mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Zakat Ditunai, Keberkatan Diraih

Petikan Khutbah Jumaat 27 November 2020M/ 11 Rabiulakhir 1442H JAWI

Zakat Ditunai, Keberkatan Diraih

Zakat merupakan satu amalan yang dapat menyucikan diri dan harta yang dimiliki. Ianya merupakan salah satu rukun Islam yang lima.

jawi_logo.jpg

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya melaksanakan kewajipan ini sebagaimana firman-Nya di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud : “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sesungguhnya pensyariatan zakat kepada manusia adalah bertujuan untuk menyuburkan keadilan dalam kehidupan manusia dan membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan.

Ia bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf malah ia menyucikan harta dan jiwa bagi pembayar-pembayar zakat.

Jelaslah bahawa hasil pengagihan zakat yang sempurna, akan mampu meningkatkan ekonomi umat Islam melalui keupayaan mereka menjana ekonomi keluarga.



Natijahnya, kehidupan masyarakat akan aman, kestabilan ekonomi akan wujud, kecemerlangan pendidikan dapat dicapai dan perpaduan ummah menjadi kukuh.

Justeru, mimbar mengingatkan kepada mereka yang layak mengeluarkan zakat, bersegeralah menunaikan kewajipan ini.
Sememangnya pelbagai saluran dan kaedah telah disediakan oleh pusat-pusat pungutan zakat untuk memudahkan urusan pembayaran zakat dilaksanakan termasuklah melalui potongan gaji bulanan.


Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiyallahu‘anhu, Baginda SAW bersabda Bermaksud : “Sesiapa yang Allah berikan harta namun tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat hartanya itu akan berubah menjadi seekor ular jantan yang bertanduk dan memiliki dua taring lalu melilitnya pada hari kiamat, lalu ular itu memakannya dengan kedua rahangnya, lalu berkata: Aku inilah hartamu! Akulah harta simpananmu!”



Di saat negara kita masih lagi berperang melawan pandemik COVID-19, tentunya pelbagai sektor ekonomi turut terjejas malah menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat berhadapan dengan kesusahan akibat kekurangan dan kehilangan punca pendapatan.

Melihat kepada situasi ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sebanyak RM114.8 juta sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac lalu sehingga kini bagi membantu mereka.


Bantuan yang telah disalurkan iaitu bantuan kewangan zakat khas tambahan kepada penerima bantuan bulanan, bantuan peralatan pernafasan kepada hospital, bantuan kepada mahasiswa, bantuan makanan berbungkus sepanjang Perintah Kawalan Pergerkan serta bantuan tilam dan bantal kepada pusat gelandangan.

Selain itu juga, MAIWP turut memperuntukan Bantuan Zakat Kecemasan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12.5 juta bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan atau “asnaf segera” akibat penularan wabak COVID-19. Ini semua adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIWP bagi meringankan mereka yang terkesan ekoran gelombang pertama sehingga ketiga COVID-19.


Lihatlah, betapa besarnya hikmah kewajipan zakat kepada umat Islam. Justeru, marilah kita merebut peluang untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat lebih- lebih lagi di saat ramai mereka yang menghadapi kesukaran hidup.


Semoga dengan zakat yang ditunaikan ini menjadi saham kita di akhirat kelak.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 56 : “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasulullah, supaya kamu beroleh rahmat.”
:
Tags: berkat, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments