mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Malaysia Prihatin

Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M / 18 Muharram 1443H: JAIS

Malaysia Prihatin

Dalam beberapa hari lagi, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-64.

Oleh itu, mimbar pada hari ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada rakyat Malaysia dengan tema bulan kemerdekaan ‘Malaysia Prihatin’.jais.jpg

Prihatin bermaksud mengambil berat dengan memberi perhatian serta cakna terhadap sesuatu perkara.

Manakala, tema Malaysia Prihatin membawa maksud kebersamaan rakyat Malaysia, berganding bahu memerangi dan melawan pandemik Covid-19 tanpa mengira status ideologi politik.

Begitu juga, setiap daripada lapisan masyarakat dan individu, sama ada kerajaan dan pembangkang, penjawat awam mahupun sektor swasta perlu menterjemahkan solidariti meraikan Hari kebangsaan dengan bersatu padu melawan pandemik Covid-19.

Mengambil semangat slogan Malaysia Prihatin perlu disemarakkan dalam sanubari rakyat Malaysia bagi mengukuhkan asas perpaduan dan kesejahteraan negara.

Ini selari dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW yang menekankan keamanan sejagat dan keharmonian masyarakat bermula di Kota Madinah agar semua manusia dapat menjalani kehidupan dengan aman dan damai.
Ini berasaskan kepada kejadian manusia yang tercipta dari pelbagai etnik,bangsa dan keturunan. Hakikatnya, ini merupakan fitrah kehidupan yang perlu diterima oleh setiap insan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Selama 64 tahun kita mengecapi nikmat kemerdekaan dan keamanan. Marilah kita mengucapkan syukur di atas anugerah Allah yang tiada bandingannya.

Bersesuaian dengan tema kemerdekaan, sebagai rakyat Malaysia sikap dan semangat prihatin dapat direalisasikan dengan sokongan dan bantuan yang dapat kita salurkan kepada masyarakat.

Selain itu, usaha yang dilakukan dengan tidak berbelah bahagi untuk membangunkan negara semenjak mengalami pandemik Covid-19.

Ia merupakan tuntutan di dalam ajaran Islam yang mementingkan sikap prihatin cintakan negara, masyarakat dan persekitaran.

Ia selari dengan sikap Rasulullah SAW yang prihatin dan mencintai kota Mekah tempat asal kelahiran baginda SAW.
Sebuah hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW pernah menzahirkan ungkapan kepada Mekah sebagaimana berikut: “Alangkah baiknya dirimu wahai Mekah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku daripadamu, nescaya tidak menjadi tempat tinggalku selain daripadamu.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Sesungguhnya tanpa perasaan cinta dan prihatin terhadap tanah air, banyak perkara buruk akan berlaku dan tidak akan ada keinginan untuk menyumbang dan membela kedaulatan negara.

Oleh itu, semua rakyat perlu menunjukkan sikap toleransi untuk bersama-sama berhadapan dengan situasi sukar dengan menghulurkan bantuan dan sokongan mengikut kadar kemampuan kepada negara mahupun masyarakat.

Hadis daripada Ibnu Umar Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat al-Tabrani).

Realitinya, penekanan semangat Malaysia Prihatin dalam slogan sambutan hari kemerdekaan kali ini betapa pentingnya keamanan dan keharmonian.

Ini kerana, keamanan adalah anugerah dan nikmat Allah yang tinggi nilainya kepada kehidupan manusia.

Setiap rakyat Malaysia perlu menyuburkan nilai kerjasama erat yang dapat menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian negara.

Dalam aspek keamanan, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin untuk terus memastikan keamanan dan keharmonian dapat terus dipelihara.

Ia merujuk kepada kestabilan politik, keyakinan dan harapan rakyat untuk melihat negara terus diterajui oleh kepimpinan yang konsisten membantu meringankan beban rakyat dan berintegriti.

Sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawab atas rakyatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai rakyat yang mendukung prinsip kedaulatan undang-undang kita mengharapkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini terus terpelihara daripada pergolakan dan perbalahan.

Justeru, pemimpin dan rakyat hendaklah sama-sama berganding bahu memastikan negara sentiasa aman, harmoni dan selamat bukan sahaja daripada perpecahan dan pergolakan malah daripada cengkaman pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan cabaran negara dalam mendepani tahun-tahun yang mendatang adalah dalam situasi yang amat sukar akibat kesan pandemic Covid-19 ini.

Cabaran terhadap persekitaran dan pembangunan negara dari sudut ekonomi, sosial dan keselamatan juga amat besar.

Bahkan lebih terkesan lagi dari sudut kesihatan jasmani, jiwa dan mental rakyat negara ini.

Namun, kita perlu istiqamah dan bertekad untuk menangani krisis dan melawan Covid-19 ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Setiap masyarakat perlu sedar kejayaan dalam perjuangan menentang dan menghapuskan pendemik Covid-19 hanya akan berakhir sekiranya semua pihak mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi untuk memeranginya.

Jika ini mampu ditampilkan menerusi kesedaran dan kepekaan terhadap wabak ini, maka tidak mustahil kita dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan kekuatan mental, jasmani dan rohani.

Biarpun belum berjaya sepenuhnya namun kita sangat mengimpikan sepertimana kehidupan masa lalu secara normal.

Inilah ujian hidup yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka dengan Allah. Dia akan mengurniakan penyembuh, melapangkan dan memberi kemenangan disebalik setiap takdir-Nya.

Bahkan apabila Allah yang Maha Penyayang telah menentukan takdir-Nya maka kita perlu yakin bahawa kasih sayang-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

Antara pengajaran dan penghayatan daripada khutbah kali ini untuk dijadikan pedoman kita adalah:

1. Umat Islam hendaklah sentiasa prihatin dan mementingkan soal akidah, syariah dan akhlak dalam meneruskan kehidupan ini.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha, berdoa danbertawakal kepada Allah SWT untuk membantu negara dalam menangani dan melawan pandemik Covid-19.

3. Umat Islam hendaklah mengamalkan sikap prihatin dan ambil berat ke arah kebaikan kerana ia merupakan sifat yang terpuji dan sangat digalakkan dalam Islam.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Taubah : 71).
Tags: khutbah, prihatin
Subscribe

Posts from This Journal “prihatin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments