mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Kesabaran Menyubur Keimanan

Petikan Khutbah Jumaat 4 Disember 2020M/ 18 Rabiulakhir 1442H JAWI

Kesabaran Menyubur Keimanan

Sebagai orang yang beriman, kita pasti akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian bagi membuktikan keimanan kepada-Nya.


Melalui ujian yang dihadapi, tentunya kita akan menyedari betapa lemahnya diri kita yang sangat bergantung kepada pertolongan Allah SWT.



jawi_logo.jpgHayati dan renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 1 hingga 3 yang bermaksud : “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”


Allah SWT menguji kita dengan pelbagai musibah dan kesusahan supaya melaluinya kita dapat melatih membentuk kesabaran.


Yakinlah bahawa Allah SWT mahu mengangkat darjat dan kedudukan kita di sisi-Nya dengan lebih tinggi sebagaimana yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW di dalam hidupnya, para sahabat dan orang-orang soleh yang terdahulu.
Saat ini, ujian yang terbesar sedang kita hadapi ialah pandemik COVID-19 yang masih belum reda setelah beberapa lama kita berusaha melawan dan menamatkan penularannya.


Lihatlah ramai dalam kalangan kita yang sangat terkesan dengan pandemik ini bukan sahaja terhadap kesihatan malah turut menjejaskan kehidupan mereka apabila dibebani dengan kesukaran hidup akibat hilangnya sumber pendapatan keluarga.
Justeru, keperitan ini sangat memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kepada Allah SWT.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Suhaib Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda :  “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”


Marilah kita menjadikan ujian pandemik ini sebagai medan tarbiah untuk memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.


Ambillah hikmah yang pasti ada di sebalik ujian ini supaya dengannya kita akan menjadi hamba-hamba Allah SWT yang bersyukur dan bersabar.


Bersabar menempuh ujian juga adalah suatu ibadah yang sangat mulia.


Dalam situasi pandemik ini, kita mestilah berusaha untuk menjaga keluarga dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab ini juga memerlukan kesabaran dan pergantungan kepada Allah SWT.


Sentiasalah memperingkatkan kepada ahli keluarga untuk terus mematuhi peraturan dan garis panduan setiap masa.


Di samping itu, didiklah diri kita supaya mengambil berat terhadap orang lain yang sedang menghadapi kesusahan dan kesukaran hidup.


Hulurkan bantuan kepada mereka kerana ia bukan sahaja dapat meringankan beban mereka, malah amalan ini dapat membentuk kesyukuran dan kesabaran dalam diri kita.


Hindarilah sikap suka bergantung kepada orang lain tanpa usaha yang gigih untuk keluar dari kesusahan yang dihadapi sebaliknya jadilah orang yang memberi sumbangan kepada mereka yang benar-benar menghadapi kesukaran hidup.
Mengakhiri khutbah, marilah kita memperbanyakkan amal soleh, bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini.


Semoga kita menjadi hamba yang teguh keimanan kepada Allah SWT dan tinggi nilai kesabaran dalam menempuhi ujian di dunia untuk menuju kejayaan di akhirat.


Hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155 : “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Tags: iman, khutbah, sabar
Subscribe

Posts from This Journal “sabar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments