mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Pemantapan Akidah Tanggungjawab Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 3 September 2021M/ 25 Muharam 1443H JAWI

Pemantapan Akidah Tanggungjawab Bersama


Islam menegaskan bahawa akidah yang mantap adalah asas pertama yang perlu disemai ke dalam jiwa anak-anak.
jawi_logo.jpg
Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita mestilah memainkan peranan menyempurnakan tanggungjawab besar ini.

Teladani Luqman al-Hakim sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat ke 13 yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya sedang dia menasihatinya “Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu mensyirikkan Allah (dengan sesuatu apa pun), sesungguhnya syirik itu benar-benar suatu kezaliman yang besar.”

Memupuk akidah yang mantap ertinya menanamkan keyakinan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah dan yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan apa juga takdir ke atas semua makhluk-Nya.

Di samping itu, akidah yang mantap mampu mendorong mereka melakukan amal kebaikan dan menghindarkan diri dari dosa lantaran gerun pada azab neraka.

Asas akidah ini akan membantu anak-anak kita kuat dan mampu menghadapi apa juga cabaran hidup sebagai hamba Allah.

Tanpa iman, perlakuan maksiat dan dosa dipandang remeh bagaikan tiada apa-apa.

Inilah yang dinyatakan Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas’ud RA : Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia duduk di bawah gunung yang ditakuti akan menimpanya, sebaliknya seorang fajir (pelaku dosa) melihat dosanya hanya bagaikan seekor lalat yang hinggap di hidungnya.”

Usaha-usaha memantapkan akidah perlu dilakukan sejak di awal usia dan dibuat secara berterusan.

Tingkatkan penghayatan Islam dengan pengajian bersumberkan al-Quran dan al-Hadis.

Pupuk jiwa mereka dengan akhlak dan pekerti mulia berasaskan keikhlasan dan kesedaran betapa Allah sentiasa mengawasi semua hamba-Nya.

Hasilnya, anak-anak yang membesar dalam suasana keimanan ini akan mampu menjalani kehidupan di dunia dengan bahagia dan membahagiakan insan-insan lain.

Jiwa mereka subur dengan watak kehambaan lantaran dibajai dengan rasa bertuhan yang ampuh.

Mimbar mengambil kesempatan untuk mengingatkan para jemaah sekalian supaya berwaspada dan berhati-hati dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar dan memastikan anak-anak serta ahli keluarga tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat tersebut.

Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai kumpulan ajaran tertentu yang menggunakan media sosial untuk mendoktrin fahaman ajaran menyeleweng yang menggusarkan masyarakat Islam.

Media sosial seperti facebook, youtube dan telegram digunakan sebagai medium utama untuk menyebarkan fahaman mereka antaranya mendakwa boleh berinteraksi secara nyata dengan malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Fahaman-fahaman ini boleh membawa kepada keruntuhan akidah yang benar.

Justeru, marilah kita turut sama memainkan peranan dalam memastikan diri kita dan keluarga terutama anak-anak sentiasa mendapat didikan Islam yang sebenar serta jauh daripada sebarang ajaran dan fahaman yang membawa kepada penyelewengan akidah.

Berdoalah selalu agar kita sentiasa dibantu dan dipandu dalam usaha memantapkan akidah anak-anak.

Semoga impian melahirkan generasi umat Islam yang sentiasa mendapat limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT terlaksana jua.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ibu bapa atau penjaga mestilah menyempurnakan tanggungjawab menyemai akidah yang mantap ke dalam jiwa anak-anak.

Kedua: Akidah yang mantap membantu anak-anak untuk kuat menghadapi cabaran hidup dan mendorong mereka melakukan kebaikan dan menghindari dosa.

Ketiga: Pastikan diri kita dan keluarga sentiasa mendapat didikan Islam yang sebenar serta jauh daripada sebarang ajaran dan fahaman yang membawa kepada penyelewengan akidah.

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 14: Bermaksud: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Tags: akidah, khutbah, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “akidah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments