mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Teguhkan Ketaatan Maslahah Diutamakan

Petikan Khutbah Jumaat 27 Rabiulawal 1442H/ 13 November 2020M JAWI

Teguhkan Ketaatan Maslahah Diutamakan

Islam sebagai agama yang adil telah menetapkan kepentingan umatnya untuk mentaati pemimpin selagi mana sesebuah kepimpinan itu tidak memerintahkan kepada kemungkaran. Apabila pemimpin menetapkan suatu arahan dan peraturan yang tidak menyalahi syarak serta mengutamakan maslahah, maka dalam hal ini kita wajib menumpahkan ketaatan dan akur untuk menerima keputusan mereka.

jawi_logo.jpg

Perhatikanlah, sekiranya setiap individu bertegas dengan ijtihad masing-masing, sudah pasti akan timbul kecelaruan yang boleh mendatangkan kerosakan dan huru-hara dalam masyarakat.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ayat 83 yang bermaksud : “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menyambung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember 2020 bagi membendung penyebaran wabak ini.

Situasi ini menambahkan lagi keresahan apabila ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dan mempertikaikan keputusan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan peraturan dan mengetatkan prosedur seperti solat jumaat dan solat fardu di masjid dan surau.

Kita semua mahu menang dalam memerangi pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak tanpa mengira kedudukan dan pangkat untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Mimbar ingin menegaskan, mentaatiarahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan adalah satu kewajipan. As-Syeikh Dr. Muhammad Shauqi ‘Allam, Mufti Besar Mesir menyatakan bahawa sebarang tindakan atau langkah yang diambil oleh kerajaan, maka ia hendaklah dipatuhi kerana ia adalah demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.

Justeru, dalam keadaan seperti ini, kita sebagai rakyat, wajib meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan pihak berkuasa agama. Tambahan pula ianya melibatkan penjagaan nyawa manusia yang menjadi salah satu aspek maqasid al-Syariah.

Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuuti Rahimahullah : “Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyatnya mestilah tertakluk kepada maslahat.

Mimbar mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’, marilah kita menjalankan peranan dalam melindungi keluarga masing-masing daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19 supaya kita dapat membendung penularan wabak dalam komuniti.

Kesan pandemik ini telah mengubah norma kehidupan seluruh anggota masyarakat. Tanggungjawab melawan pandemik ini juga semakin mencabar apabila kita diuji pada setiap sudut emosi, material dan fizikal.

Justeru, kitalah yang menjadi barisan hadapan dalam keluarga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap isi rumah.

Kepentingan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan juga akan mampu menghasilkan kelompok masyarakat dan warganegara yang baik seterusnya dapat membawa kita mengharungi waktu sukar ini dengan tabah, sabar dan redha.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menjadi warganegara yang taat dan bijak dengan mematuhi serta menyokong usaha membebaskan Negara daripada cengkaman pandemik yang menjadi musuh kita pada hari ini.

Sama-samalah kita berdoa agar ianya segera berakhir. Semoga Allah SWT sentiasa memandu para pimpinan Negara dalam membuat keputusan yang terbaik bagi manfaat kita bersama.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah An Nisa’ ayat 59: Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Tags: khutbah, maslahat, taat
Subscribe

Posts from This Journal “maslahat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments