mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Jalan Keluar Menempuh Ujian Dan Dugaan

Petikan Khutbah Jumaat 18 Jun 2021M / 07 Zulqa’dah 1442H: JAIS

Jalan Keluar Menempuh Ujian Dan Dugaan

Kehidupan dunia adalah kehidupan yang sementara. Kehidupan yang sebenarnya adalah kehidupan akhirat yang pasti kekal selama-lamanya.

Sebenarnya kehidupan di dunia ini adalah ujian bagi setiap manusia dan masing-masing akan menerima ujian dari Allah SWT sama ada dalam bentuk kesusahan atau pun kesenangan.jais.jpg

Kita hari ini sedang berdepan ujian yang berbentuk kesusahan, ketakutan, dilanda wabak penyakit, kematian, kemiskinan, kehilangan harta benda dan kemerosotan ekonomi.

Kita sebagai umat Islam seharusnya menempuh semua ini dengan penuh kesabaran dan sepatutnya menerima segala yang berlaku ini sebagai peringatan penting untuk kita terus mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu yang sepatutnya, amalan-amalan soleh yang menguatkan jiwa dan juga persediaan-persediaan lain yang akan membantu kita untuk meneruskan kehidupan yang sejahtera.

Dengan keadaan sekarang, ramai antara kita yang hilang pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Ini sememangnya ujian buat kita semua, bukan hanya di Malaysia tapi seluruh dunia mengalaminya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155-157: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta (kekurangan) hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orangorang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan (musibah), lalu mereka berkata: „Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.‟ Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Dalam kita menghadapi ujian dan musibah dari Allah SWT, seharusnya kita segera beringat serta memohon keampunan dari-Nya dan memohon kepada-Nya agar kita dihindarkan dan diselamatkan daripada ujian serta musibah yang berterusan.

Jangan sekali-kali kita berputus asa dari rahmat Allah dan ingatlah bahawa kita disuruh untuk berikhtiar serta berusaha sepenuh kemampuan kita untuk keluar dari kemelut dan musibah yang melanda.

Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya bersyukur atas kesungguhan pihak kerajaan yang begitu prihatin dalam membendung penularan wabak COVID-19 ini dan seterusnya melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu segenap lapisan rakyat. Mudah-mudahan segala usaha dan tindakan pihak kerajaan dapat membuahkan hasil yang baik.

Oleh itu, mimbar ingin menyeru bahawa setiap dari kita seharusnya turut sama membantu dengan mengambil langkah untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

Disamping itu kita juga harus bertanggungjwab terhadap kesejahteraan kewangan kita dan isi rumah kerana hanya kita yang lebih mengetahui sejauh mana kestabilan kewangan untuk kita meneruskan kehidupan yang selesa bersama keluarga tercinta.

Ramai dalam kalangan kita yang terkesan dan terjejas sumber pendapatannya yang seharusnya perlu disusun semula kewangan isi rumah agar lebih stabil dan berdaya tahan.

Bagi individu yang memiliki perniagaan pula, pengurusan kewangan untuk perniagaan juga amat penting bagi memacu perniagaan agar terus berjalan dan pada masa yang sama dapat melindungi sumber pendapatan dan kebajikan pekerja-pekerja.

Sehubungan itu, sekiranya ada dalam kalangan kita yang masih berhadapan dengan masalah kewangan atau yang berkaitan dengan pinjaman, silalah berhubung dengan pihak yang berkaitan sama ada Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau pun institusi lain yang berkenaan.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan tips-tips pengurusan kewangan yang berhemat, modulmodul pembelajaran bagi memantapkan lagi pengurusan kewangan individu dan mereka juga menyediakan khidmat kaunseling dan pengurusan kewangan kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Khidmat-khidmat ini adalah percuma kepada semua individu dan PKS dan ia boleh didapati di laman web rasmi AKPK iaitu www.akpk.org.my. Semoga dengan usaha dan tindakan yang cepat ini akan membantu kita untuk mendapat kesejahteraan kewangan dan keselesaan kehidupan.

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa disebalik ujian dan dugaan itu ada hikmah yang tersendiri yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

2. Umat Islam hendaklah tahu bahawa disebalik kesusahan dan kesempitan hidup yang dihadapi itu ada pihak atau agensi yang dapat membantu untuk meringankan beban yang dihadapi.

3. Umat Islam hendaklah sedar bahawa sesuatu musibah yang terjadi itu adalah kehendak Allah SWT yang menuntut kesabaran dan ketakwaan kita agar dikurniakan jalan keluar yang terbaik.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah ali Imran : 200).

Tags: akpk, dugaan, kaunseling, khutbah, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments