mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak

Petikan Khutbah Jumaat 5 Mac 2021M/ 21 Rejab 1442H JAWI

Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak

Islam adalah agama yang menyeru manusia agar hidup dalam suasana yang aman dan harmoni, tanpa perselisihan faham atau persengketaan.

Dewasa ini, perbalahan sesama manusia seringkali berlaku akibat daripada pendustaan dan penularan maklumat yang tidak benar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

jawi_logo.jpg

Dalam hal ini, Islam menyuruh kita supaya menyelidik dan menyemak kesahihan atau kebenaran setiap berita yang diterima.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini; dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya); sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Imam Ibn Jarir rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini mengatakan, “hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguhkan seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu ketahui dan yakin dengan kebenarannya. Jangan sekali-kali bersikap gelojoh untuk menerimanya.”

Demikianlah yang diajar oleh Islam supaya kita tidak bertindak dalam keadaan jahil dan terburu-buru.

Dalam era kecanggihan media sosial hari ini, amat mudah bagi seseorang individu menyebarkan sesuatu maklumat kepada masyarakat.

Lihatlah pelbagai teori dan spekulasi dicetuskan oleh sesetengah pihakdalam isu vaksin COVID-19 sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Jika kita amati di media sosial, ramai dalam kalangan kita yang terpedaya malah secara tidak sengaja telah menjadi agen propaganda menyebarkan maklumat tidak sahih dan meragukan.

Justeru, sebagai muslim yang bertanggungjawab, marilah kita pastikan segala maklumat yang disalurkan adalah tepat dan sahih.



Jauhilah sikap suka menjadi orang yang pertama dalam menyebarkan sebarang maklumat tanpa terlebih dahulu meneliti akan kebenarannya.

Isu penyebaran ini dibimbangi ia adalah berita palsu yang boleh mendatangkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi ketika negara kita masih lagi berhadapan dengan pandemikCOVID-19.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bermaksud: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).”

Oleh itu, marilah kita gunakan nikmat akal kebijaksanaan dalam menilai dan memproses maklumat yang diperolehi sebelum ia disebarkan kepada orang lain terutama di media sosial.


Janganlah kita menjadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengulang kembali apa yang didengarinya tanpa mengetahui apa-apa berkaitannya.

Islam amat menitikberatkan soal memelihara hubungan persaudaraan.

Justeru, sebagai seorang yang bertanggungjawab marilah kita menggunakan telefon pintar dan media sosial sebaik mungkin sebagai medium untuk membina dan merapatkan ukhwah di samping sentiasa menjaga aib dan maruah. Ingatlah, banyak kesan buruk yang timbul akibat sikap suka menularkan banyak perkara sehingga mencetuskan salah faham, fitnah, prasangka buruk dan budaya mengumpat dalam kalangan pengguna media sosial.


Di samping itu, janganlah kita mudah membuat sebarang komentar yang berbaur kecaman kepada orang lain kerana ia hanya mencerminkan keburukan akhlak diri sendiri.


Sebagaimana kita beradab sopan dalam kehidupan yang nyata, begitulah juga yang mesti kita lakukan ketika bersosial di alam maya.


Dalam pada itu, kita juga mestilah bijak menggunakan pelbagai aplikasi yang ada dalam dunia siber menepati hukum syarak dan mengikut peraturan atau undang-undang negara.

Mengakhiri khutbah, marilah kita mengamalkan sikap tabayyun dalam menerima sesuatu berita supaya kita dapat menghindarkan diri daripada menjadi penyebab kepada penyebaran berita palsu yang jelas akan mengundang kemurkaan Allah SWT.


Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat Bermaksud: “Dan orang-orang yang menganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”
Tags: khutbah, media sosial, nijak
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments