mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Aidilfitri : Aidilfitri Dirai, Norma Baharu Diinsafi

Petikan Khutbah Aidilfitri KHAS AIDILFITRI (1 Syawal 1442H) JAWI

Aidilfitri Dirai, Norma Baharu Diinsafi

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi mengurniakan kepada kita peluang untuk bersama-sama berhimpun dan menunaikan solat sunat Aidilfitri biar pun dalam suasana norma baharu.

Aidilfitri dirayakan sebagai meraikan kemenangan setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan melakukan amal ibadah, kebaikan dan kebajikan.
jawi_logo.jpg

Aidilfitri juga adalah tanda kita telah kembali kepada fitrah. Ini bertepatan dengan intipati madrasah Ramadan yang merupakan bulan penyucian diri dan jiwa.


Dalam masa yang sama, ia mendidik kita menjadi insan yang sentiasa berjuang mengawal hawa nafsu yang sentiasa meruntun.

Hasilnya di penghujung Ramadan kita berjaya mengakhirinya dengan kembalinya kita kepada fitrah seumpama kain putih yang bersih dan suci.

Maka dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, ia sewajarnya menjadi satu matlamat yang besar untuk kita memulakan langkah baharu dan beristiqamah untuk terus hidup sebagai muslim yang benar-benar taat kepada tuntutan syariat dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat serta bercanggah dengan syariat.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah ash-Shams ayat 9 hingga 10 Bermaksud : “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Kita telah mengharungi Ramadan dalam suasana nomra baharu. Walaupun dengan SOP yang ketat, namun kita bersyukur kerana diberi peluang untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail dan bertadarus al-Quran.

Tahun ini kita sekali lagi menyambut hari raya dalam suasana yang berbeza daripada kebiasaan akibat daripada pandemik COVID-19.

Walaupun kita merasa sedih dan hiba, namun Islam mengajar kita supaya bersyukur, bersabar dan bertawakal dalam menempuhi ujian ini.

Kesempatan hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat hari raya seharusnya kita syukuri di samping mempraktikkan kawalan kendiri.

Sesudah selesai mendengar khubah hari raya, mimbar mengingatkan sidang Jemaah sekalian untuk terus pulang ke rumah dan janganlah berkumpul berama-ramai sehingga mengundang risiko penularan wabak ini.

Mimbar juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para jemaah sekalian untuk meneruskan ikhtiar dan usaha memutuskan rantaian COVID- 19 ini dengan mematuhi Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa semasa menyambut hari raya.

Dalam mempraktikkan amalan norma baharu, kita diingatkan untuk tidak ziarah-menziarahi. Cukuplah kita berhubung secara maya kerana dibimbangi jika ada dalam kalangan kita yang dijangkiti wabak ini, ianya akan menyebabkan berlaku penularannya yang sukar dibendung dan dikawal.


Seterusnya, marilah kita bertawakal kepada Allah SWT yang menguasai segalanya. Mudah-mudahan kita dan ahli keluarga sentiasa terpelihara daripada dijangkiti wabak ini.

Aidilfitri seharusnya diraikan dengan nilai kebersamaan, perpaduan dan persaudaraan.


Oleh itu, manfaatkanlah kecanggihan teknologi pada telefon pintar seperti aplikasi whatsapp, telegram, Instagram, facebook dan sebagainya untuk berhubung terutama dengan ibu bapa yang berada jauh di kampung halaman, kaum keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Inilah masanya untuk kita mengeratkan silaturahim dan persaudaraan sesama ahli keluarga mahunpun sahabat handai.


Rebutlah peluang untuk saling bermaaf-maafan sesama kita.Di samping itu, santuni jiran tetangga dan masyarakat sekeliling kita dengan saling memberi ucapan hari raya, mendoakan dan bersedekah dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan seperti pemberian makanan, barangan keperluan harian dan sebagainya.


Kita juga boleh menghantar makanan juadah hari raya kepada mereka walaupun tanpa menziarahi rumah mereka bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan seperti GrabFood, Foodpanda dan sebagainya.


Marilah kita meraikan Aidilfitri ini secara sederhana. Jauhilah pembaziran dan janganlah mengisi sambutan hari raya dengan perkara yang tidak berfaedah.


Aidilfitri adalah medan menambah keberkatan bukan menghapuskan segala ganjaran kebaikan yang telah dilakukan semasa Ramadan.


Semoga Allah SWT menerima segala amalan dan kebaikan yang telah kita lakukan dalam bulan Ramadan yang lalu. Semoga HariRaya Aidilfitri 1442H ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum amal ibadah yang telah kita lalui.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama :

Pertama: Jadikan Aidilfitri sebagai matlamat memulakan langkah baharu untuk hidup sebagai muslim yang taat kepada tuntutan syariat dan meninggalkan segala kemungkaran.

Kedua: Praktikkan amalan norma baharu ketika menyambut hari raya ini, gantikan amalan berziarah dengan berhubung secara maya dan patuhilah setiap SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Ketiga: Eratkan silaturahim sesama ahli keluarga dengan saling berhubung dan bermaafan, kukuhkan persaudaraan sesama insan dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Firman Allah SWT di dalam surah az-Zumar ayat 61: Bermaksud : “Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa (yang menjauhkan diri daripada perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.”
Tags: aidilfitri, khutbah, rai
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment