mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Malaysia Prihatin: Peranan Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 26 Februari 2021M/ 14 Rejab 1442H JAWI


Malaysia Prihatin: Peranan Bersama


Keamanan adalah anugerah dan nikmat Allah SWT yang tinggi nilainya kepada kehidupan manusia.

Dengan keamanan ini, kita dapat melakukan urusan kehidupan dalam keadaan selesa tanpa rasa takut atau bimbang.

jawi_logo.jpg

Lantaran itu, Islam sangat menekankan kepada umatnya untuk menyuburkan nilai kerjasama dan kesatuan yang menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan sejagat.


Firman Allah SWT di dalam Surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Semangat Malaysia Prihatin adalah manifestasi cita-cita dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu memerangi pandemik Covid- 19.


Kita bersatu padu tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak kerajaan, pihak pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.


Berkat kesatuan kita dengan semangat Malaysia Prihatin, Malaysia pernah membuktikan andaian JP Morgan bagi bilangan kes pada pertengahan April 2020 tidak terjadi.


Tidak mustahil andaian bilangan kes oleh Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) pada Mac 2021 ini iaitu sebanyak 20,000 kes sehari, dapat dinafikan dengan izin-Nya.


Hakikatnya, dua ramuan utama bagi kejayaan memaknakan semangat Malaysia Prihatin ini adalah penekanan kepada peri pentingnya keselamatan dan kesihatan.


Dua elemen ini menjadi penentu kepada apa yang telah kita usahakan secara bersama sejak mula pandemik COVID-19 melanda negara.


Apa yang telah diusahahakan oleh Kerajaan Malaysia pada hari ini kesemuanya adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia amnya berada dalam kondisi yang sejahtera.


Mimbar mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Tentera Darat ke-88 kepada semua warga Tentera Darat Malaysia.



Penghargaan yang tidak terhingga ditujukan kepada setiap anggota tentera yang menjadi antara kumpulan terpenting dalam memastikan keselamatan, keamanan dan keharmonian di dalam negara terus terpelihara samada yang berjuang mempertahankan negara pada masa lalu, juga mereka yang berkhidmat sebagai barisan hadapan pada hari ini.



Semoga keharmonian dan keamanan yang kita kecapi hari ini terus terpelihara daripada pergolakan, perbalahan dan huru-hara.

Menyahut semangat Malaysia Prihatin dan tema Hari Tentera Darat Malaysia pada tahun ini iaitu ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat; Tunjang Kedaulatan Negara’, marilah kita sama-sama berganding bahu memastikan negara yang tercinta ini sentiasa aman, harmoni dan selamat bukan sahaja daripada perpecahan dan pergolakan malah daripada cengkaman pandemik COVID-19.



Justeru, jalinkan kerjasama menempa kekuatan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan dan tingkatkan pengorbanan demi kedaulatan agama dan tanah air tercinta.



Sesungguhnya pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan yang besar kepada pelbagai sektor terutama ekonomi, pendidikan,keselamatan dan sosial.



Alhamdulillah, negara kita telah pun menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 yang selamat tiba di tanah air baru-baru ini melalui penerbangan khas yang membawa sebanyak 312,390 dos vaksin.


Pada 24 Februari yang lalu pula telah berlangsung majlis pelancaran Fasa Pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan menyaksikan suntikan dos pertama vaksin telah diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai bukti kepada rakyat bahawa vaksin tersebut adalah selamat digunakan.



Insya-Allah, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri juga dijadualkan bakal menerima suntikan vaksin selepas solat Jumaat hari ini di Putrajaya.

Inilah juga bukti keprihatinan kerajaan dalam usaha agar Malaysia dapat bebas daripada pandemik COVID-19 ini.


Mimbar menegaskan bahawa, hukum pengambilan suntikan vaksin ini adalah harus dan wajib bagi golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia, sebagaimana yang dijelaskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Dengan jumlah kes harian masih tinggi, tentunya ia menggusarkan banyak pihak terutama ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.



Justeru, marilah kita sama-sama membantu pihak Kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dengan sama-sama menyampaikan maklumat yang tepat mengenai vaksin ini kepada anggota keluarga dan masyarakat.



Jauhilah segala perkongsian informasi yang diragui terutama di media sosial.


Berikanlah kerjasama kepada usaha- usaha pemberian vaksin ini supaya ianya dapat berjalan dengan lancar.


Di samping itu, marilah berdoa semoga kita beroleh kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan menentang dan menghapuskan penularan COVID-19 dari negara ini.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Sempena kempen Jom Berjemaah di Masjid yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, marilah kita merebut peluang untuk kembali memenuhi kuota-kuota ruangan bagi solat berjemaah di masjid dan surau melalui solat fardu berjemaah lebih-lebih lagi ketika ini pihak berkuasa agama telah memberi keizinan untuk jemaah hadir ke masjid dan surau dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.



Di samping itu, marilah kita berinfak ke tabung-tabung yang disediakan supaya aktiviti pengimarahan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat anak-anak kariah.



Peluang yang disediakan ini perlu dimanfaatkan untuk ibadah, doa dan munajat kepada Allah/SWT agar Malaysia beransur pulih seperti biasa.


Semoga dengan kesungguhan kita mengimarah rumah Allah dan bermunajat menjadi asbab Allah SWT memakbulkan doa kita memohon perlindungan, keselamatan dan kemenangan menghapuskan pandemik COVID-19 dari negara ini.


Mengakhiri khutbah, renungi firman Allah SWT di dalam surah Saaf ayat 4: Bermaksud : “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Tags: immunisasi, jemaah, khutbah, masjid, prihatin, tentera
Subscribe

Posts from This Journal “prihatin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments