mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Kalam Tuhan Menyinari

Petikan Khutbah Jumaat 24 September 2021M/ 17 Safar 1443H JAWI

Kalam Tuhan Menyinari Kehidupan


Al-Quran adalah mukjizat teragung dan abadi, berperanan memandu manusia ke jalan yang benar dan membebaskan mereka dari azab api neraka.jawi_logo.jpg

Al-Quran bukan sahaja menyentuh alam kerohanian dan akhirat, bahkan ia kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi, sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan bumi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’, ayat 9 yang bermaksud : “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Yakinlah bahawa al-Quran merupakan sebahagian perniagaan kita dengan Allah SWT. Allah menyediakan modal berupa lembaran kalamnya, lalu kita mengusahakan modal tersebut dengan membaca serta beramal dengannya, nescaya inilah perniagaan yang dijamin tidak akan pernah rugi.

Al-Quran berperanan besar dalam memenuhi aspek-aspek kehidupan manusia.


Ia bukan sahaja membina akidah yang sahih, bahkan mensejahterakan minda, membezakan di antara perkara yang hak dan yang batil, membentuk dan mencorak kehidupan berlandaskan ilmu serta memandu manusia dalam mengatur dan membina sebuah sistem sosial yang sempurna bermula dengan pembentukan institusi keluarga sehingga membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.

Peranan al-Quran ini tentunya memberi impak yang besar dalam sistem pengurusan dan tadbir urus kehidupan manusia.

Panduan daripada al-Quran sememangnya adalah yang terbaik.

Justeru, jadikanlah al-Quran sebagai rujukan utama dan bukan hanya memberi tumpuan dalam pembacaan al-Quran semata-mata tanpa mengambil manfaat daripada segala ajaran, didikan, ilmu dan ‘ibrah melalui pelbagai kisah yang terdapat di dalamnya.

Marilah kita berusaha untuk menjadi sahabat yang baik dengan al-Quran. Tetapkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran setiap hari.

Dalam kesibukan melakukan aktiviti harian, sewajarnya kita boleh menyediakan ruang dan waktu yang khusus untuk mentadabbur isi al-Quran.

Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya di dalam Surah Muhammad, ayat 24: Bermaksud: “Apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima Al-Quran)?”

Makna tadabbur yang dijelaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir ialah memerhatikan makna-makna ayat al-Quran dan meneliti kandungannya.

Apabila melakukannya kita dapat menghayati sepenuhnya kandungan al-Quran, bahkan menambah tautan cinta dan rindu berinteraksi dengannya.

Al-Quran juga adalah penawar bagi segala penyakit rohani dan jasmani manusia. Ia menjadi pengubat buat jiwa manusia yang sedang dilanda keresahan, kebimbangan dan keluh kesah.

Mimbar ingin menyarankan kepada semua jemaah agar dapat meluangkan masa bersama ahli keluarga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya satu halaman sehari, menghayati maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Kita boleh menggunakan aplikasi moden seperti whatsapp, google meet, zoom dan sebagainya untuk mengumpulkan ahli keluarga yang berada di tempat lain supaya dapat bersama-sama membaca dan bertadarus al-Quran khususnya di waktu malam.

Semoga Allah SWT akan terus merahmati dan memberkati kita kerana usaha kita melazimi membaca al-Quran dan ia akan memberi syafaat kepada kita di akhirat nanti.

Imam Muslim meriwayatkan hadis, daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Rasulullah SAW bersabda :  Bermaksud : “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.”

Dalam situasi Pandemik COVID-19, tidak dinafikan kebanyakan masyarakat kita hari ini dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup, kesempitan dan kesusahan.

Justeru, al-Quran adalah penawar yang dapat mententeramkan dan mengharmonikan jiwa insan yang dihimpit pelbagai mehnah dan ujian.

Mudah-mudahan dengan keberkatan al-Quran yang selalu kita lazimi ini, Allah SWT akan melepaskan kita daripada bahaya wabak pandemik COVID-19 di bumi ini.

Mengakhiri khutbah, renungkan beberapa kesimpulan sebagai pedoman kita bersama :

Pertama : Al-Quran adalah mukjizat teragung dan abadi, berperanan memandu manusia ke jalan yang benar dan membebaskan mereka dari azab api neraka.

Kedua : Jadikan al-Quran sebagai rujukan utama dengan mengambil manfaat daripada segala ajaran, didikan, ilmu dan ‘ibrah melalui pelbagai kisah yang terdapat di dalamnya.

Ketiga : Jadilah sahabat yang baik terhadap al-Quran dengan menyediakan ruang dan waktu yang khusus setiap hari untuk membaca, menghayati dan mentadabbur al-Quran.

Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al- An’am, ayat 155 : Bermaksud : “Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.”
Tags: kalam, khutbah, kitab
Subscribe

Posts from This Journal “kalam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments