mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah : Membudayakan Nasihat Menasihati

Petikan Khutbah Jumaat 16 Julai 2021M / 06 Zulhijjah 1442H: JAIS

Membudayakan Nasihat Menasihati

Islam merupakan agama yang menggalakkan umatnya saling nasihat menasihati dan memberikan teguran antara satu sama lain.

Amalan yang mulia ini amat dituntut dalam Islam kerana ia saling mengingatkan agar tidak tersalah memberi panduan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.jais.jpg

Memberi nasihat bukanlah semestinya mengajar, tetapi ia merupakan ingatan kepada seseorang yang mungkin terlupa.

Ia juga bukanlah semestinya membawa maklumat yang baharu tetapi ia adalah ingatan pada perkara yang mungkin sudah tahu atau biasa didengari tetapi mungkin terlupa atau terlalai.

Betapa ramai orang yang tersalah, bukan sebab tidak tahu, tetapi disebabkan tidak sedar apabila sudah terbiasa dan mengambil mudah tentang sesuatu perkara.

Memberi nasihat dan ingatan merupakan suatu keperluan dalam kehidupan. Setiap hari kita pasti akan berjumpa dengan pelbagai nasihat dan ingatan seperti di sepanjang jalan raya.

Kita berjumpa dengan papan tanda ‘awas’, ‘zon had laju’, ‘statistik kemalangan’ dan ‘dalam pembinaan’ untuk mengingatkan pemandu agar lebih berhati-hati dan lebih cermat.

Apa yang menariknya, orang ramai tidak menentang malahan boleh menerima peringatan dari papan tanda tersebut kerana kita semua tahu nasihat dan peringatan memberikan kebaikan kepada manusia.

Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Dzariyat ayat 55: “Berilah peringatan, kerana memberi ingatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman.”

Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan penuh kesempurnaan. Namun disebalik kesempurnaan itu manusia sering terlalai, terlupa dan tersasar dari matlamat hidup yang sebenar.

Ada yang masih lalai untuk menyempurnakan kewajipan solat, mengabaikan tangggungjawab menunaikan zakat, terlibat dengan riba dan rasuah, terjebak dengan hiburan yang melampau, minum arak, mengadu domba, memfitnah, tidak menghormati orang-orang tua, guru-guru dan lain-lain lagi.

Semua perkara ini adalah dilarang dalam Islam dan nasihat menasihati sesama saudara muslim adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua.

Tidak ada ruginya menerima nasihat, bahkan ia dapat membaiki dan meningkatkan kesempurnaan peribadi kita.

Kini terdapat kecenderungan sebilangan masyarakat yang sukar untuk ditegur malah payah untuk menerima teguran.

Sesuatu teguran itu dianggap memalukan seolah-olah memperbodohkan mereka.

Orang yang ditegur itu akan melenting dan menolak nasihat yang disampaikan.

Akhirnya budaya memberi nasihat dan tegur menegur itu akhirnya semakin hilang.

Masing-masing mengambil sikap mendiamkan diri atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

Lebih malang lagi dalam institusi rumahtangga seseorang suami tidak menasihati isterinya dan sebaliknya.

Ini merupakan budaya yang tidak sihat dan patut dibendung.

Ini mungkin kerana prinsip hidup sendiri-sendiri atau kubur masing-masing atau berpegang dengan pepatah jangan jaga tepi kain orang.

Mereka berasa boleh hidup sendirian dan tidak bergantung kepada orang lain.

Ia juga berpunca dari sikap ego tentang kelebihan diri yang mendapat pendidikan yang tinggi dan mempunyai taraf hidup yang baik atau merasa hina dengan teguran yang diberikan.

Sikap ini yang menyebabkan mereka sukar untuk ditegur dan diberi nasihat.

Sesungguhnya budaya nasihat menasihati, tegur menegur perlu menjadi budaya yang diterima dalam masyarakat.

Kita perlu bersyukur, sekiranya ada orang yang memberi nasihat kepada kita dan juga menegur kesalahan kita.

Walau bagaimanapun, teguran dan nasihat yang diberikan itu perlu dilakukan secara berhemah dan ikhlas dengan bahasa yang sesuai dan tidak mengaibkan dihadapan umum.

Menegur jangan sampai menghina, mendidik jangan sampai memaki, menegur bukan sampai menghukum.

Bagi yang ditegur pula, seharusnya bersyukur, berlapang dada, menghargai, berbaik sangka; bukan marah, melenting, memberi alasan, tidak mengaku dan sebagainya.

Kita mungkin boleh menerima nasihat secara tidak langsung melalui pengajian dan kuliah yang disampaikan oleh para Asatizah yang turut dijadikan panduan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah yang lembut hatinya

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita hayati dan ambil iktibar terhadap perkara-perkara berikut untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita, antaranya:

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita hayati dan ambil iktibar terhadap perkara-perkara berikut untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita, antaranya:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenarbenar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Surah ali-Imran: 101).
Tags: budaya, khutbah, nasihat
Subscribe

Posts from This Journal “nasihat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments