mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Petikan Khutbah Jumaat 2 Julai 2021M/ 21 Zulkaedah 1442H JAWI

Patuh Syariah Menjamin Keberkatan Harta

Allah SWT menciptakan harta sebagai wasilah bagi memenuhi keperluan manusia.jawi_logo.jpg

Islam meletakkan kepentingan kepada umatnya untuk menjaga dan menguruskan harta secara bijaksana, tersusun dan patuh Syariah kerana ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Islam telah mengatur aktiviti-aktiviti ekonomi berlandaskan syariat di bawah konsep muamalah termasuklah aspek perancangan harta, pembiayaan patuh syariah, pengurusan simpanan dan lain-lain.

Sesungguhnya, perancangan pengurusan kewangan merupakan salah satu tuntutan agama yang bertujuan untuk mengharmonikan kehidupan kita seterusnya mencapai keredaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Pandemik COVID-19 telah mengubah struktur kehidupan masyarakat dan landskap kewangan setiap individu. Ia menuntut kita untuk mengubah cara hidup supaya kita dapat menguruskan kewangan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Mimbar mengingatkan kepada para jemaah dan masyarakat, sekiranya sedang berhadapan dengan masalah kewangan atau yang berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan, silalah berhubung dengan pihak yang berkaitan iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006, hampir 1.2 juta individu telah menerima khidmat nasihat kewangan.

Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 330,000 orang telah mengambil bahagian dalam program pengurusan kredit iaitu pelan pembayaran balik yang sesuai dengan kemampuan melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Pihak ini akan menawarkan penyelesaian secara percuma bagi membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana untuk menguruskan perbelanjaan dan hutang serta menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang berhemat.

Salah satu daripada aktiviti utama di dalam pengurusan kewangan Islam ialah menyimpan harta. Ingatlah bahawa Islam mencegah umatnya memperoleh dan mengumpul harta melalui jalan riba, perjudian dan penipuan sama ada sedikit atau banyak.

Sesungguhnya menjadi tanggungjawab kita untuk segera beralih kepada produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang berkonsepkan patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Simpanan Syariah KWSP merupakan pilihan yang ditawarkan bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip patuh Syariah bagi mengelakkan elemen seperti riba, gharar (ketidakpastian dalam kontrak), perjudian dan perkhidmatan tidak halal.

Walau bagaimanapun sejak ia dilancarkan pada tahun 2016, peratusan pencarum beragama Islam yang memilih untuk menukar simpanan konvensional mereka kepada simpanan Syariah KWSP masih lagi rendah.

Justeru, segeralah membuat penukaran akaun simpanan KWSP kepada simpanan Syariah jika masih belum melaksanakannya.

Ingatlah bahawa harta yang diperolehi daripada sumber yang halal, disimpan dan dibelanjakan dengan cara patuh syariah akan membawa keberkatan dalam hidup kita dan keluarga.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan sebagai pedoman kita bersama:

Pertama: Harta adalah amanah Allah SWT. Uruskanlah harta dengan cara yang menepati Syariah demi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Kedua: Dapatkan nasihat kewangan daripada pihak yang berautoriti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi menyelesaikan masalah kewangan yang berkaitan dengan pembiayaan dan memerlukan khidmat nasihat kewangan.

Ketiga: Pilihlah produk pembiayaan, takaful dan simpanan yang patuh syariah termasuklah simpanan persaraan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). .

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 46: Bermaksud : “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh Yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”
Tags: berkat, harta, khutbah, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments