mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Akhlak Mulia, Ibadah Sempurna

Petikan Khutbah Jumaat 22 Januari 2021 l 09 Jumadal Akhirah 1442H JAIS

Akhlak Mulia, Ibadah Sempurna

Agama Islam amat menitik beratkan soal akhlak dalam kehidupan seharian.

Antara misi dakwah utama yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah untuk membina akhlak manusia.
jais.jpg
Akhlak merupakan roh Islam, agama tanpa akhlak diibaratkan seperti jasad yang tidak bernyawa.

Akhlak adalah bermaksud budi pekerti, kelakuan, tingkah laku yang baik.

Dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang menyebutkan ketinggian akhlak nabi SAW dalam surah al-Qalam ayat 4:
“Sesungguhnya padamu (Muhammad) akhlak yang tinggi”

Akhlak yang mulia merupakan tingkah laku yang terhasil daripada diri seseorang itu melalui sikap dan keperibadian yang ditonjolkannya.

Realitinya, akhlak terpuji mampu menawan hati orang lain sebagaimana akhlak Nabi SAW.

Keunggulan dakwah dan tarbiah nabi SAW adalah terletak pada akhlaknya manakala akhlak yang buruk pula adalah sangat dibenci sehingga Rasulullah SAW pernah memohon perlindungan Allah SWT supaya terhindar daripada akhlak yang buruk sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Qutbah bin Malik R.Anhu bahawa Nabi SAW berdoa: “Ya Allah, aku momohon perlindungan-Mu daripada kemungkaran akhlak, amalan yang buruk dan hawa nafsu yang jahat”.

Sumber akhlak Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat tidak akan dapat dicapai selagi mana akhlak tidak dilaksanakan seperti yang dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Rasulullah SAW mendidik para sahabat dengan akhlak yang mulia sehingga dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul, beriman, bertaqwa serta cenderung mencintai kebaikan dan kebajikan.

Tanggungjawab membentuk akhlak merupakan satu agenda besar bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik”. (Riwayat al-Baihaqi).

Secara tidak langsung akhlak mempunyai hubungan dengan aqidah dan syariat. Ianya dapat menggambarkan seseorang yang mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.

Firman Allah didalam surah al-Baqarah ayat 208 : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya”.

Setiap amalan dan perbuatan manusia hendaklah berlandaskan kepada ajaran Islam yang lengkap meliputi aspek ibadah, akhlak, muamalah dan sebagainya.

Apabila seseorang hamba meyakini bahawa Allah tuhan yang telah memberikan segala kenikmatan hidup, maka mereka akan membentuk akhlak dengan memantapkan keyakinan dan iktiqad berasaskan ilmu tauhid.

Pemantapan iman dan islam ini disusuli dengan melaksanakan dan mengerjakan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT didalam kehidupan seharian.

Akhirnya akhlak akan terhasil melalui perlakuan-perlakuan baik itu secara mudah, istiqamah dan ikhlas. Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan kesan dari iman dan aqidah yang luhur.

Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai dengan akhlak. Ia diibaratkan seperti rumah kosong yang tidak berpenghuni.

Akhlak adalah buah daripada ibadah. Ibadah yang sempurna membuahkan akhlak yang baik dan ada nilainya di sisi Allah SWT.

Sebaliknya ibadah yang membuahkan akhlak yang buruk, menandakan bahawa ibadah yang dilakukan selama ini tidak sempurna dan tiada nilainya di sisi Allah SWT.

Mereka dikalangan orang-orang yang beribadah tetapi ibadah mereka tidak membuahkan akhlak yang baik.

Mereka solat, berpuasa, berzakat tetapi ucapan dan kata-kata masih menyakitkan hati orang lain, hati mereka penuh dengan sifat hasad dan dengki.

Abu Hurairah R.Anhu meriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW dengan katanya: Ada seorang wanita yang dikenali dengan banyak solatnya, puasa dan sedekahnya, tetapi ia menyakiti jirannya dengan lisannya”. Jawab Rasulullah SAW: ا ِ“Dia ke dalam neraka”.

Tanya lelaki itu lagi:“Ada seorang wanita yang dikenali dengan sedikit puasanya, sedekah dan solatnya, ia hanya bersedekah dengan sepotong keju, tetapi ia tidak menyakiti jirannya dengan lisannya”. Maka jawab Rasulullah SAW “ Dia masuk ke dalam syurga”. (Riwayat Ahmad).

Justeru walau sebanyak manapun amalan kita dan sekuat manapun hidup beragama namun ianya menjadi sia-sia sahaja sekiranya kita tidak menitik beratkan aspek akhlak dan nilai mulia dalam diri kita.

Utamakanlah akhlak-akhlak mulia yang telah diterapkan oleh Islam. Bahkan akhlak Islam itu sangat penting dalam mencorakkan keperibadian individu dan masyarakat yang akan membentuk tingkahlaku, perbuatan dan amalan seharian.

Antara beberapa pengajaran dan penghayatan daripada khutbah hari ini untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita ialah :

1. Umat Islam hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia bertunjangkan kepada akidah yang benar.

2. Umat Islam janganlah berakhlak dengan akhlak yang buruk yang menyebabkan amalan ditolak oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan tauladan yang baik dalam kehidupan seharian.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab : 21)

Tags: akhlak, ibadah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “akhlak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments