mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ujian Semakin Berat, Kebersamaan Bertaut Erat

Petikan Khutbah Jumaat 21 Mei 2021M/ 9 Syawal 1442H JAWI

Ujian Semakin Berat, Kebersamaan Bertaut Erat

Ujian adalah sunnatullah dalam kehidupan kita sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT. Ia bertujuan untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita kepada-Nya.jawi_logo.jpg

Setiap insan diuji dengan ujian yang berbeza bergantung kepada keupayaannya dalam menghadapi ujian tersebut.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud : “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Setelah setahun berlalu, negara kita masih lagi menghadapi musibah pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir, bahkan saban hari kita diberitakan mengenai peningkatan jumlah kes jangkitan dalam negara. Keadaan ini sungguh merisaukan kita.



Pelbagai inisiatif dan ikhtiar telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani keadaan yang serius ini khususnya dalam menyeimbangkan antara keutamaan kesihatan dan kepentingan ekonomi.



Justeru, sebagai rakyat dan warganegara yang bertanggungjawab, mimbar menegaskan bahawa kita mestilah sama-sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan mendepani wabak COVID-19 ini supaya kita dapat melandaikan semula keluk jangkitannya.



Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan tidak akan berjaya andai kita terus berdegil dan hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak lain berbanding diri sendiri.


Mimbar mengajak para jemaah sekalian, marilah kita bersatu dan berpadu tenaga memerangi wabak COVID-19 ini dengan meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.


Sepatutnya norma baharu telah menjadi kebiasaan setelah setahun kita melaluinya. Amalkan sikap lebih berhati-hati dan sentiasalah mengamalkan kawalan kendiri.


Dalam situasi yang sangat merbahaya ini banyakkan berada di dalam rumah, janganlah keluar jika tiada sebarang keperluan yang mendesak. Marilah juga kita menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan segera mendaftar sebagai penerima vaksin.

Hari ini kita dapat melihat kebanyakan masyarakat dalam pelbagai lapisan umur dan peringkat sangat aktif menggunakan media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan whatsapp.


Oleh itu, kita diingatkan supaya menggunakan media sosial dengan cara yang bijak. Jika dilihat di media-media sosial, terlalu banyak paparan yang tidak benar dan meragukan ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesannya, ramai dalam kalangan kita yang terpedaya malah ada yang berani mempertikaikan pelbagai inisiatif dan tindakan pihak berkuasa untuk memerangi pandemik ini.

Sebagai pengguna yang bijak, marilah kita menggunakan setiap media sosial yang ada untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dalam memerangi pandemik ini.


Janganlah hanya pandai mencemuh dan mengkritik sedangkan kita sendiri tidak membantu walau secebis nasihat atau peringatan kepada orang lain supaya mematuhi arahan dan SOP yang dikeluarkan.


Di samping itu, marilah kita tingkatkan disiplin diri dan jadilah barisan hadapan kepada keluarga kerana mudarat akibat kecuaian dan kealpaan akan mengundang musibah yang menyesalkan.

Dalam kita sedang bergelut memerangi pandemik COVID-19 pada ketika ini, saudara-saudara kita di Palestin pula sedang menghadapi pencerobohan dan siri serangan ganas daripada pihak Zionis Israel bermula di Masjid al-Aqsa sehingga berlarutan ke Semenanjung Gaza.


Luka lama kembali berdarah, tangisan dan raungan kembali bergema. Banyak jiwa yang tidak berdosa telah terkorban termasuklah wanita dan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.


Keperitan, kesukaran dan kesengsaraan mereka ini turut membekas di jiwa kita kerana selain isu kemanusiaan, lebih besar lagi ialah mereka merupakan saudara seiman dengan kita.


Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada al-Nu‘man bin Bashir Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Kamu melihat kaum mukminin dalam kasih sayang, rasa cinta, dan saling membantu sesama mereka seperti sebuah jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, anggota lain pun tidak boleh tidur dan merasa demam.”


Saudara-saudara kita di Palestin kini berhadapan dengan kesulitan dan kesukaran yang berkali ganda daripada kita. Selain ancaman wabak COVID-19, nyawa mereka turut terancam dengan bedilan dan letupan daripada rejim penjajah Zionis.


Mereka turut berhadapan dengan kemusnahan harta benda, terputus bekalan makanan, kehilangan rumah kediaman dan kematian ahli keluarga tersayang.


Sesungguhnya mereka sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita. Selain memanjatkan doa kepada Allah SWT, marilah kita menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.

Sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan kepada kesusahan dan kesengsaraan rakyat Palestin, mimbar menyeru para jemaah dan anggota masyarakat untuk memberikan sumbangan dan derma menerusi tabung masjid dan surau yang telah disediakan bagi membantu rakyat Palestin.

Dana dan sumbangan ini akan disalurkan kepada Tabung Musaadah Palestin yang diuruskan oleh JAWI dan akan diselaraskan oleh agensi agama di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai tanda kecintaan, kebersamaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.


Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan ini, dapat membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup, memenuhi keperluan harian, mendapat ubat-ubatan dan meredakan kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah, marilah kita renungkan beberapa kesimpulan untuk kita hayati bersama :

Pertama : Kita mestilah sama-sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan mendepani wabak COVID-19 dengan mematuhi arahan dan SOP, melakukan kawalan kendiri, berdisiplin dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

Kedua : Gunakan media-media sosial dengan bijak, beri sokongan kepada setiap inisiatif dan pelan tindakan kerajaan melawan pendemik ini dan janganlah menyalahgunakan media sosial sehingga mencetuskan pertikaian, kritikan negatif, cemuhan dan perbalahan di dalam masyarakat.

Ketiga : Sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan kepada rakyat Palestin, marilah kita mendoakan mereka dan memberikan sumbangan dana bagi meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi.

Hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 120: Bermaksud : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”
Tags: al-aqsa, kebersamaan, khutbah, palestin, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments