mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ziarah Madinah

MADINAH Al-Munawwarh merupakan kota suci kedua Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Terletak di sebelah utara kota Mekah. Ia berada di atas ketinggian 625 meter dari paras laut.

Batas Tanah Suci Madinah adalah di antara Jabal 'Iyr di sebelah selatan dan Jabal Thawr di sebelah utara. Panjang utara ke selatan lebih kurang 16 kilometer. Di sebelah timur dan barat disempadani dengan dua batuan hitam iaitu sepadan Tanah Haram dipanggil Harrah Syarqiah dan Harrah Gharbiyah.


Sejarah Madinah

Kota Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Kota Yathrib sempena orang yang membuka kota ini iatu Yathrib ibnu Ubayl Ibnu 'Iwadh berketurunan daripada Sam bin Nabi Nuh a.s. Selepas itu 'Amalek Bani Imlak telah membuka penempatan dan ladang. Dari sebuah penempatan kecil Yathrib berkembang menjadi sebuah kota dan didiami oleh dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab.

Bangsa Yahudi terdiri daripada tiga puak utama Bani Qainuga', Bani Nadhir dan Bani Qurayzah. Mereka menguasai ekonomi kota Yathrib ini. Sementara itu bangsa Arab pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka selalu bertelagah sesama sendiri sehingga kedatangan hamba Allah yang mulia ke kota mereka.

Masjid Nabawi

Pembinaan Masjid Nabawi bermula pada hari kedua ketibaan Rasulullah SAW di kota Madinah. Pada asalnya terdapat pohon tamar dan pohon-pohon qharqad yang berduri dan perkuburan bukan orang Islam di tanah tersebut.

Setelah kawasan tersebut dibersihkan dan perkuburan lama dipindahkan, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabat baginda memulakan pembinaan masjid meliputi kawasan seluas kira-kira 850.5 meter persegi dan 2.9 meter tinggi. Dindingnya adalah daripada campuran batu dan tanah. Tiangnya daripada batang-batang tamar dan atapnya daripada pelepah tamar manakala lantainya daripada tanah liat.

Ia juga tidak mempunyai mihrab dan mimbar pada permulaan pembinaannya.

Ziarah Madinah

Ziarah Madinah boleh dibahagikan kepada dua perkara. Pertama Ziarah Masjid Nabawi (Ziarah Dalam) dan kedua Ziarah Kawasan Bersejarah Sekitar Madinah (Ziarah Luar).

Kebiasaannya jemaah haji yang tiba di Madinah akan bermukim di sana lebih kurang lapan hari. Pada pagi hari pertama jemaah haji tiba, mereka akan dibawa ziarah ke Masjid Nabawi. Jemaah haji akan ditunjukkan Babus Salam. Bagi jemaah lelaki mereka akan masuk melalui Babus Salam kemudian terus ke ruang solat untuk solat tahiyatul masjid.

Setelah solat, jemaah haji akan ditunjukkan raudah iaitu kawasan yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW :"Taman di antara taman-taman syurga." Jika berkesempatan jemaah akan dapat masuk untuk solat dan berdoa di dalamnya. Jika terlalu ramai jemaah haji hendaklah terus menuju ke Babul Baqi'.

Di luar masjid, setentang dengan Babul Baqi' terletak perkuburan Baqi'. Jika berkesempatan jemaah haji lelaki bolehlah menziarahi perkuburan Baqi' yang biasanya dibuka antara selepas Subuh sehingga pukul 8 pagi dan selepas Asar sahaja.

Bagi jemaah haji wanita mereka akan dibawa ke hadapan Babus Salam sahaja.

Kemudian mereka akan dibawa di hadapan Masjid Nabawi. Di sana jemaah haji wanita akan ditunjukkan Qubbatul Khadra' (kubah hijau). Di bawah kubah hijau itulah Rasulullah SAW bersemadi. Jemaah wanita hanya memberi salam kepada Rasulullah SAW dan dua orang sahabatnya dari kawasan berkenaan kemudian mengadap kiblat untuk membaca doa.

Jemaah haji wanita kemudian ditunjukkan perkuburan Baqi' dari luar. Setelah membaca doa untuk ahlul Baqi', mereka kemudiannnya memasuki masjid melalui Babul Ali atau pintu bernombor 29.

Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA

l MOHD. RAZALI ZAKARIA ialah Pengurus (Penerbitan) Lembaga Tabung Haji Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/08/2012

Tags: haji, madinah, ziarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments