mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Syafaat Sebagai Peluang Terakhir

Petikan Khutbah Jumaat 06 November 2020M / 20 Rabi’ul Awwal 1442H: JAIS

Syafaat Sebagai Peluang Terakhir

Sebagai anak Adam samada kita sedar atau tidak, kita sering melakukan dosa dan kesalahan, seandainya taubat kita tidak diterima dan dosa kita tidak diampun maka tidak syak lagi kita akan menjadi bahan bakaran api neraka Allah di akhirat kelak.

Peluang terakhir itu adalah “Syafaat Nabi SAW”. Syafaat bererti pertolongan akhir dari Nabi SAW. Ia adalah menjadi salah satu pegangan yang wajib dipercayai oleh umat Islamjais.jpg

Syafaat yang ertinya pertolongan dari nabi SAW pada hari kiamat nanti. Dalam Al-Quran kalimat syafaat ini disebut sebanyak empat kali, antara lain Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 109:“Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredai perkataannya”

Al-Imam Al-Tahawiy  dalam kitab akidah Al-Tahawiyyah ٍada menegaskan:“Sesungguhnya Syafaat yang disimpan untuk umatnya adalah benar seperti mana yang diriwayatkan dalam beberapa banyak hadis Nabi SAW.

Hadis dari Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap para Nabi mempunyai satu doa yang mustajab, aku ingin menyimpan doa itu untuk memberikan syafaat kepada umatku pada hari kiamat nanti”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis dari Usman bin Affan Radiallahuanhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang akan memberikan syafaat pada hari kiamat nanti, mereka ialah para Anbia, para Ulama dan para Syuhada.” (Riwayat Ibnu Majah).

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, para ulama menyimpulkan bahawa syafaat terbahagi kepada dua: iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus.

Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada. Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW.

Syafaat ini juga dikenali sebagai alSyafaat al-Uzma  Ia adalah permohonan yang dirafakkan oleh baginda nabi SAW kepada Allah SWT supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan mahsyar yang semua manusia dalam keadaan tidak berpakaian di bawah terik matahari.

Jelasnya semua manusia sudah tidak tahan dengan kesengsaraan yang dialami di mahsyar itu, akhirnya mereka beramai-ramai pergi berjumpa Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa supaya dipercepatkan proses perbicaraan dan pengadilan.

Kesemua Nabi tersebut tidak sanggup menolong malah ada yang mengatakan bahawa kami dapati hari ini Allah sedang murka yang amat sangat dan tidak pernah Allah murka sebegitu rupa sebelumnya.

Mereka masing-masing mengatakan “nafsi nafsi ” diriku, diriku, dirimu dirimu selamatkanlah diri masing-masing.

Akhirnya orang ramai sepakat pergi berjumpa Nabi kita Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya perbicaraan dan pengadilan segera dijalankan, Nabi Muhammad SAW bersetuju lantas sujud di bawah arasy bermunajat kepada Allah SWT, permohonan nabi itu dikabulkan dan pengadilan pun dimulakan

Selain dari Syafaat al-Uzma ada lagi syafaat-syafaat yang lain yang dianugerahkan kepada Nabi SAW seperti berikut:

Pertama: Syafaat yang diberi kepada para aulia dan solihin untuk meninggikan tingkat kedudukan mereka di dalam syurga.

Kedua: Syafaat untuk menjemput orang-orang yang masih ada saki baki iman dalam diri mereka walau sebesar gandum, mereka dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga.

Syafaat ini diperolehi oleh Rasulullah SAW dengan rasa belas kasihan baginda SAW yang berdoa sambil menangis kepada Allah. Al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis melalui Ibnu Umar Radiallahuanhuma bahawa Nabi SAW berdoa “Ya Allah! Umatku umatku (mereka masih berada didalam neraka).

Permintaan Nabi dikabulkan Allah dengan firmannya: “…Kami sesungguhnya redha terhadap umatmu dan kami tidak akan menyakitkan hatimu (maksudnya mereka dikeluarkan dari neraka)”

Ketiga: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk membantu orang yang timbangan amal kebaikannya dan kejahatannya sama berat. Maka dengan pertolongan tersebut akhirnya orang itu berjaya memasuki Syurga.

Keempat: Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memasukkan orang-orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab dan azab. Mereka yang sangat bernasib baik ini akan masuk kedalam syurga melalui laluan khas yang telah ditentukan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kumpulan ini, Amin!.

Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis melalui Abdul Rahman bin Abu Bakar Radiallahuanhu beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Tuhanku telah mengurniakan kepadaku seramai tujuh puluh ribu dalam kalangan umatku mereka masuk syurga tanpa dihisab. Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW, “Tidakkah tuan minta ditambah bilangan itu?, Rasulullah menjawab ya! Saya telah memohon tambahan, lalu Allah mengurniakan kepadaku tambahan setiap seorang membawa tujuh puluh ribu orang bersamanya. Umar berkata: tidakkah Tuan meminta tambah lagi?, Rasulullah menjawab ya! Setiap seorang membawa tujuh puluh ribu lagi. Umar bertanya lagi: tidakkah Tuan meminta tambah lagi? Rasulullah SAW menjawab ya! Aku telah meminta tambah tetapi setakat itu sahaja yang diberi.

Kelima: Syafaat yang dikurniakan kepada Nabi SAW untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar dari seksaan neraka.

Hadis daripada Anas Bin Malik Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Syafaatku untuk (menyelamatkan) orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan umatku.” (Imam Ahmad)

Menelusuri khutbah pada hari ini marilah kita menghayati taujihat dan tausiah seperti berikut:

1. Umat Islam mesti yakin bahawa kehadiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini adalah membawa rahmat kepada seluruh alam.

2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa mandat untuk memberikan syafaat adalah kurniaan dan keizinan Allah Azza wa Jalla.

3. Umat Islam yang ingin mendapatkan syafaat Nabi SAW mestilah meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah SWT.

4. Orang-orang yang ingin mendapatkan syafaat dari Nabi SAW mestilah orang yang mengamalkan ajaran Nabi SAW dan memperbanyakkan selawat kepada Baginda SAW.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (al-Taubah : 128).

Tags: khutbah, syafaat
Subscribe

Posts from This Journal “syafaat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments