mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Ibadah Korban Penyubur Sifat Keinsanan

Petikan Khutbah Jumaat Ibadah 16 Julai 2021M/ 6 Zulhijjah 1442H JAWI

Korban Penyubur Sifat Keinsanan

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Ia dilaksanakan pada tanggal 10 Zulhijjah selepas solat sunat aidiladha sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.jawi_logo.jpg

Walaupun hukum melakukannya adalah sunat muakkad, namun tidak wajar kita mengambil ringan tuntutan ini apatah lagi jika berkemampuan.

Beberapa hari lagi, kita akan menyambut hari raya korban.

Pada hari itu, tidak ada amalan yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menyembelih haiwan korban sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Kauthar ayat 1-3 yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

Ibadah korban merupakan ibadah dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping ianya mengandungi pelbagai kebaikan kepada kehidupan muslim seluruhnya dan menyerlahkan syiar Islam.

Maka sewajarnya ia diagungkan dan dibudayakan serta menjadi matlamat kita untuk melaksanakannya setiap kali tibanya bulan Zulhijjah.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kerohanian dan hubungan dengan Tuhan, bahkan dapat menyubur dan menguatkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan.

Ia juga mendidik jiwa raga kita supaya mengorbankan sebahagian harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT melalui perkongsian rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi yang sedang kita hadapi hari ini, Islam amat menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik.

Justeru, Ibadah korban dapat mengikis perasaan tamak dan pentingkan diri sendiri.

Seterusnya, ia dapat menimbulkan perasaan ingin berkongsi nikmat harta dengan orang lain yang lebih memerlukan.

Hasilnya akan terpupuklah hubungan kasih sayang, sikap kepedulian dan keprihatinan dalam jiwa mereka yang berkorban harta dengan sepenuh keikhlasan.

Sesungguhnya ibadah korban telah menjadi satu aktiviti tahunan bagi seluruh masyarakat Islam.

Biarpun pandemik COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, namun kita bersyukur kerana pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini dibenarkan oleh pihak kerajaan dengan syarat-syarat yang ketat selaras dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Pelaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan pada tahun ini adalah berbeza daripada tahun yang lalu.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengambil inisiatif bersama pelbagai agensi dan rakan strategik serta peserta-peserta korban untuk melaksanakan Program Musaadah Perdana Ibadah Korban Tahun 1442H/2021 dengan Kerjasama masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Melalui program ini, proses penyembelihan, melapah dan pembungkusan daging dilakukan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan.

Setelah itu, daging-daging korban tersebut akan diagihkan oleh masjid-masjid dan surau-surau yang terlibat secara terus kepada semua penerima dalam kalangan anak kariah yang terpilih.

Kaedah ini bukan sahaja memudahkan pelbagai pihak, malah ia juga dapat mengurangkan risiko penularan wabak dalam komuniti.
Justeru, pandemik ini bukanlah penghalang dan alasan untuk tidak melakukan ibadah korban khususnya bagi mereka yang berkemampuan.

Marilah kita mendoakan agar pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini dapat dilakukan dengan baik dan sempurna demi meraih keberkatan, keredaan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, hayati beberapa kesimpulan sebagai panduan kita bersama:

Pertama: Ibadah korban merupakan ibadah dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping ianya mengandungi pelbagai kebaikan kepada kehidupan muslim seluruhnya.

Kedua: Islam amat menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik. Justeru, Ibadah korban dapat mengikis perasaan tamak dan pentingkan diri sendiri.

Ketiga: Rebutlah peluang untuk berkongsi rezeki, kebaikan dan nikmat dengan mereka yang memerlukan terutamanya dalam suasana pandemic COVID-19 ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37: Bermaksud : “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
Tags: khutbah, korban
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment