mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Petikan Khutbah : Bertaubatlah Sebelum Terlambat

Petikan Khutbah Jumaat 20 November 2020M l 04 Rabi’ul Akhir 1442H:JAIS

Bertaubatlah Sebelum Terlambat

Setiap insan memang tidak lepas daripada kesilapan dan dosa, tetapi persoalannya sejauh mana kita berusaha menghindarinya dan bertekad untuk bertaubat serta tidak mengulangi semula.

jais.jpgAda dalam kalangan umat Islam yang bersikap sambil lewa dalam hal ini, malah ada yang menyedari dosa yang dilakukan, tetapi masih menangguhkan hasrat untuk bertaubat dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan dosa dan maksiat yang dilakukan itu tidak akan memberi apa-apa ketenangan yang hakiki ke dalam jiwa pelakunya.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Ma’bad Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Riwayat Ahmad).

Hadis tadi mengingatkan kita bahawa maksiat atau dosa yang dilakukan jika tidak dibasuh dengan taubat, akan meninggalkan kesan ketidaktenangan dalam hati, bahkan menyebabkan hati dipenuhi dengan titik-titik hitam sekiranya tidak segera bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

Inilah bencana besar yang akan menimpa dirinya sehingga jika seluruh hati diselaputi karat dosa kerana pada waktu itu, hati tidak lagi menerima limpahan nur dari Allah SWT.

Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya seseorang mukmin itu apabila melakukan satu dosa, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila dia meninggalkannya dan istighfar serta bertaubat, hatinya dibersihkan.” (Riwayat Ibnu Majah).

Perlu diketahui bahawa perbuatan dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa kecil dan besar. Dosa kecil akan diampuni oleh Allah dengan segala amal kebaikan yang dilaksanakan seperti solat fardu, membaca al-Quran dan beristighfar.

Sedangkan bagi dosa besar, ia tidak akan diampuni Allah kecualilah dengan melakukan taubat yang bersungguh-sungguh dengan penuh penyesalan dan azam tidak akan mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut. Inilah yang dinamakan sebagai taubat nasuha.

Oleh itu setiap muslim hanya akan diampuni dengan melakukan taubat nasuha, sekali gus setiap Muslim bertanggungjawab mengetahui perkara yang dikategorikan sebagai dosa besar.

Imam al-Zahabi dalam kitab al-Kaba’ir menyenaraikan lebih 70 perkara sebagai dosa besar. Justeru, tiada istilah kita melakukan maksiat dengan alasan tidak tahu

Setiap umat Islam perlu sedar akan setiap dosa dilakukan kerana apabila seseorang itu sedar bahawa perbuatannya itu adalah dosa, maka ia akan membawa kepada penyesalan dan seterusnya akan memohon taubat kepada Allah SWT.

Ini kerana taubat adalah satu peluang yang sangat luas dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan menjadi kewajipan kepada setiap muslim mengambil kesempatan ini.

Firman Allah swt dalam surah An-Nur ayat 31:“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Berkaitan ayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa antara kejayaan dan kemenangan yang sebenar seseorang itu ialah dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan laranganNya.

Terdapat beberapa kaedah untuk seseorang itu bertaubat. Antaranya adalah:

1. Menyesal akan segala dosa yang telah dilakukan. Sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu bahawa Rasullullah SAW bersabda:“Menyesali (dosa) itu adalah taubat.” (Riwayat Ahmad).

2. Berazam untuk tidak mengulangi lagi akan dosa tersebut.

3. Meninggalkan semua dosa dan maksiat selama-lamanya.

4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Tahrim ayat 8:“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

Ayat tersebut merupakan seruan daripada Allah SWT kepada hambahamba-Nya agar kembali bertaubat kepada-Nya dan Allah SWT menjanjikan keampunan kepada segala dosa yang pernah dilakukan.

Selain daripada itu, sekiranya dosa yang dilakukan adalah dosa sesama manusia maka hendaklah terlebih dahulu memohon ampun dan maaf serta memulangkan segala yang diambil tanpa kebenaran sekiranya berkaitan.

Jangan jadikan alasan usia muda atau perjalanan hidup masih jauh lagi untuk menangguhkan taubat kerana kematian tidak pernah melihat pada tua atau mudanya usia.

Meskipun pintu taubat itu terbentang luas, ia ada tarikh akhirnya. Pintu taubat itu akan tertutup pada saat seseorang itu hampir menuju kematian dan ketika dunia tiba ke detik akhirnya iaitu hari kiamat. Oleh itu segeralah bertaubat sebelum terlambat.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib menyeru kepada seluruh umat Islam supaya memberi perhatian kepada perkara berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa perbuatan dosa akan mengundang kemurkaan Allah dan menghilangkan keberkatan dalam hidup.

2. Umat Islam wajib bertaubat dan kembali kepada Allah SWT tanpa berlengah.

3. Umat Islam wajib menjauhi segala dosa dan maksiat serta memperbanyakkan istighfar agar segala bala’, wabak dan penyakit khususnya Covid-19 segera diangkat oleh Allah SWT.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Zumar : 53).

Tags: khutbah, taubat
Subscribe

Posts from This Journal “taubat” Tag

  • Khutbah Jumaat : Golongan yang dikasihi Allah

    Petikan Khutbah Jumaat 29 Januari 2021 l 09 Jumadal Akhirah 1442H JAIS Golongan yang dikasihi Allah Allah telah menciptakan makhluknya dengan…

  • Taubat, muhasabah harungi ujian

    KEHIDUPAN manusia seperti berada di dewan peperiksaan yang perlu menjawab pelbagai soalan. Jika kita gagal dalam peperiksaan itu, ia bukanlah salah…

  • Perbaharui taubat tanda insaf

    Setiap manusia tidak terlepas melakukan dosa. Justeru mereka yang bertaubat dan menyedari kesilapan adalah mereka yang keluar daripada gelap-gelita.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments