mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Islam Dihayati, Sunnatullah Dituruti

Petikan Khutbah Jumaat 25 Jun 2021M/ 14 Zulkaedah 1442H JAWI

Islam Dihayati, Sunnatullah Dituruti

Allah SWT telah menjelaskan bahawa manusia diciptakan bermula daripada nabi Adam AS dan kemudian diciptakan pula pasangannya iaitu Hawa AS. Bermula daripada mereka, maka berkembang biaklah zuriat keturunan manusia sehingga ke hari ini.

jawi_logo.jpg
Penciptaan lelaki dan perempuan merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Begitulah yang tercatat di dalam Surah An-Nisa’, ayat pertama yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasamemerhati (mengawas) kamu.”

Justeru, sebagai orang yang beriman, janganlah kita sekali-kali melanggari sunnatullah ini. Kita mestilah bersyukur atas segala ketentuan Allah SWT pada diri kita dengan mengikuti syariat yang telah ditetapkan Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Jantina adalah faktor penentu cara hidup dalam kehidupan seseorang sejak dia lahir hinggalah meninggal dunia. Islam menitikberatkan isu jantina kerana Islam mempunyai syariat yang wajib dipatuhi di mana hak lelaki dan perempuan adalah berbeza.


Dalam ajaran Islam, hukum-hakam agama ditentukan bersandarkan status jantina meliputi aspek ibadah, syariah dan akhlak.


Ketetapan yang dibuat berasaskan jantina ini bukanlah tindakan diskriminasi, tetapi lambang keadilan Allah SWT di dalam setiap ketentuan- Nya.


Ia juga bagi memelihara kehormatan serta kesucian dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Islam menetapkan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan, lelaki juga bertindak sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah.


Justeru, lelaki seharusnya memiliki sifat kepimpinan dan lebih tegas  dalam membimbing isteri dan anak-anak. Manakala perempuan pula diciptakan memiliki sifat lemah lembut dan penyayang selari dengan nalurikewanitaan.


Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’, ayat 34 : Bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...”

Islam mengiktiraf peranan kedua-dua pihak sama ada lelaki dan perempuan. Oleh itu, setiap manusia perlulah melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing sebaik mungkin sebagaimana yang telah ditetapkan Allah SWT.


Tanggungjawab yang dilaksanakan dengan saksama oleh lelaki dan wanita dapat membentuk kestabilan dan keharmonian hidup bermasyarakat.


Sebaliknya ketidakseimbangan fungsi di antara kedua- duanya akan menyebabkan keretakan dan konflik di dalam keluarga dan masyarakat.

Isu hak asasi manusia adalah salah satu perkara penting yang ditekankan di dalam Islam. Ia bukanlah perkara yang asing kepada kita kerana ajaran Islam meraikan hak asasi manusia bagi menjamin maruah dan kehormatan manusia.


Hak asasi manusia dalam pandangan Islam tidaklah terbatas kepada jantina tertentu selagi mana ianya selaras dengan ketetapan syariat dan undang-undang negara.

Namun begitu, hak asasi manusia juga menjadi agenda perjuangan beberapa pihak dan pendokong aliran pemikiran liberal yang membawa fahaman mengenai hak asasi manusia.


Malangnya, mereka terkeliru dan jauh tersasar sehingga mengheret isu jantina untuk diterjemahkan berdasarkan akal dan pemikiran mereka semata-mata tanpa panduan agama yang benar lalu ianya diperjuangkan sebagai hak asasi manusia.

Sebagai muslim, kita tetap bertegas bahawa isu jantina mestilah berpandukan petunjuk Allah SWT dan rasul-Nya melalui al-Quran dan as-Sunnah.


Kecelaruan peribadi oleh sesetengah golongan yang disebabkan oleh konflik dalam diri mereka mestilah segera diselesaikan dengan cara membantu mereka kembali ke fitrah asal, bukan dengan memberi galakan untuk mereka berterusan hidup dalam kemurkaan.

Dalam pada itu, jika terdapat sebarang isu berkaitan penentuan status jantina, rujuklah kepada ketetapan fatwa yang telah diputuskan oleh pihak yang berautoriti.


Tidak seharusnya wujud golongan yang sengaja menegakkan benang yang basah dengan hujah yang tidak berasas dan bercanggah dengan panduan syariat.


Perkara yang lebih utama adalah kita berusaha memperkasakan peranan lelaki dan wanita seperti yang digariskan oleh Islam bagi mengembalikan keseimbangan kehidupan, menjamin kesejahteraan masyarakat dan kesinambungan ketamadunan manusia pada masa akan datang.

Mimbar mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan sidang jemaah dan seluruh masyarakat bersempena dengan Sambutan Hari Denggi ASEAN pada 15 Jun 2021, marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebersihan terutamanya bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes dengan menguruskan tempat air bertakung, sisa pepejal dan sampah şarap yang ada di sekitar kediaman kita atau premis dengan sempurna.

Biarpun pada ketika ini pandemik COVID-19 masih menular, namun kita juga mestilah terus berwaspada dengan wabak denggi yang juga boleh membahayakan nyawa kita.

Pengabaian terhadap tanggungjawab untuk memastikan kebersihan kawasan kediaman atau premis daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes bukan sahaja mengundang bencana kepada keluarga dan komuniti, malah kita juga boleh dikenakan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa. Justeru, jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin dengan mengamalkan kehidupan yang bersih dan selamat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah pada pada hari ini, mimbar ingin menegaskan beberapa perkara sebagai kesimpulan :

Pertama : Kita mestilah bersyukur atas segala ketentuan Allah SWT pada diri kita dengan mengikuti syariat yang telah ditetapkan Allah SWT.

Kedua : Laksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing di dalam keluarga dan masyarakat bagi membina kehidupan yang stabil dan harmoni.

Ketiga : Fahamilah konsep hak asasi manusia berteraskan Islam supaya hak-hak setiap manusia sama ada lelaki dan perempuan dapat dipelihara dan ditunaikan dengan adil serta saksama.

Renungkan firman Allah SWT menerusi surah al-Anfal, ayat 25 : Bermaksud : “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”
Tags: islam, khutbah, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments