mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Di Ambang Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat 9 April 2021M/26 Syaaban 1442H JAWI

Di Ambang Ramadan

Sesungguhnya, sama ada kita sedar atau tidak, masa berlalu begitu pantas berjalan meninggalkan kita. Bulan Syaaban telah pun memasuki ke hari-hari terakhirnya, tidak lama lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan; Ramadan al-Mubarak.

jawi_logo.jpg
Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan dan dilimpahi rahmat serta keampunan melalui kewajipan puasa yang dilakukan dengan penuh pengharapan terhadap Allah SWT.


Kewajipan berpuasa sebulan di bulan Ramadan telah dinyatakan oleh Allah SWT supaya hamba-hamba-Nya menjadi orang yang bertakwa.


Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ramadan bukan hanya sekadar satu bulan di dalam kalendar Islam, malah ia adalah sebuah madrasah yang mampu mentarbiyah jiwa insan.

Kedatangan bulan Ramadan adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam.


Manakan tidak. Bulan mulia yang bakal menjelang tiba ini Allah SWT menyediakan pelbagai tawaran mega kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.


Setiap detik dan saat yang berjalan tidak kira sama ada waktu pagi mahupun petang, malam ataupun siang, segala amal soleh yang dilakukan akan dilipat gandakan nilai ganjarannya oleh Allah SWT.

Ramadan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat.

Imam an-Nasaie meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan khabar gembira kepada para sahabat tentang kedatangan Ramadan melalui sabda Baginda SAW : “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah SWT telah mewajibkan kepadamu berpuasa di dalamnya, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan akan dibelenggu; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak memperolehi kebaikannya, maka dia tidak memperolehi apa-apa.”

Sebagai menghargai kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita mempersiapkan diri untuk meraih segala anugerah yang dijanjikan.

Perbetulkanlah niat dan azam menyambut ramadan semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Janganlah mensia-siakan peluang beribadah di dalam bulan ini. Dengan niat dan azam yang betul, insyaAllah kita dapat melaksanakan ibadah dan amal soleh dengan sempurna.

Di samping itu, banyakkanlah mengulangkaji mengenai Ramadan terutama terhadap segala hukum-hakam berkaitan puasa supaya kita dapat melaksanakan tuntutan puasa dengan sempurna.

Bagi menyambut ketibaan Ramadan ini, marilah kita melahirkan kegembiraan dan berdoa kepada Allah SWT agar kita dapat melakukan sebanyak-banyak amal soleh dan kebajikan pada bulan Ramadan tahun ini.

Kita juga berdoa semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh Baginda Nabi SAW, para sahabat dan orang-orang soleh.


Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi, yang dipertemukan dengan Ramadan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan Allah SWT.

Ramadan tahun ini tentunya berbeza daripada tahun lepas. Walaupun kita terikat dengan pelbagai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP), namun kita masih lagi beruntung kerana berpeluang untuk mengimarahkan masjid dan surau pada Ramadan kali ini.


Justeru, marilah kita sama-sama mematuhi setiap SOP yang ditetapkan. Datanglah awal ke masjid dan surau supaya kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan sempurna.

Untuk makluman para Jemaah sekalian, pada tahun ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan melaksanakan Program Dapur It'am yang objektifnya untuk memberi juadah berbuka puasa kepada kira-kira 10,500 orang secara percuma setiap hari yang boleh memberikan manfaat kepada 315,000 orang sepanjang bulan Ramadan.


Di samping itu pihak Baitulmal MAIWP juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM9,230,000.00 untuk tujuan pengimarahan masjid, surau jumaat dan surau sepanjang Ramadan iaitu RM15,000 kepada setiap masjid, RM12,500 kepada setiap surau Jumaat dan RM11,000 kepada setiap surau.


Justeru, kepada pihak pentadbir dan jawatankuasa kariah, gunakanlah kesempatan ini untuk melaksanakan program yang bersesuaian dengan pematuhan kepada SOP yang telah dikuat kuasakan.

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar mengambil kesempatan, bersempena dengan sambutan hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kali ke-75, marilah kita menjadi pengguna jalan raya yang bersama-sama membantu pihak JPJ selaku agensi yang menguatkuasa dan mentadbir undang-undang jalan raya Malaysia dengan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Jadilah pengguna jalan raya yang beradab sopan, tidak mementingkan diri sendiri serta amalkanlah sikap hormat dan bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya yang lain.


Ambillah ibrah daripada kefarduan ibadah puasa. Jika kita mampu mengawal nafsu dan bersabar di sepanjang Bulan Ramadan, maka inilah yang seharusnya kita amalkan ketika berada di jalan raya.

Sebagai hamba yang bersyukur, marilah kita menghargai nikmat nyawa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan berusaha
memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri mahupun memudaratkan orang lain terutamanya ketika di jalan raya.


Justeru, peliharalah nikmat nyawa dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah amanah yang amat berharga.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah, ayat 51 : “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
Tags: khutbah, puasa, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments