mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM

Jiwa Merdeka

Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.

Kemerdekaan negara ini adalah nikmat yang seharusnya dihayati dan disyukuri. Erti kemerdekaan seharusnyajakim.jpg difahami dengan baik khususnya generasi muda yang tidak hidup dalam kesukaran, keperitan dan kepedihan

sebagaimana generasi sebelum merdeka. Sesungguhnya kesatuan minda, jiwa dan tenaga menjadi kunci utama
generasi terdahulu sehingga negara kita mencapai kemerdekaan.


Tahun ini kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 64.

Sambutan Hari Kemerdekaan tahun 2021 ini masih disambut dengan tema 'Malaysia Prihatin' yang ianya sangat signifikan dengan situasi dunia yang masih lagi berhadapan dengan cabaran wabak COVID-19.


Semangat 'Malaysia Prihatin' perlu dihayati dan disemarakkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi kepartian, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan atau orang perseorangan, semuanya berganding bahu menghulurkan tenaga, akal fikiran dan sumbangan bagi menghadapi dan menamatkan cengkaman COVID-19 di negara ini.

Kemerdekaan daripada aspek minda bagi seorang Muslim bermaksud bebasnya daripada pemikiran syirik, taghut atau perhambaan kepada selain Allah SWT.

Namun, hari ini masih ada golongan yang mindanya dibelenggu dengan anasir-anasir penjajahan dalam aspek pemikiran dan ideologi.

Zaman globalisasi dengan kepesatan teknologi membuka akses mudah kepada ancaman penjajahan bentuk baharu terhadap pemikiran umat Islam.

Informasi yang bersifat mitos, konspirasi dan palsu akhirnya menguasai minda seterusnya diikuti dengan tindakan yang tidak berpedoman.

Justeru, ingatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun yang telah dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud : “Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.”

Hari ini dunia umumnya berada dalam krisis besar adab dan akhlak.

Wujudnya anak yang tidak menghormati ibu bapanya, murid yang tidak menghormati gurunya dan rakyat yang tidak menghormati pemimpinnya.

Selain itu, autoriti dalam agama tidak lagi dihormati dengan sebaiknya.

Bukankah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa sebaik-baik manusia adalah yang paling baik akhlaknya, sebaik-baik manusia adalah seorang yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman daripada keburukannya dan sebaik-baik manusia adalah yang paling baik terhadap keluarganya.

Mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan adalah tuntutan agama. Justeru, muslim yang merdeka tidak meletakkan teladan paling utama baginya selain Rasulullah SAW. Baginda SAW adalah contoh terbaik dalam lapangan, aspek atau posisi individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Imam Ahmad meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan (manusia dengan) akhlak yang baik”. Muslim berjiwa merdeka seharusnya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW biarpun sebagai seorang anak, pelajar, ketua keluarga, ketua masyarakat, pemimpin dan sebagainya.

Rakyat pada hari ini perlu kembali menyingkap setiap detik dan peristiwa sejarah kemerdekaan negara.

Malaysia di pasca kemerdekaan menuntut setiap individu dengan amanah besar dalam memupuk penghayatan erti kemerdekaan sebenar.

Mari bersama kita menggerakkan semula kesedaran kepentingan memahami sejarah, memperhebatkan budaya ilmu dan memperkukuhkan jati diri keislaman.

Kita adalah bangsa merdeka minda, jiwa dan budaya. Dengan itu tiada unsur-unsur yang menyalahi syariat Islam dapat mempengaruhi individu, keluarga dan masyarakat dalam mencorakkan negara yang benar-benar merdeka.

Mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

Pertama: Hayati dan semarakkan slogan Malaysia Prihatin dan berganding bahu menghulurkan tenaga, akal fikiran dan sumbangan bagi menghadapi dan menamatkan cengkaman COVID-19 di negara ini.

Kedua: Generasi baharu seharusnya menghayati nilai kemerdekaan yang dibayar generasi terdahulu dengan darah, harta dan nyawa dengan mengharungi kesukaran, keperitan dan kepedihan.

Ketiga: Gerakkan semula kesedaran kepentingan memahami sejarah, perhebatkan budaya ilmu dan perkukuhkan jati diri keislaman dalam diri setiap warganegara.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 208 : Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu kedalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Tags: jiwa, khutbah, merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments