mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Islam Dihayati Konflik Ditangani

Petikan Khutbah Jumaat 20 November 2020M/ 4 Rabiulakhir 1442H JAWI

Islam Dihayati Konflik Ditangani

Islam sangat menitik beratkan aspek penjagaan akal kerana ia adalah sumber tanggungjawab dalam Islam sehingga menjadi salah satu aspek dalam maqasid al-Syariah.

Akal yang sihat dan sejahtera dapat memastikan kestabilan emosi serta menjamin kehidupan yang bahagia. Jika ia tidak dijaga jawi_logo.jpgdengan baik, maka akan timbullah pelbagai masalah gangguan emosi dan mental yang boleh menjejaskan kehidupan kita.



Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahqaf, ayat 13 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”



Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, masalah gangguan emosi seperti kebimbangan, tekanan, kerisauan dan kesunyian menjadi isu utama masalah kesihatan mental rakyat Malaysia.

Berdasarkan ststistik semasa, seramai hampir 500,000 orang rakyat negara ini iaitu 2.3 peratus mengalami kemurungan. Peningkatan berlaku terutama sejak negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi ini bukanlah sesuatu yang normal, sebaliknya ia perlu dikawal dengan sebaiknya sebelum terus membarah dan merosakkan institusi masyarakat di negara kita ini.

Isu kesihatan mental bukan hanya dihadapi oleh sesetengah golongan masyarakat, bahkan turut dihadapi oleh golongan profesional, pemimpin serta agamawan.


Terdapat banyak perkara yang menjadi punca dan menyumbang kepada masalah mental ini. Antaranya ialah tekanan di tempat kerja, masalah rumah tangga, masalah kewangan yang tidak stabil dan masalah kesihatan.


Keadaan ini tambah memberatkan apabila dunia menghadapi pandemik COVID-19 sehingga memberi kesan kepada sesetengah individu yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan.

Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac 2020 yang lalu hingga hari ini, Talian Kasih menerima banyak panggilan pada setiap hari berkaitan krisis rumah tangga dan kewangan. Ini menunjukkan bahawa betapa ramainya mereka yang mengalami tekanan emosi dalam keluarga.


Islam menilai bahawa kehidupan manusia ini adalah medan ujian untuk menentukan siapakah dalam kalangan mereka yang baik , sabar, redha dan tidak berputus asa.


Sesungguhnya kita tidak boleh menjangkakan ujian yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita, namun kita boleh mengubah cara kita berfikir dan bertindak dalam menempuhi ujian tersebut.


Bersangka baiklah terhadap Allah SWT dan ambillah hikmah terhadap setiap yang berlaku kepada kita.


Dalam usaha untuk mengekalkan kesihatan mental, kita mestilah sentiasa meletakkan kepentingan agama melebihi segala-galanya.

Perbanyakkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan hati yang ikhlas dan sepenuh pengharapan.


Jadikan al-Quran sebagai teman hidup dengan melazimi membaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.


Basahi lidah dengan zikrullah dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Di samping itu, sentiasalah melazimi majlis-majlis ilmu sama ada secara bersemuka atau secara maya.


Dalam pada itu, perbanyakkan sedekah walaupun sedikit kerana melaluinya kita bukan sahaja menjadi tenang malahan kita juga dapat membantu orang lain.


Mengembalikan kesihatan mental juga memerlukan bantuan dari pihak lain. Justeru, dapatkanlah khidmat nasihat daripada pakar kaunseling dan psikologi yang dapat membantu kita dalam memahami diri sendiri dengan lebih baik, membina minda positif dan menangani cabaran hidup dengan lebih baik.


Sesungguhnya pembudayaan kaunseling dapat membantu pengesanan dan pencegahan kesihatan mental. Ketahuilah bahawa perkhidmatan kaunseling bukan hanya kepada individu yang mempunyai masalah mental tetapi ia juga mempunyai peranan dalam membantu sesiapa sahaja yang ingin membentuk dirinya menjadi lebih baik.


Mimbar mengajak sidang Jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama memastikan diri kita, ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat keseluruhannya bebas daripada belenggu masalah kesihatan mental ini.


Di samping itu, berdoalah kepada Allah SWT supaya mengurniakan kesihatan mental dan fizikal kepada semua masyarakat dalam menghadapi ujian pandemik ini. Semoga pandemik COVID-19 ini segera berakhir dari negara kita.

Mengakhiri khutbah, marilah bersama kita hayati firman Allah SWT dalam Surah Fatir, ayat 34: Bermaksud : “Dan (sebagai tanda bersyukur) berkatalah mereka; Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).”

Tags: islam, khutbah, konflik
Subscribe

Posts from This Journal “islam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments