mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Teguh Kita, Menang Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 18 Jun 2021M/ 17 Zulkaedah 1442H JAWI

Teguh Kita, Menang Bersama

Perpaduan adalah asas kepada kemakmuran negara. Ianya memerlukan penglibatan semua pihak sama ada para pemimpin dan setiap warganegara biarpun berbeza bangsa, pangkat dan pegangan agama.

jawi_logo.jpg
Sebagai umat Islam, kita wajib berpegang teguh terhadap tuntutan agama dan memelihara nilai perpaduan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Pada 15 Jun 2021, Selasa, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19. Kita ketahui bahawa jumlah kes positif COVID-19 masih berada pada tahap yang membimbangkan.


Namun kita juga merasa resah terhadap keadaan ekonomi negara yang sedang melalui cabaran untuk mengekalkan kestabilannya.


Justeru, kerajaan telah merangka satu pelan pemulihan bagi memastikan negara kita berjaya untuk bebas daripada cengkaman pandemik yang menjadi musuh utama kita hari ini.


Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan supaya setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.


Ia juga mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.


Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian telah memberikan keyakinan kepada kita untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat. Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama.


Kita sekarang sedang berada di Fasa Pertama iaitu PKP dilaksanakan secara menyeluruh dan hanya perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi.

Nilai ambang untuk peralihan ke fasa seterusnya diukur apabila purata kes positif berada di bawah paras 4000 kes sehari, penggunaan katil di ICU berada pada tahap sederhana dan kadar vaksinasi populasi negara telah mencapai 10 peratus yang menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa Kedua pula merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.


Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.


Nilai ambang untuk peralihan ke fasa seterusnya ditentukan apabila jumlah kes positif harian berada di bawah 2000 kes, penggunaan katil di ICU adalah mencukupi dan kadar vaksinasi populasi negara mencapai 40 peratus yang telah menerima dua dos suntukan vaksin.

Fasa Ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.


Daripada Fasa Ketiga, kita akan dapat beralih kepada Fasa Keempat sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.


Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Inilah masanya kita membuktikan kecintaan kepada negara tercinta.


Keteguhan kita dalam memastikan kejayaan melawan pandemik COVID-19 mestilah dibuktikan dengan semua pihak berganding bahu menjayakan pelan pemulihan ini dengan memberikan sokongan penuh kepada setiap usaha dan tindakan yang telah direncanakan. Ingatlah bahawa keteguhan kita ini adalah demi kebaikan dan kemenangan kita agar kesejahteraan negara terus dapat dinikmati.


Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Abu Musa al-Asy’ari Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Sesungguhnya orang mukmin dengan mukmin yang lain itu diibaratkan seperti bangunan yang saling kuat menguat antara satu sama
lain, lalu Baginda memasukkan antara jari-jarinya.”


Mimbar ingin mengingatkan, janganlah timbul sikap prejudis sehingga menjadi penyebab kepada sebaran maklumat yang tidak benar,
mempengaruhi orang lain sehingga melanggar undang-undang dan peraturan, membuat kritikan dan tohmahan yang sia-sia di media-media sosial dan pelbagai lagi tindakan yang boleh menggagalkan pelan pemulihan ini.

Kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera.

Sehingga kini, jumlah mereka yang telah berdaftar adalah seramai kira-kira 13.8 juta. Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.
Sementara itu, kita mestilah terus bersabar dan berdisiplin. Amalkan disiplin kendiri yang tinggi walaupun sudah divaksinasi.


Lebih tinggi disiplin kita menjaga SOP, lebih cepat kes-kes harian COVID-19 turun, lebih ramai daripada kita mendapat suntikan vaksin, insya-Allah lebih cepat kita mencapai imuniti kelompok dan dengan izin Allah SWT kita akan dapat keluar daripada krisis yang sedang kita hadapi ini bersama-sama.


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Sebagai umat Islam, kita wajib berpegang teguh terhadap tuntutan agama dan memelihara nilai perpaduan sesama kita.

Kedua: Kita mestilah berganding bahu menjayakan Pelan Pemulihan Negara dengan memberikan sokongan penuh kepada setiap usaha dan tindakan yang telah direncanakan.

Ketiga: Tingkatkan disiplin diri mematuhi setiap SOP dan berdoalah kepada Allah SWT semoga Pelan Pemulihan Negara ini akan menemui kejayaan.

Marilah kita hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 46: Bermaksud : “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan
janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Tags: khutbah, menang, teguh
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment