mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Vaksin Sebagai Ikhtiar, Penyakit Jangan Dibiar

Petikan Khutbah Jumaat 22 Januari 2021M/ 9 Jamadilakhir 1442H JAWI

Vaksin Sebagai Ikhtiar, Penyakit Jangan Dibiar

Islam merupakan agama yang menitikberatkan soal kesihatan dengan meletakkan beberapa prinsip asas dalam mendepani penyakit.


jawi_logo.jpgAntara prinsip Islam dalam berhadapan dengan penyakit ialah kita hendaklah berikhtiar mencari ubat atau penawar dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi.

Sesungguhnya setiap penyakit itu ada penawarnya yang dijadikan oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Nahl, ayat 69:Bermaksud: “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).


Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Jabir bin Abdillah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”

Islam amat menitikberatkan soal pencegahan penyakit sebelum ia menimpa manusia. Sesugguhnya anjuran mencegah sesuatu penyakit adalah termasuk menghalang bencana sebelum ia berlaku.


Ketika kita masih berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19, tentunya usaha-usaha untuk mencari jalan pencegahan penyakit ini menjadi keutamaan pihak kerajaan.


Perkara ini adalah maslahah kepada keseluruhan rakyat setelah menimbangkan faktor-faktor yang pelbagai dan setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran serta berautoriti dengan memastikan ia berlandaskan syariat Islam.

Dalam konteks ini, sebagai rakyat kita mestilah bersedia menerima arahan daripada pemerintah selagimana arahan itu tidak bercanggah dengan perintah Allah SWT dan dilakukan untuk maslahah kita bersama.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Hukum penggunaan vaksin ini juga turut didasari dengan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh badan-badan fatwa yang berautoriti dan juga melalui kenyataan tokoh-tokoh ulama Islam di peringkat global.


Walaupunvaksin COVID-19 baru sahaja dikeluarkan dan negara-negara barat telah menggunakannya termasuk negara China dan lain-lain, pengambilan suntikan vaksin ini juga telah dilakukan di negara-negara Islam yang lain antaranya Arab Saudi, Mesir, Jordan, Turki, Bahrain, Kuwait, Qatar, Indonesia dan Brunei.

Pengambilan vaksin COVID-19 pada ketika ini menjadi perkara yang sangat penting kepada kita.


Kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.


Sebenarnya, sebelum vaksin tersebut diluluskan untuk digunakan, ujian-ujian klinikal telah dijalankan untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanannya.

Jika terdapat kesan sampingan yang teruk, maka vaksin tersebut tidak akan diluluskan.

Hari ini, kita dapat melihat ramai dalam kalangan kita yang tidak memahami kepentingan vaksin kepada kehidupan manusia.


Bagi penyakit COVID-19 ini jika kita tidak ambil vaksin, kita berkemungkinan mudah untuk mendapat jangkitan malah dibimbangi juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.


Terdapat juga kajian yang menunjukkan kesan jangka masa panjang kepada pesakit yang telah sembuh.


Justeru, dengan menggunakan vaksin ini kita berkemungkinan dapat menghentikan jangkitan daripada berlaku.

Dengan itu, kita akan dapat melindungi orang lain yang tidak boleh mendapat vaksin seperti wanita mengandung, kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai penyakit berisiko.


Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi daripada jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti.


Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut. Inilah yang dinamakan sebagai ‘imuniti kelompok’.


Justeru, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah dan berisiko untuk mendapat jangkitan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT agar ujian penyakit yang berbahaya ini dapat dicegah dan diatasi daripada terus menular di negara ini.


Hayati firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 160: Bermaksud : “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”
Tags: khutbah, penyakit, vaksin
Subscribe

Posts from This Journal “vaksin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment