mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Menerima Rukhsah, Mengelakkan Mudarat

Petikan Khutbah Jumaat 11 Jun 2021M/ 30 Syawal 1442H JAWI


Menerima Rukhsah, Mengelakkan Mudarat


Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara kita telah merubah segalanya. Pelbagai sektor telah terjejas termasuklah sektor sosial yang melibatkan pengimarahan masjid dan surau terutama solat jumaat dan solat fardu berjemaah.

jawi_logo.jpg
Ramai yang tidak dibenarkan hadir sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi terhadap kerajaan.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 menyatakan persetujuan berhubung isu penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah berdasarkan pertimbangan terhadap mudarat yang amat besar.


Walaubagaimanapun, dalam tempoh PKP yang sedang dikuat kuasakan kali ini, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah tetap dilaksanakan di masjid, surau Jumaat dan surau dengan menghadkan bilangan jemaah dan hanya dibenarkan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

Tentunya ramai dalam kalangan umat Islam yang merasa gusar dan resah kerana terpaksa meninggalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat zohor memandangkan ia adalah suatu kewajipan dalam Islam.


Benar,melaksanakannya adalah suatu ‘azimah iaitu hukum asal yang disyariatkan pada permulaannya.


Namun, Islam juga telah memberikan rukhsah iaitu keringanan kepada umatnya sebagai suatu rahmat daripada Allah SWT kerana sebab-sebab tertentu seperti wabak yang menular dan merbahaya ini.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa’, ayat 28 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi : Bermaksud: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Melaksanakan solat Jumaat adalah suatu kefarduan dalam Islam khususnya kepada kaum muslimin. Dalam melaksanakan kewajipan ini, Islam sangat tegas dan memberi ancaman terhadap golongan yang meremehkan serta bersikap ambil mudah untuk meninggalkannya.


Kita juga perlu sedari bahawa, ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan mempunyai keluasan agar ia tidak membebankan umatnya.


Dalam hal ini, Imam Abu Daud RH meriwayatkan daripada Usamah bin ‘Umair al-Huzli RA: Bermaksud: “Sesungguhnya beliau menyaksikan Nabi SAW ketika (peristiwa) Hudaybiah pada hari Jumaat, hujan telah turun kepada mereka (para sahabat) yang belum (tahap) membasahi bahagian bawah selipar mereka. Lalu Baginda memerintahkan mereka agar menunaikan solat di
persinggahan mereka (masing-masing).”

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat dua perkara yang menjadi faktor diberikan rukhsah untuk meninggalkan solat Jumaat.


Selain faktor musafir, rukhsah juga diberikan atas faktor keuzuran kerana kebimbangan terhadap cuaca yang buruk. Jika cuaca buruk seperti hujan turut diberikan rukhsah dan keringanan, apatah lagi situasi kini dengan penularan wabak COVID-19 yang membawa ancaman kepada kesihatan dan sangat berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.


Bukankah Islam mengajar kita untuk menjauhi mudarat yang besar bahkan ianya termasuk dalam aspek maqasid as-Syariah iaitu memelihara nyawa manusia.


Justeru, mereka yang tidak dibenarkan hadir solat Jumaat dalam keadaan ini tidak tertakluk kepada hukum makruh atau haram kerana mereka termasuk dalam golongan yang mendapat uzur untuk tidak pergi melaksanakan solat Jumaat.

Tentunya dalam tempoh PKP ini, ramai dalam kalangan mereka yang melazimi solat berjemaah di masjid tidak dibenarkan hadir.


Namun ingatlah bahawa Allah SWT tetap memberikan ganjaran kerana kelaziman mereka menghadirkan diri ke rumah Allah.


Kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan ini juga sebenarnya adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu ‘kemudaratan mesti dihilangkan’ dengan cara kekal berada di rumah.

Justeru, laksanakanlah solat secara berjemaah di rumah bersama anak dan isteri di samping memperbanyakkan akitiviti kerohanian seperti berzikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT.

Dalam kesempatan ini juga, khatib ingin mengingatkan kepada semua masyarat supaya akur dengan perintah pihak berkuasa terutama mengenai pengimarahan masjid dan surau.


Jauhilah perbuatan provokasi di media-media sosial dengan mempertikaikan setiap arahan dan SOP sehingga mempengaruhi orang lain dan menjadi asbab kepada pelanggaran terhadap arahan ini.


Kepada para agamawan, pemimpin setempat dan influencer,marilah bersama-sama memberi peringatan dan mendidik masyarakat untuk menjadi warga yang berdisiplin tinggi demi memastikan keselamatan diri daripada ancaman wabak pandemik ini.

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah berusaha menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan orang ramai, apatah lagi memburukkan keadaan.


Jadilah warganegara yang bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara. Sesungguhnya sebagai rakyat, kita wajib meletakkan ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah selagi mana ianya dilakukan demi kemaslahatan umat dan negara.


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Fahamilah mengenai rukhsah meninggalkan solat Jumaat dalam tempoh pandemik COVID-19 supaya kita dapat mengelakkan sebarang keraguan.


Kedua: Laksanakanlah solat secara berjemaah di rumah bersama anak dan isteri di samping memperbanyakkan akitiviti kerohanian di rumah seperti berzikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT.

Ketiga: Jauhi perbuatan yang boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan orang ramai. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab demi kesejahteraan negara.

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 59: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Tags: khutbah, mudarat, rukhsah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments