mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Titah Sultan, Maslahah Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 11Disember 2020M / 52 Rabi’ul Akhir 1442H: JAIS

Titah Sultan, Maslahah Ummah

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana hari ini rakyat Negeri Selangor menyambut Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-75.

Kita berdoa semoga Allah lanjutkan usia baginda Tuanku dalam keadaan sihat dan afiat, iman dan taat, memerintah negeri dengan adil dan saksama serta dilindungi dari bencana dan musibah.
jais.jpg
Dalam Islam, pemimpin yang adil mendapat kelebihan dan keistimewaan daripada Allah SWT iaitu salah satu yang mendapat naungan Allah pada hari akhirat nanti sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh golongan yang Allah naungi mereka pada hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah iaitu antaranya pemimpin yang adil.” (Riwayat al-Bukhari).

Menjadi pemimpin yang adil adalah suatu kewajipan kepada semua pemimpin.

Imam al-Hassan al-Basri pernah menasihati Khalifah Umar bin Abdul Aziz menerusi kata-katanya “Pemimpin yang adil tidak ubah seperti ibu yang sentiasa mencintai anaknya, dia mengandung dan melahirkannya dengan susah payah, dia mendidiknya pada saat masih kecil, dia tidak tidur malam bila anaknya juga tidak tidur malam, dia akan merasa tenang bila anaknya tenang, dia menyusuinya dan kemudian mendukungnya, dia merasa senang bila anaknya sihat dan merasa gundah bila anaknya sakit.”

Sesungguhnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah memperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk memerintah negeri dan memelihara agama Islam sebagai agama negeri.

Sebagai Sultan sudah tentu tanggungjawab ini sangat besar bagi memastikan negeri, rakyat dan agama Islam dalam keadaan sejahtera, maju dan terpelihara.

Segala tanggungjawab yang diamanahkan ini akan ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti sebagaimana diperingatkan dalam sebuah hadis riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah akan menyoal setiap pemimpin tentang tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sama ada ia tunaikan atau abaikan? Sehingga seorang lelaki ditanya tentang ahli keluarganya.” (Riwayat al-Nasa’i).

Duli Yang Maha Mulia Sultan memainkan peranan amat penting sebagai pelindung rakyat yang berbilang kaum dan agama. Walaupun agama Islam sebagai agama negeri, namun undang-undang membenarkan agama lain boleh diamalkan oleh penganut agama tersebut dengan aman.

Di sinilah, Duli Yang Maha Mulia Sultan menjadi pelindung rakyat. Bagindalah yang bertanggungjawab memastikan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Duli Yang Maha Mulia Sultan juga memainkan peranan sangat penting sebagai penyatu pemikiran rakyat.

Di sinilah kedaulatan Sultan menjadi asas pemerintahan. Sebagai contoh wabak Covid-19 yang sedang melanda, Baginda sering bertitah menekankan bahawa semua pihak mesti berwaspada, berdisiplin dan patuh kepada SOP bagi menangani dan memutuskan rantaian wabak ini.

Disamping itu, kepentingan rakyat yang ditimpa kesusahan akibat Covid-19 mesti diutamakan berbanding kepentingan politik tertentu. Ini menunjukkan betapa Sultan mempunyai peranan besar untuk memastikan kesihatan rakyat dan kestabilan politik didahulukan.

Sesungguhnya peranan dan sumbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam tidak dapat dinafikan lagi dalam menjaga kesucian dan penyebaran agama Islam.

Apa sahaja isu dan permasalahan yang boleh mengganggu gugat Islam dan menimbulkan keresahan umat Islam seperti isu ajaran sesat akan menjadi penekanan dalam titah baginda.

Baginda mahu fahaman yang menyeleweng seperti liberalisme perlu ditangani segera supaya tidak menjadi ikutan kerana boleh merosakkan aqidah umat Islam.

Baginda juga menggesa umat Islam supaya terus istiqamah berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baginda mahu diperbanyakkan penjelasan ilmiah mengenai pegangan ini melalui pengajian kitab akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh pendakwah-pendakwah yang bertauliah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan merupakan Ulil Amri atau pemerintah yang wajib ditaati. Titah baginda amat jelas mengajak kepada kebaikan dan kemaslahatan ummah.

Sebagai rakyat, kita hendaklah menjunjung kasih atas nasihat dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta menzahirkan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Dalam Islam, ketaatan kepada pemerintah adalah bermakna ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan keingkaran kepada pemerintah adalah merupakan juga keingkaran kepada Allah dan Rasul-Nya.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:“Sesiapa yang mentaati aku, maka sesungguhynya ia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkari aku, maka sesungguhnya ia telah mengingkari Allah. Dan sesiapa yang mentaati amirku iaitu pemerintah, sesungguhnya ia telah mentaati aku. Dan sesiapa yang mengingkari amirku iaitu pemerintah, maka sesungguhnya ia telah mengingkari aku.” (Riwayat al-Bukhari Pdan Muslim).

Selagi mana seseorang pemimpin atau pemerintah yang mentaati Allah, selagi itulah kita sebagai rakyat wajib mentaatinya.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, marilah bersama-sama kita mengambil pengajaran daripada tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa kekuasaan yang ada pada Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah amanah daripada Allah SWT untuk dilaksanakan dengan sebaiknya.

2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa mengingkari titah Sultan yang tidak bertentangan dengan syariat akan mengundang kemudaratan dan kerosakan.

3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa semua titah Sultan yang merupakan ketua agama Islam adalah demi kemaslahatan ummah yang wajib ditaati.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisa’ : 59).

Tags: khutbah, maslahah, sultan, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “sultan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments