mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Sempurnakan Persiapan, Gandakan Amalan

Petikan Khutbah Jumaat 19 Mac 2021M/ 5 Syaaban 1442H JAWI

Sempurnakan Persiapan, Gandakan Amalan

Kita baru sahaja memasuki bulan Syaaban. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk kita bertemu dengan bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh orang-orang soleh iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.

Bulan yang penuh dengan pelbagai kelebihan dan kemuliaan ini tentunya dinantikan bagi meraih ganjaran yang besar dan berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

jawi_logo.jpg

Justeru, Syaaban adalah medan tarbiah untuk mendidik diri kita memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan seperti puasa sunat, sedekah dan infaq pada jalan Allah.



Renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl, ayat 97 yang dibacakan tadi yang bermaksud:“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Tahun ini kita masih lagi menyambut ketibaan Ramadan dalam suasana pandemik COVID-19. Bertuahnya kita pada tahun ini kerana pihak berkuasa agama telah memberikan kebenaran untuk kita sama-sama mengimarahkan Ramadan di masjid dan surau mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.


Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan permohohan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk pelaksanaan solat fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Manakala bagi solat jumaat, pelaksanaannya diperluaskan ke semua ruang yang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau yang diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 meter di samping aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan sebagainya turut dibenarkan untuk dilaksanakan dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Selain itu, aktiviti pengimarahan Ramadan juga telah dibenarkan untuk dilaksanakan pada tahun ini di seluruh masjid, surau jumaat dan surau iaitu solat sunat Tarawih 20 rakaat dengan bacaan surah-surah atau ayat-ayat pendek mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter, tadarus al-Quran dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus dari kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter dan qiamullail yang boleh dilaksnakan 30 minit sebelum waktu imsak.

Menyedari keperluan untuk menghidupkan Ramadan dalam keadaan kewangan masjid dan surau yang menghadapi kekurangan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah melancarkan program Road To Ramadan Peringkat Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan pada 12 Mac yang lalu.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu meningkatkan dana masjid dan surau dan mengembalikan kemeriahan masjid melalui pelbagai akitiviti yang akan dilaksanakan.


Di samping dapat menyemarakkan semangat dan menghidupkan ruh Ramadan, masyarakat juga akan didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan menjelang ketibaan bulan ini seterusnya dapat meningkatkan kehadiran jemaah ke masjid dan surau selaras dengan kempen ‘Masjid di Hatiku’.

Mimbar mengambil kesempatan ini untuk mengajak sidang Jemaah sekalian untuk sama-sama berinfak dan bersedekah ke tabung-tabung masjid dan surau.


Sesungguhnya berinfak pada jalan Allah SWT sangat dituntut dalam Islam malah ia menjadi amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.


Berinfak ke rumah Allah juga adalah antara amalan mulia yang boleh kita lakukan di masa kini dengan pelbagai saluran yang disediakan.


Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai amalan yang membuka pintu kebaikan, antaranya ialah sedekah.


Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah RH, daripada Mu’az bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.”

Marilah kita sama-sama merebut peluang untuk menghulurkan sedekah dan infak ke masjid dan surau biarpun dengan jumlah yang sedikit bagi menyemarakkan ihya’ Ramadan pada tahun ini.

Dalam pada itu, marilah juga kita melaksanakan ibadah wakaf sama ada melalui wakaf tunai atau harta kepada masjid-masjid, surau-surau jumaat dan surau-surau demi kepentingan umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.


Dana wakaf tunai yang kita sumbangkan boleh dimanfaatkan untuk membaik pulih atau menambah baik prasarana di masjid dan surau seperti penggantian karpet dan perluasan ruang solat.


Di samping itu, kemudahan di masjid dan surau juga dapat dipertingkatkan melalui wakaf harta seperti mewakafkan kenderaan pelbagai guna atau van jenazah, menambah baik sistem pembesar suara, wakaf al-Quran dan sebagainya.


Mudah-mudahan dengan segala sumbangan yang kita berikan sama ada melalui sedekah, infak dan wakaf walaupun sedikit dapat menjadi amal jariah kita di dunia ini.

Marilah kita menjadikan bulan Syaaban ini sebagai medan untuk memperbanyakkan ibadah puasa sunat, melazimi membaca al-Quran, mendekatkan diri dengan rumah Allah dan melakukan qiyamullail.

Tinggalkanlah segala pekerjaan atau perbuatan yang merugikan sebaliknya isilah masa-masa terluang dengan meningkatkan kualiti ilmu dan ibadah. Inilah persiapan diri kita di bulan Syaaban untuk menyambut ketibaan Ramadan.



Di samping itu, bermuhasabahlah terhadap segala perbuatan dosa dengan bertaubat memohon keampunan Allah SWT, tingkatkan ilmu pengetahuan mengenai Ramadan dan ibadah puasa serta binalah strategi menghadapi Ramadan supaya kita tidak mensia-siakan bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan ini.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 18: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
َ
Tags: amalan, khutbah, syaaban
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Khutbah Jumaat Bahtera Kasih Menuju Bahagia

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Oktober 2021M/ 15 Rabiulawal 1443H JAWI Bahtera Kasih Menuju Bahagia Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat…

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments