mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Belajarlah Daripada Musibah

Petikan Khutbah Jumaat 30 Julai 2021M / 20 Zulhijjah 1442H: JAIS

Belajarlah Daripada Musibah

Kita sering dihadapkan dengan beberapa dugaan dan cubaan kehidupan.

Bermula dengan fenomena cuaca banjir pada tahun-tahun yang lepas, diikuti dengan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat dari sehari ke sehari seolah-olah virus tersebut tidak mahu berhenti menyerang umat manusia.jais.jpg

Sebenarnya kesemua ini adalah kejadian yang menuntut kita agar berfikir dan merenung tentang hakikat kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan di dunia ini.

Maka inilah perbezaan antara sekolah dan kehidupan sebagaimana kata pujangga, sekolah adalah tempat belajar dan diberikan ujian tetapi kehidupan ini diberikan ujian supaya kita belajar.

Ujian menjalani kehidupan memang sangat mencabar.

Kadang-kadang kita diuji dengan kesenangan dan nikmat.

Kadang-kadang pula kita diuji dengan kesusahan dan musibah.

Namun, di sebalik musibah dan kesusahan itu, Allah menyediakan sesuatu kebaikan yang mungkin belum kita ketahui.

Segala musibah yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia sudah pasti mengandungi beberapa hikmah.

Ada musibah yang ditimpakan kerana dosa dan kesalahan sebagai hukuman Allah ke atas hamba yang ingkar kepada perintah-Nya.
Ada pula musibah yang ditimpakan sebagai peringatan.

Mudah-mudahan dengan peringatan itu, manusia akan kembali mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, mematuhi perintah-Nya, menegakkan agama-Nya dan meletakkan pergantungan dan harapan hanya kepada Allah serta menginsafi betapa besarnya kekuasaan Allah yang Maha Agung

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 255: “Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya ilmu Allah dan kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).”

Ayat ini mengingatkan kepada kita betapa terbatasnya ilmu dan pengetahuan kita. Betapa lemahnya manusia walaupun disertai dengan pelbagai teknologi moden, canggih dan terkini.

Ingatlah, walau sehebat manapun teknologi dan peralatan serta kepakaran manusia, ia tidak akan melepasi batasan ilmu yang diberikan Allah kepada mereka.

Bahkan Allah mengingatkan bahawa ada dalam kalangan umat terdahulu yang lebih hebat seperti Kaum Ad, Thamud, Firaun dan lain-lain namun Allah berkuasa menghancurkan mereka disebabkan keinginan dan kefasadan yang mereka lakukan di muka bumi Allah ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 9: “Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orangorang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka...”

Dalam usaha dan harapan untuk merungkaikan kekusutan dan segala musibah yang menimpa kita, maka berazamlah untuk meninggalkan segala perbuatan mungkar dan laknat yang diharamkan oleh Allah SWT sama ada dilakukan secara terang-terangan ataupun sembunyi-sembunyi sebagai contoh melalui rakaman video percakapan-percakapan dan penulisan yang dusta, mengandungi penghinaan, cacian, fitnah, pengkhianatan terhadap agama, menjatuhkan maruah dan kredibiliti seseorang dan sebagainya.

Sedangkan maruah seseorang itu perlu dipelihara tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan taraf hidup

Marilah kita memperbanyakkan istighfar dan taubat memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.

Marilah sama-sama kita memanjatkan doa dan pengharapan serta meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah, marilah kita bertekad dan berazam untuk menjadi hamba yang sentiasa ingat dan tunduk kepada perintah Allah serta sentiasa mengikut ketetapan fitrah Allah SWT.

Berbahagialah dan beruntunglah orang-orang yang disukai oleh Allah SWT kerana taubat yang dilakukannya.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika ia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya.

Padahal di haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya.

Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia menghampiri sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa.

Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya kelihatan berdiri di sisinya, lalu ia mengambil talinya. Kerana sangat gembira, maka ia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hamba-ku dan aku adalah Tuhan-Mu.’ Ia telah salah mengucapkan kerana sangat gembiranya

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dan penghayatannya untuk dijadikan pedoman dalam hidup ini, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap tindakan dan perbuatan akan dibalas dengan adil oleh Allah SWT di akhirat.

2. Umat Islam diingatkan agar jangan mencabar kekuasaan Allah yang boleh mengundang musibah dengan melakukan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa setiap musibah itu adalah datang sebagai ujian dalam hidup ini yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal’.” (Surah al-Taubah : 51). 793
Tags: belajar, khutbah, musibah, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “musibah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments