang selayaknya tanpa wujud ruang untuk ditindas dan dieksploitasi oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya.

Hayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Sindiket penipuan atau scam sama ada melalui panggilan telefon, pesanan ringkas SMS atau aplikasi di media sosial dilihat semakin aktif dan berani.


Scammer atau penipu moden ini akan menggunakan pelbagai taktik dan modus operandi bagi mengaut keuntungan.

Sebagai contoh, mereka menggunakan foto seseorang individu berjawatan dan berperwatakan baik untuk dijadikan profil dalam akaun dengan nama yang berbeza di media sosial sehingga memperdaya orang lain untuk percaya tentang sesuatu pakej atau skim yang ditawarkan kononnya dapat meraih keuntungan yang berlipat ganda.



Akhirnya, ramai yang terjebak dengan penipuan ini terutama mereka yang dalam kesusahan.

Malah terdapat juga kes penipuan melalui aplikasi whatsapp dengan menggunakan profil orang lain kononnya ingin meminjam wang dalam jumlah yang besar dengan kadar segera.

Selain itu, ada juga kes memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dengan mengaku sebagai wakil daripada pihak bank dan menyatakan kononnya mangsa mempunyai tunggakan pinjaman atau kad kredit sedangkan individu berkenaan tidak pernah membuat pinjaman atau memiliki kad kredit.

Kelicikan mereka yang bijak memanipulasi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi berjaya menjadikan mangsa yang panik bertindak mengikut arahan yang diberikan sehingga menyebabkan kerugian wang ringgit.

Ketahuilah bahawa penipuan mereka boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira golongan profesional, penjawat awam, kakitangan swasta, pesara, pelajar dan sebagainya.


Sedarlah bahawa sesungguhnya Islam melarang kita bersikap tamak iaitu keinginan memiliki sesuatu tanpa batas dan selalu merasa tidak cukup sehingga membawa kepada perlakuan yang keji seperti membolot, merampas, menipu dan mengambil harta atau hak orang lain dengan cara yang salah.



Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Kaab bin `Iyadh Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud : “Sesungguhnya bagi setiap umat ada fitnah (ujian), dan fitnah umatku adalah harta.”

Mimbar ingin menarik sidang jemaah sekalian, dalam memastikan kita dan ahli keluarga tidak terlibat atau menjadi mangsa kepada kegiatan ini, marilah kita sentiasa mengambil tahu mengenai taktik penipuan penjenayah siber ini.


Janganlah mendedahkan apa-apa data peribadi seperti kad pengenalan, nombor akaun bank, maklumat perbankan internet dan akaun media sosial kepada pihak lain lebih-lebih lagi ketika membuat sebarang jual beli atas talian.


Dalam pada itu, gunakan kemudahan teknologi dan media sosial dengan berhemah dan berwaspada agar kita tidak dimanipulasi oleh penjenayah yang licik mengambil kesempatan ke atas kesenangan mahu pun kesusahan orang lain.


Semoga Allah SWT mengurniakan keselamatan, kesejahteraan dan pemeliharaan kepada kita, ahli keluraga dan seluruh masyarakat di negara ini.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ankabut, ayat 64: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).”
Tags: harta, khutbah, tipu
Subscribe

Posts from This Journal “harta” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments