mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Muhasabah Dilazimi Kehidupan Berkualiti

Petikan Khutbah Jumaat 25 Disember 2020M/ 10 Jamadilawal 1442H JAWI

Muhasabah Dilazimi Kehidupan Berkualiti

Sedar atau tidak, hari ini merupakan Jumaat terakhir kita dalam tahun ini. Sesungguhnya lembaran tahun ini yang akan melabuhkan tirainya menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis yang menjadi pengalaman berharga dalam hidup kita.


Bertambahnya tahun bermakna usia kita turut meningkat yang menandakan bahawa kehidupan kita semakin hampir kepada kematian.

jawi_logo.jpg
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyrayat 18 hingga 19 yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Persoalannya, bersediakah kita dengan amalan kebaikan dan kebajikan sebagai bekalan menghadapi kematian? Justeru, marilah kita
mempersiapkan diri dengan amalan dan bekalan sebanyak-banyaknya seumpama hari ini adalah hari terakhir kita hidup di dunia ini.


Insaflah terhadap segala kesalahan dan dosa dengan melakukan taubat nasuha kepada Allah SWT di samping perbaikilah hubungan kita sesama manusia dengan saling bermaaf-maafan.

Sebagai muslim, kita sememangnya mempunyai tanggungjawab kepada agama dan negara termasuklah ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan sebagainya.


Tanggungjawab tersebut mestilah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana ia sudah tentu akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Tanggungjawab kepada agama merangkumi pemeliharaanakidah, syariah, akhlak dan ibadah.


Tanggungjawab kepada negara dilaksanakan melalui pematuhan undang-undang dan ketaatan kepada pemimpin.


Tanggungjawab kepada ibu bapa ialah dengan menunaikan hak-hak mereka yang mesti dipenuhi oleh setiap anak.


Tanggunggungjawab kepada isteri dan anak-anak ialah dengan memastikan nafkah dan keperluan mereka dipenuhi dengan sempurna.


Manakala tanggungjawab kepada jiran tetangga ialah dengan mengambil berat keadaan mereka di samping sentiasa memastikan keharmonian dan perpaduan dapat dipupuk walaupun berbeza kepercayaan dan kaum.


Sekiranya kita merasakan banyak kekurangan serta kelemahan dalam menunaikan setiap tanggungjawab ini, maka bermuhasabahlah dengan berazam untuk memperbaiki kelemahan tersebut dengan bersungguh-sungguh.


Dalam pada itu ingatlah bahawa muhasabah diri bukan hanya setakat mengingati dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah dilakukan, lalu menyesali dan menangisinya semata-mata.


Sebaliknya, hakikat muhasabah adalah memaksa diri untuk kembali taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya kerana ia merupakan pelaburan kita di dunia ini bagi memperoleh ganjaran syurga di akhirat kelak.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, daripada Syaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bijak adalah orang yang bermuhasabah tentang dirinya (sebelum dihisab pada akhirat kelak) dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah.”


Sepanjang tahun ini kita telah berperang melawan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan dunia yang telah mengubah kehidupan biasa kepada norma baharu.


Marilah kita jadikan peristiwa pandemik yang berlaku pada tahun ini sebagai amaran dan peringatan daripada Allah SWT kepada kita semua supaya tidak leka dengan kehidupan dunia sehingga melupakan akhirat.


Ingatlah bahawa setiap ujian yang datang itu juga adalah bukti bahawa Allah SWT mahu kita kembali mendekatkan diri kepada-Nya dan melaksanakan setiap tuntutan agama. Perbanyakkanlah amal ibadah kepada-Nya dan berdoalah semoga Allah SWT sentiasa memandu kita di landasan agama Islam yang sebenar.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah ar-Ruum ayat 43 hingga 44 Bermaksud : “(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah agama yang betul, sebelum datangnya dari Allah hari yang tidak dapat ditolak, pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan). Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing.”
Tags: kehidupan, khutbah, kualiti, muhasabah
Subscribe

Posts from This Journal “muhasabah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments