mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ingatlah Sebelum Terlambat

Petikan Khutbah Jumaat 27 November 2020M l 11 Rabi’ul Akhir 1442H: JAIS

Ingatlah Sebelum Terlambat

Pernahkah kita merasakan betapa masa semakin singkat? Ya, memang itu merupakan salah satu tanda hampirnya hari kiamat. Namun begitu, sebelum kita memikirkan tentang hari kiamat yang pasti akan tiba, marilah kita muhasabah diri dalam kehidupan kita.


jais.jpgDalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Waktu mudamu sebelum datangnya waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datangnya waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum datangnya waktu fakirmu, waktu lapangmu sebelum datangnya waktu sibukmu, waktu hidupmu sebelum datangnya

Setiap manusia yang hidup didunia ini, menginginkan umur yang panjang. Umur yang diberkati dan diberi hidayah serta taufik daripada Allah SWT untuk mengerjakan ibadah dan amal soleh.

Walau bagaimanapun ada kalanya Allah SWT meletakkan keberkatan umur, pada umur yang pendek. Tetapi ibadat dan kebajikan mereka banyak, dibandingkan dengan orang yang lanjut usianya.

Sebagai contoh, Imam al-Syafie meninggal dunia ketika berumur 54 tahun, Imam al-Ghazali meninggal dunia dalam usia 55 tahun. Sementara Imam al-Nawawi, meninggal dibawah umur lima puluhan. Akan tetapi mereka telah dapat melakukan banyak kebajikan kerana keberkatan umur mereka.

Sesungguhnya hidup didunia ini hanyalah sementara, akhirat jua tempat yang kekal abadi. Bila sampai masanya kematian akan mendapatkan kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ayat 78:“Dimana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”.

Oleh itu, kita perlu bisikkan dalam hati, apakah kita sudah membuat persediaan untuk menghadapi hari akhirat?

Bersyukurlah kita kehadrat Allah SWT kerana dikurniakan kesihatan yang baik untuk membolehkan beribadah dengan sempurna.

Pentingnya kesihatan, sebagaimana kata Imam al-Ghazali ketika menasihatkan muridnya: “Mati itu ada kalanya datang dengan serta merta. Andai kata mati tidak datang dengan serta merta, sakit akan datang dengan serta merta. Apabila anda sakit, nescaya anda tidak akan berdaya-upaya lagi untuk mengerjakan amalan-amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu adalah bekal akhirat.”

Oleh itu, kesempatan hidup ini hendaknya dimanfaatkan sepenuhnya. Terutama usia muda, hendaklah digunakan untuk mencapai sifat-sifat mulia, menambah ilmu, memperoleh kedudukan yang tinggi dalam urusan agama dan seumpamanya. Kerana apabila sampai usia tua, badan lemah amat sukar menunaikan ibadah, terutama ibadat solat, puasa bulan Ramadan dan ibadat Haji

Menyentuh tentang harta, tentulah menjurus kepada amalan menginfakkannya ke jalan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah alHadid ayat 7: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

Sebenarnya, harta yang kita miliki pada hakikatnya adalah milik Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita infakkan sebahagiannya, untuk membantu fakir miskin, menyantuni anak yatim, menyumbang untuk kemaslahatan ummah.

Lebih-lebih lagi kita Infakkanlah sebagai berwakaf, kerana ganjaran pahalanya berterusan walau pun kita telah meninggal dunia.

Sudah menjadi lumrah alam, setiap manusia inginkan hidup mewah, sentiasa muda dan sihat. Namun perlu diingat, langit tidak selalunya cerah.

Sampai masanya kemewahan mungkin berkurang, usia semakin lanjut, badan uzur, dan ingatan berkurangan. Justeru, janganlah kita terpedaya dengan godaan nafsu yang melalaikan kita untuk beribadah.

Demikian juga masa lapang adalah suatu nikmat Allah yang tidak kurang pentingnya untuk kita manfaatkan. Ibadat yang telah tertinggal seperti solat-solat fardu dan puasa pada bulan Ramadhan boleh kita qada’.

Seterusnya memperbanyakkan zikir dan bertaubat kepada Allah SWT.Imam al-Syafie rahimahullah setelah mencapai umur empat puluh tahun, mula berjalan bertongkat. Apabila ditanya sebabnya, beliau berkata, “Biarlah aku sentiasa ingat, bahawa aku kini sedang berjalan menuju akhirat”.

Demikian Imam al-Syafie mengingatkan dirinya supaya tidak lupa saat kematian dan menghadapi hari akhirat. Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,

Bagi mengakhiri khutbah ini, dapat kita simpulkan beberapa pengajaran, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah beriman dengan yakin bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan akhirat jua tempat yang kekal abadi.

2. Umat Islam hendaklah menghargai nikmat usia yang lanjut, kesihatan, harta dan masa lapang dengan beribadat.

3. Umat Islam hendaklah bijak mengurus masa dengan sebaiknya agar tidak terlalai daripada mentaati perintah Allah SWT.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr : 1-3).

Tags: ingat, khutbah, masa, syafie
Subscribe

Posts from This Journal “ingat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments