mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Menyayangi Warga Emas Sifat Orang Bertakwa

Petikan Khutbah Jumaat 04 Disember 2020M / 18 Rabi’ul Akhir 1442H: JAIS

Menyayangi Warga Emas Sifat Orang Bertakwa

Hakikat fitrah bagi kejadian setiap insan akan melalui beberapa proses fasa kehidupan. Bermula dengan fasa bayi dalam kandungan, fasa selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, fasa remaja dan dewasa, dan akhirnya fasa penuaan.

Setiap fasa yang dilalui itu akan mengalami perubahan-perubahan dari aspek fizikal, mental, rohani dan jasmani. jais.jpg

Perubahan fasa-fasa ini merupakan lumrah yang akan dilalui oleh setiap insan sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 70: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

Dari perspektif Islam, usia emas bukanlah satu masalah atau bebanan sebaliknya ia merupakan satu proses normal dan ia perlu diuruskan sebaiknya agar matlamat akhir kehidupan ini untuk mendapatkan pengakhiran yang baik atau husnul khatimah tercapai.

Islam mengajar umatnya agar mengamalkan sikap saling menghormati dan menyantuni antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun keturunan.

Sikap seperti ini perlu disemai sejak kecil, lebih-lebih lagi terhadap kedua ibu bapa. Asuhlah anak-anak kita untuk beradab dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia hari ini, manusia semakin kehilangan adab dan moral dalam kehidupan mereka.

Menghormati dan menyantuni ibu bapa adalah wajib kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Jika kita tidak berbuat baik terhadap keduanya, maka kita dikira melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahqaf ayat 15: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Tuntutan berbuat baik ini juga bukanlah terhad kepada ibu bapa sendiri sahaja bahkan termasuk juga kepada orang yang lebih dewasa atau warga emas, sama ada mereka yang ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak. Ini kerana warga emas juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan dengan menjaga hak-hak mereka

Rasulullah SAW telah mengajar kita untuk berbuat baik kepada orang dewasa sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu ketika seorang tua datang kepada Nabi SAW, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya.

Lalu Baginda SAW bersabda:“Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Riwayat Al-Tirmizi).

Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma:“Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka biarkanlah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Warga emas bukanlah golongan yang boleh kita pandang sebelah mata. Hakikatnya, golongan ini memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah SWT ialah menghormati seorang muslim yang beruban (sudah tua), pembawa al-Quran yang tidak berlebih-lebihan padanya (dengan melampaui batas) dan tidak menjauh (dari mengamalkan) al-Quran tersebut, serta memuliakan pemerintah yang adil.” (Riwayat Abu Daud).

Khatib juga ingin berpesan dan mengingatkan para Jemaah sekalian dalam kita membicarakan persoalan menghormati warga emas ini kita sebagai mukmin hendaklah sentiasa memuhasabah diri kita, bagaimanakah sifat dan sikap kita dalam menghargai ibu dan bapa sebagai warga emas.

Apakah peranan kita dalam memberi kasih sayang kepada mereka yang telah berjuang membesarkan kita.

Apakah kita sekadar membiarkan mereka bersendirian bahkan ada yang sanggup membiarkan mereka di rumah perlindungan orang-orang tua.

Apakah ini wajar dalam suasana pembentukan keluarga yang harmoni pada waktu ini.

Maka oleh sebab itu, marilah kita tanamkan sikap keprihatinan dan rasa simpati terhadap ahli keluarga kita dengan memelihara perhubungan yang baik sesama ibu bapa yang semestinya dihormati dan ditaati kerana ianya mendapat pahala di sisi Allah SWT

Mengakhiri khutbah pada kali ini, marilah sama-sama kita mengambil iktibar beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa menghormati dan mengasihi warga emas adalah perintah dan tuntutan daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa golongan warga emas seharusnya diperlakukan secara baik, disayangi dan dihormati kerana ia adalah tuntutan Islam.

3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa kita akan berada pada usia tua suatu hari nanti. Justeru berazamlah untuk mengasihi dan menjaga golongan ini.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Isra’ : 23).
Tags: khutbah, orang tua, warga emas
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments