mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Ujian Sebuah Kehidupan

Petikan Khutbah Jumaat 8 Januari 2021M/ 24 Jamadilawal 1442H JAWI

Ujian Sebuah Kehidupan


Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari daripada ujian dan dugaan. Ia sentiasa datang kepada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuannya dalam menerima dan menghadapinya.


Allah SWT sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa sabar, reda dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi ujian tersebut.


Firman Allah SWT di dalam surah surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud : “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”


jawi_logo.jpgNegara kita masih lagi mengharungi ujian wabak pandemik COVID-19.


Pada masa yang sama, beberapa buah negeri sedang berhadapan dengan bencana banjir, hujan lebat, tanah runtuh, hakisan tanah dan sebagainya yang telah menjejaskan kehidupan seharian.


Sesungguhnya semua ini merupakan sebuah ujian kehidupan sebagai peringatan supaya kita tidak terus alpa dan leka.


Sebagai muslim kita hendaklah percaya dan yakin bahawa setiap musibah dan bala bencana yang menimpa merupakan ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejauh mana penerimaan manusia dalam mengharungi kesusahan.

Inilah ujian keimanan yang diberikan oleh Allah SWT sebagai peringatan buat hamba-hambaNya.

Justeru, marilah kita bersama-sama mempertingkat kesabaran, lapangkan dada dan fikiran serta terus pasrah dan reda menempuh setiap ujian kehidupan.


Sebagai umat Islam sewajarnya kita mengambil ibrah daripada setiap musibah seperti keadaan bencana alam ini.



Sememangnya musibah tidak akan datang melainkan akibat perbuatan manusia yang sering melakukan kerosakan.


Dengan musibah ini juga, sewajarnya manusia kembali kepada Allah SWT dan menyedari bahawa ia juga menjadi sebab terhapusnya dosa-dosa kita.


Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa sebab dan sia-sia.


Jika ia baik maka akan terbuktilah manfaatnya, malah sesuatu yang buruk juga mempunyai hikmah di sebaliknya.


Islam mendidik umatnya supaya mengambil berat terhadap kesusahan dan kepayahan yang menimpa orang lain.


Dalam mengharungi saat-saat getir ini, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan bangsa.


Hulurkanlah apa jua bantuan sama ada tenaga dan harta seadanya.


Sesungguhnya, inilah bukti kecintaan dan kebersamaan kita terhadap masyarakat dan negara.


Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Maaidah ayat 2: Bermaksud : “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). ”


Sesungguhnya kita amat dituntut untuk sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT ketika menghadapi kesusahan dan bencana.


Imam Abu Dawud r.h telah meriwayatkan hadith daripada Abu al-Yasar RA, bahawa Rasulullah SAW berdoa: Bermaksud: “Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kehancuran, dan aku berlindung kepadaMu daripada kebinasaan. Aku juga berlindung kepadamu daripada tenggelam lemas, terbakar dan menjadi nyanyuk (kerana tua)...”


Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil hikmah dan bermuhasabah daripada ujian yang sedang melanda kita ini.


Perbanyakkanlah doa dan munajat kepadaNya kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat memberi dan menghilangkan kemudaratan melainkan Allah Yang Maha Esa.


Firman Allah SWT dalam surah al-Syura, ayat 30: Bermaksud : “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”


Tags: kehidupan, khutbah, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments