mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Memelihara Maruah Dalam Media Sosial.

Petikan Khutbah Jumaat 25 Jun 2021M / 14 Zulqa’dah 1442H: JAIS

Memelihara Maruah Dalam Media Sosial

Syariat Islam yang diturunkan ke atas manusia mempunyai objektif dan tujuannya yang tertentu. Objektif dan tujuan ini dipanggil sebagai maqasid syariah. Ia bertujuan mendatangkan maslahat dan menolak mudarat dalam kehidupan manusia. Sebab itu, Islam adalah agama yang menegah manusia daripada melakukan sebarang kerosakan dan kemusnahan.jais.jpg

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 54: “Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah).”

Syariat Islam merupakan rahmat Allah ke atas manusia. Apa yang diperintahkan-Nya adalah mendatangkan maslahat kepada manusia dan apa yang ditegah-Nya adalah untuk mencegah berlaku kemudaratan dalam diri manusia.

Antara objektif dalam syariat Islam ialah memelihara maruah daripada sebarang bentuk yang boleh mendatangkan aib dan merosakkan imej sebagai seorang muslim atau muslimah.

Disebabkan itu apa jua perbuatan yang boleh mencemarkan maruah seperti qazaf iaitu tuduhan zina ke atas muslimah yang solehah, mencela, memfitnah, mendedahkan aib dan sebagainya adalah dilarang agar maruah manusia terpelihara.

Kewajipan memelihara maruah ini disebutkan secara jelas dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu’Anhu bahawa Nabi SAW bersabda :“Memadai seseorang itu dikira melakukan kejahatan dengan menghina saudara muslimnya. Setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram iaitu darahnya, hartanya dan maruahnya.” (Riwayat Muslim).

Dunia tanpa sempadan hari ini menyaksikan kemunculan pelbagai laman sesawang dan media sosial yang menjadi medium mencari kenalan dan perbincangan antara manusia dengan lebih mudah dan cepat.

Manusia yang berada beribu batu jauhnya mampu berkomunikasi dengan pihak yang lain dengan kadar yang cukup pantas.

Hari ini dengan media sosial seperti facebook, blogspot, Instagram, twitter, whatsapp dan sebagainya menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia.

Bahkan setiap masa ada sahaja berita, cerita serta luahan hati yang dikongsi dalam medium tersebut bagi mendapat perhatian dari seluruh kenalannya yang menyaksikan status yang ditulis.

Islam bukanlah agama yang menghalang kemajuan dalam kehidupan manusia bahkan Islam itu agama yang menyeru ke arah kemajuan.

Namun Islam tidak hanya mementingkan kemajuan dari sudut pembangunan dan teknologi semata-mata bahkan sudut kerohanian, modal insan dan akhlak juga amat ditekankan oleh Islam dalam mengimbangi kemajuan luaran.

Fenomena yang disifatkan tanpa rahsia dalam kalangan pengguna media sosial bagaikan suatu penyakit yang semakin membarah. Fenomena sebegini menyaksikan manusia bagaikan tiada sifat malu dalam diri.

Apabila tiada sifat malu maka tiada lagi penjagaan ke atas maruah. Kita sering mendengar pengguna-pengguna media sosial yang merayu cinta dalam status yang ditulis, berkasih sayang dalam media sosial demi menunjukkan romantik dalam hubungan bahkan terdapat paparan gambar yang mengghairahkan sama ada khusus untuk buah hatinya atau pun kepada khalayak yang umum.

Perilaku sebegini mencerminkan rosaknya nilai dan maruah seseorang muslim tersebut. Inilah yang disebut medium tanpa rahsia apabila segala perkara termasuk isu yang sulit turut dijadikan status bagi mendapatkan jumlah “likers” yang tinggi.

Perkara inilah yang dibimbangi oleh kita semua kerana ia mencerminkan manusia tanpa tamadun kerana tiada batasan dalam soal kehidupan dan pergaulan.

Benarlah bahawa sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud Radhiallahu’Anhu:“Sesungguhnya apa yang didapati oleh manusia daripada kata-kata para nabi terdahulu ialah apabila kamu tidak berasa malu maka lakukanlah apa yang kamu suka.” (Riwayat al-Bukhari).

Maka kita dapat lihat bagaimana manusia yang hidup tanpa ada wujud perasaan malu di dalam dirinya seakan-akan mengembalikan manusia hidup tanpa ada tamadun.

Bahkan tamadun yang berasaskan kemajuan sematamata tanpa pembangunan modal insan adalah tamadun jahiliyyah.

Akibat perasaan malu yang sudah terhakis dalam diri seseorang, kita dapat lihat bagaimana pasangan kekasih saling menghamburkan cumbuan menerusi kata-kata yang merangsang dan tidak kurang juga medium sosial menjadi medium manusia saling mencaci dan melemparkan fitnah antara satu sama lain serta membuka aib saudaranya sendiri demi menjatuhkan maruah orang yang tidak disukai.

Sedangkan secara jelas,Allah menyuruh agar menutup aib saudara kita di khalayak ramai. Abu Hurairah Radhiallahu’Anhu meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:“Dan sesiapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim).

Menjadi kewajipan ke atas muslim memelihara maruah dirinya dan saudaranya yang lain sama ada muslim atau bukan.

Membuka aib seseorang akan menyebabkan permusuhan dan perbalahan dalam kalangan manusia bahkan boleh menimbulkan fitnah.

Laman sesawang dan media sosial sepatutnya dijadikan medium dakwah dan menambahkan ilmu serta pengetahuan dalam konteks jalinan hubungan persaudaraan dan kenalannya.

Berjayanya pihak musuh apabila menjadikan umat Islam terus hanyut dengan kemodenan dunia hingga hilangnya keimanan dan ketakwaan.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam soal memelihara maruah dalam media sosial ialah:

1. Wajib menutup aurat dengan sempurna dan tidak mendedahkan aurat di khalayak ramai.

2. Jaga pertuturan dan bahasa dalam menulis status. Jangan sampai membuka aib, menimbulkan fitnah, menghina dan menjurus ke arah zina.

3. Jadikan media sosial sebagai medium dakwah, menambah ilmu pengetahuan serta menjalinkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam.


“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhantuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur : 19).

Tags: khutbah, maruah, media sosial
Subscribe

Posts from This Journal “maruah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments