mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Berbakti Kepada Ibu Bapa, Mengundang Hidup Bahagia

Petikan Khutbah Jumaat  11 Disember 2020M/ 25 Rabiulakhir 1442H JAWI

Berbakti Kepada Ibu Bapa, Mengundang Hidup Bahagia

Ibu bapa adalah insan yang sangat mulia dan tinggi kedudukan mereka di sisi Islam.


Allah SWT meletakkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa selepas perintah mentauhidkan Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, jawi_logo.jpgsampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Ayat ini menunjukkan kepada kita betapa tingginya kedudukan ibu bapa.


Oleh kerana itu, Islam sangat menekankan kita untuk sentiasa menghormati dan berbakti kepada mereka. Ia merupakan sebesar-besar kebajikan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.


Hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasaie daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu berkata: Bermaksud : “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amalan yang paling disukai oleh Allah? Baginda SAW menjawab: Solat yang tepat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah ‘azza wa jalla.”


Sebagai seorang anak, berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah tanggungjawab yang sangat besar untuk dipikul dan dilaksana.


Jika kita mengabaikannya maka itulah tanda kederhakaan yang bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.


Justeru, laksanakanlah tanggungjawab sebagai seorang anak dengan sebaik-baiknya walau di mana sahaja kita berada.

Di saat pandemik COVID-19 masih menular, ramai dalam kalangan ibu bapa yang menjadi golongan paling berisiko untuk dijangkiti wabak ini.

Sebagai anak yang sangat menyayangi kedua ibu bapa, marilah kita memastikan segala keperluan mereka dapat dipenuhi dan dipelihara.

Janganlah ada perasaan berkira-kira dengan mereka. Walaupun kita berjauhan dengan mereka, peruntukkanlah masa untuk sentiasa berhubung melalui pelbagai aplikasi dan teknologi masa kini yang ada.

Kerajaan telah memberikan kebenaran untuk perjalanan rentas negeri dan daerah kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.


Justeru, ramai yang merancang untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ibu bapa. Namun, di sebalik kegembiraan ini, janganlah kita lupa akan kepentingan menjaga keselamatan diri dan keluarga.


Janganlah kita mendedahkan ibu bapa dengan jangkitan COVID-19 kerana mereka adalah golongan yang berisiko untuk dijangkiti terutamanya jika mereka mempunyai penyakit kronik.


Jika kita mempunyai simptom-simptom jangkitan atau menjadi kontak rapat kepada pesakit, tangguhkanlah dahulu hasrat untuk pulang bertemu mereka sehinggalah kita dibuktikan bebas daripada jangkitan wabak ini.

Dalam pada itu, mimbar sentiasa mengingatkan agar kita dapat mematuhi setiap peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta mengamalkan norma baharu pada setiap masa.

Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk terus berbakti dan memohon restu daripada ibu bapa dalam meneruskan kehidupan di dunia ini.


Sentiasalah menitipkan doa buat mereka apatah lagi jika mereka sudah tiada. Sesungguhnya, doa anak yang soleh kepada ibu bapa adalah harta yang paling berharga buat mereka dalam menempuhi kehidupan di alam barzakh.


Semoga kita tergolong dalam kalangan anak-anak soleh yang berbakti kepada kedua ibu bapa dan mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan mengampuni segala dosa mereka.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 14: Bermaksud : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Tags: bahagia, ibubapa, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “ibubapa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments