mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Perajurit Disanjung, Ibu Pertiwi Terulung

Petikan Khutbah Jumaat  20 Zulhijjah 1442H /30 Julai 2021M JAWI JAKIM

Perajurit Disanjung, Ibu Pertiwi Terulung

Pada tanggal 31 Julai setiap tahun, negara akan meraikan para perajurit yang telah banyak berkorban demi tanah air tercinta dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan.

Sejarah bermula pada 31 Julai 1960, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat pada tarikh tersebut yang mana ia merupakan platform bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan kemajuan dan pembangunan negara berjalan dengan lancar.jawi_logo.jpg

Oleh itu, Hari Pahlawan diraikan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh yang ingin menghuru-harakan kemakmuran dan kestabilan negara.

Ia merupakan suatu tugas yang sungguh mulia dan merupakan tuntutan syariah dalam menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Simboliknya pahlawan merupakan orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT menerusi Surah ali-Imran ayat 146 yang bermaksud: “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak berasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”.

Dalam Islam, memperingati jasa dan pengorbanan para perajurit yang mempertahankan agama dan tanah air dari dijajah sehingga mengorbankan nyawa dan darah tidak seharusnya dipandang enteng.

Bahkan Islam amat menyanjung tinggi jasa para perajurit yang mempertahankan negara tanpa didasari sifat kebendaan dan keuntungan dunia, tetapi berjuang demi mencapai keredaan dan mendapat ganjaran Allah SWT semata.

Dalam sebuah hadis Qudsi yang direkodkan oleh Imam an-Nasaie rahimahullah, daripada Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Mana-mana hamba-Ku yang menunaikan jihad pada jalan-Ku kerana mengharap dan mencari keredaan-Ku, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika ia Ku-kembalikan) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan.”

Antara cara terbaik untuk menghargai sumbangan pahlawan ialah, kita wajib menjaga dan mempertahankan kemerdekaan yang sedia ada. Tidak dinafikan, kita sudah merdeka tetapi harus diingat!

Merdeka sekali tidak bemakna kita akan merdeka selama-lamanya.

Sedarilah! Andai kita leka, lalai mahupun terlalu selesa pasti akan ada pihak yang mengambil kesempatan dan cuba untuk kembali menjajah negara ini dalam pelbagai aspek.

Ingat! Penjajahan hari ini bukan berlaku dalam bentuk fizikal atau melalui peperangan semata-mata, sebaliknya yang membimbangkan ialah berlakunya penjajahan moden terhadap minda dan pemikiran rakyat terutamanya golongan muda.

Maka seharusnya menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperingati segala sumbangan pahlawan negara dan sentiasa menginsafi detik kesengsaraan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu supaya kita tidak leka dan terus mempertahankan negara dan rakyat dari segala jenis penjajahan moden.

Sebagai tanda penghargaan negara dan juga rakyat Malaysia kepada para perajurit tanah air, sambutan Hari Pahlawan ini perlu terus diangkat sebagai detik keramat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran yang cukup penting dalam lipatan sejarah ini.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan sehingga ke hari ini, khatib juga ingin menyampaikan sekalung penghargaan dan tahniah buat para petugas barisan hadapan yang tidak kenal erti penat lelah serta sanggup berkorban masa dan tenaga dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.

Segala usaha gigih semua petugas barisan hadapan dalam mendepani penularan wabak COVID-19 di negara ini wajar dipuji dan dihargai.

Mereka bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, malah semua barisan hadapan juga komited dalam melaksanakan tugas mereka hanya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap penduduk terjaga sejak dari awal negara diserang wabak berbahaya itu.

Sebagai tanda sanjungan dan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang sedang giat memerangi kemelut wabak ini, hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dan Imam al-Baihaqi, daripada Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda: Maksudnya: “Mahukah Aku ceritakan kepada kamu tentang satu malam yang lebih utama daripada malam al-Qadar? Iaitu malam yang dilalui oleh seseorang yang berkawal di suatu tempat yang menakutkan (kerana menjaga keamanan dan keselamatan) yang mungkin (jika berlaku sesuatu tidak baik) dia tidak dapat kembali lagi kepada keluarganya”.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, kesimpulan yang dapat diambil sebagai pengajaran buat kita semua iaitu;

Pertama: 31 Julai setiap tahun ditetapkan Hari Pahlawan sebagai tanda penghargaan jasa dan pengorbanan perajurit Negara.

Kedua: Hari Pahlawan merupakan platform bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan kemajuan dan pembangunan negara berjalan dengan lancar.

Ketiga: Cara terbaik untuk menghargai sumbangan pahlawan ialah kita wajib menjaga dan mempertahankan kemerdekaan yang sedia ada.

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal ayat 60: Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiayai”

Tags: khutbah, pahlawan, perajurit, pertiwi
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments