mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Berhati-hati Dengan Ucapan Murtad

Petikan Khutbah Jumaat 19.03.2021 l 05 Sya’ban 1442H JAIS

Berhati-hati Dengan Ucapan Murtad

Dalam huraian murtad ditakrifkan sebagai satu tindakan memutuskan pertalian dengan agama Islam melalui ungkapan, perbuatan dan niat yang membawa maksud kufur terkeluar daripada Islam.

Oleh itu, apabila disebut murtad ia bukan bermaksud keluar daripada satu agama kepada agama yang lain. Ia bermaksud keluar dari Islam.

jais.jpg

Perkara ini dianggap sensitif oleh umat Islam apabila diperkatakan secara terbuka dengan andaian yang tertentu.

Ucapan murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan semata-mata diungkapkan dibibir dan mulut.

Ia juga bukan ucapan kontroversi untuk meraih populariti dan simpati.

Setiap ucapan yang mengundang keburukan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain akan dinilai sebagai suatu dosa.

Pengucapan murtad memberi kesan besar kepada amalan kerana ia merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur

Sementara itu, bergurau, kecewa atau merajuk melafazkan “Aku keluar Islam” merupakan ucapan-ucapan untuk memutuskan kepercayaan terhadap agama Islam yang benar dan tertinggi.

Pengucapan ini sangat ditegah dan dilaknat dalam Islam.

Ia bukan boleh dilafazkan secara sesuka hati atau disebabkan mempunyai tekanan masalah.

Hal ini dapat dilihat apabila seseorang kecewa terhadap qada dan qadar yang dihadapinya dan tidak mengenal hakikat tuhan yang sebenar.

Ini kerana, kebanyakkan orang yang tidak mengenal tuhan dengan mudah mengungkapkan kalimah murtad.

Namun, bagi mereka yang mengenal hakikat tuhan yang sebenar mustahil mengungkapkan kalimah murtad kerana mengetahui hakikat dan sifat tuhan yang sebenarnya.

Larangan menyebut ucapan kufur dan murtad jelas dilarang di dalam Islam.

Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66 : “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?. Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”

Implikasi penggucapan kalimah murtad bukan sahaja memberi kesan kepada individu penutur malah memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara.

Senario ini secara tidak langsung boleh menggangu gugat keharmonian beragama dalam masyarakat awam.

Kesannya, segelintir masyarakat mula keliru dan membuat andaian tafsiran pengucapan dengan pelbagai tanggapan.

Isu murtad bukanlah suatu isu baharu dalam dunia umat Islam. Ia bermula semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, zaman salaf al-soleh sehingga ke hari ini.

Pendekatan untuk mengekang penularan isu ini memerlukan kepada penghayatan dan pendidikan tarbiah Islamiah semenjak dari kecil ibarat melentur buluh biarlah dari rebung.

Oleh itu, ibu bapa disarankan agar melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu fardu ain yang mantap merangkumi pengajaran tentang usul aqidah, ibadat dan akhlak.

Tunjukkanlah tauladan yang baik kepada anak-anak dengan mentaati perintah Allah SWT.

Amalan dan tindakan sedemikian menyuburkan roh Islam, ihsan dan sifat takut dalam jiwa anak-anak terhadap pembalasan Allah SWT.

Jangan kita pernah terfikir untuk mengucapkan kata-kata yang boleh merosakkan iman dan murtad dari Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama yang benar dan diredai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 19: “Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Islam adalah agama penyelamat dan menyelamatkan manusia dari kesesatan.

Ia adalah nikmat kurniaan Allah yang tiada bandingan dan tandingan menjadi hidayah yang sempurna, adil dan rahmat kepada seluruh manusia dan alam.

Kita perlu sentiasa bersyukur kerana menjadi insan terpilih atas nikmat iman dan Islam.

Dalam memelihara iman di akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan ujian, Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu’anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan Agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api” (Riwayat al-Tirmizi)

Bagi memastikan keharmonian beragama, semua pihak perlu memandang serius isu ini dengan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya kepada pihak yang terlibat agar Agama dipandang pada kedudukan yang tinggi dan tidak dipermainkan oleh individu atau kumpulan tertentu.

Jangan jadikan isu murtad ini sebagai isu politik. Ia adalah isu seluruh umat Islam yang cintakan agama.

Setiap individu muslim berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masingmasing bagi memastikan Islam terpelihara dari sebarang unsur negatif.

Meskipun, dan apa pun alasan bagi mengabsahkan tindakan pengucapan kata-kata murtad namun syariat Islam dengan jelas menghukumkan bahawa pengucapan kata-kata sedemikian sangat ditegah dalam syarak. kita dilarang mengambil jalan singkat mengikut emosi dan nafsu amarah.

Pertimbangan sewajarnya adalah dengan kembali bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT untuk memohon petunjuk dari-Nya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini marilah sama-sama kita hayati dan mengambil pengajarannya agar diberikan pedoman dalam hidup ini, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah menyakini bahawa Islam adalah ajaran yang benar dan membawa kesejahteraan kepada manusia sejagat.

2. Setiap umat Islam hendaklah berkewajipan menjaga keharmonian Agama dan memelihara kemurnian iman dan Islam.

3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa Iman merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih dan ia merupakan nikmat paling besar dan tiada tolok banding nilaiannya dengan harta seisi dunia.

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Surah al-Nahl: 106)

Tags: khutbah, murtad
Subscribe

Posts from This Journal “murtad” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments